Eksport Bulan Ogos, Tertinggi bagi Tempoh Lapan Bulan Pertama 2016

Eksport Malaysia pada Ogos 2016 kembali positif dengan pertumbuhan 1.5% kepada RM67.58 bilion, berbanding pengurangan 5.5% pada Julai 2016. Ini juga merupakan eksport bulanan tertinggi yang direkodkan pada lapan bulan pertama tahun 2016. Pertumbuhan ini telah disokong terutamanya oleh kenaikan eksport ke India, ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Mexico, Turki, Hong Kong dan Kesatuan Eropah (EU).

Import direkod 4.9% lebih tinggi kepada RM59.07 bilion manakala jumlah perdagangan bernilai RM126.65 bilion, meningkat 3%. Lebihan dagangan berkembang kepada RM8.51 bilion berbanding RM1.91 bilion pada Julai 2016, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-226 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Pada tempoh Januari hingga Ogos 2016, jumlah perdagangan sebanyak RM948.45 bilion dicatatkan, dengan eksport bernilai RM500.33 bilion dan import, RM448.12 bilion. Pada tempoh ini, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan 0.9%. Lebihan dagangan sebanyak RM52.21 bilion dicatatkan, meningkat 1.8% daripada RM51.28 bilion.

Muat turun:

icon Prestasi Perdagangan : Ogos 2016 dan Januari - Ogos 2016 (212.74 kB)