Lebihan Dagangan Berkembang RM23.94 bilion pada Sukuan Pertama (S1) 2016

Lebihan dagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.2% mencecah nilai RM23.94 bilion pada suku pertama (S1) 2016. Jumlah perdagangan bernilai RM346.38 bilion berbanding RM345.15 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport bernilai RM185.16 bilion, meningkat 1% berbanding penurunan 2.5% yang dicatatkan pada S1 2015. Pertumbuhan eksport dicatatkan ke pasaran utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Turki. Import kekal pada nilai RM161.22 bilion berbanding RM161.91 bilion yang dicatatkan pada tempoh Januari hingga Mac 2015.

Pada Mac 2016, lebihan dagangan melonjak 52.2% kepada RM11.19 bilion daripada RM7.35 bilion pada bulan Februari 2016, merupakan lebihan dagangan yang ke-221 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997. Berasaskan tahun ke tahun, lebihan dagangan meningkat 43.1%. Eksport meningkat kepada RM66.59 bilion daripada RM66.47 bilion yang dicatatkan pada Mac 2015. Import berkurang 5.5% kepada RM55.39 bilion, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM121.98 bilion, menurun 2.5%.

Berasaskan bulan ke bulan, eksport, import dan jumlah perdagangan masing-masing mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 17.4%, 12.2% dan 15%.

Muat turun:

iconPrestasi Perdagangan : Mac 2016 dan Januari - Mac 2016 (211.86 kB)