Eksport Februari Meningkat 6.7%

Pada Februari 2016, pertumbuhan eksport Malaysia kembali positif dengan mencatatkan peningkatan 6.7% atau RM3.55 bilion kepada RM56.72 bilion, setelah merekodkan pertumbuhan negatif 2.8%, perbandingan tahun ke tahun pada Januari 2016. Import meningkat 1.6% kepada RM49.37 bilion berbanding RM48.61 bilion yang dicatatkan pada Februari 2015.

Lebihan dagangan berkembang kepada RM7.35 bilion pada Februari 2016 berbanding RM5.39 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya dan merupakan lebihan dagangan yang ke-220 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.

Jumlah perdagangan naik 4.2% kepada RM106.09 bilion berbanding Februari 2015. Peningkatan perdagangan direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS) yang naik sebanyak RM2.21 bilion, ASEAN (↑RM1.9 bilion), China (↑RM829.6 juta), Republik Korea (ROK) (↑RM637.3 juta), Kesatuan Eropah (EU) (↑RM447.7 juta), Hong Kong (↑RM433.3 juta) dan Turki (↑RM320 juta).

Pada tempoh dua bulan pertama tahun 2016, jumlah perdagangan meningkat 2% kepada RM224.4 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2015. Eksport berkembang 1.5% kepada RM118.57 bilion manakala import naik 2.5% kepada RM105.83 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM12.74 bilion.

Muat turun:

icon Prestasi Perdagangan : Februari 2016 dan Januari - Februari 2016 (200 kB)