Lebihan Dagangan Bernilai RM59.8 bilion Dicatatkan Pada Sembilan Bulan Pertama 2016

Bagi tempoh Januari-September 2016, Malaysia telah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM1.077 trilion meningkat 0.6%, berbanding tempoh yang sama tahun 2015. Peningkatan dalam perdagangan dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), ASEAN, Republik Korea (ROK), Taiwan, China, Jerman, Turki, Arab Saudi, Mexico, Bangladesh dan India.

Dalam tempoh tersebut, eksport meningkat 0.5% atau RM2.58 bilion kepada RM568.36 bilion manakala import meningkat 0.7% atau RM3.75 bilion kepada RM508.59 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM59.77 bilion dicatatkan, berbanding RM60.93 bilion pada tempoh yang sama tahun 2015.

Pada bulan September 2016, lebihan dagangan bernilai RM7.56 bilion telah direkodkan, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-227 bulan berturut-turut sejak November 1997. Eksport menurun 3% atau RM2.12 bilion kepada RM68.03 bilion berbanding September 2015, manakala import menurun 0.1% atau RM31.8 juta kepada RM60.47 bilion. Secara keseluruhan, jumlah perdagangan mengurang 1.6% kepada RM128.5 bilion.

Berbanding Ogos 2016, eksport, import dan jumlah perdagangan masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.7%, 2.4% dan 1.5%

Muat turun:

icon Prestasi Perdagangan : September 2016 dan Januari - September 2016 (224.22 kB)