Eksport pada Oktober Mencatatkan Nilai Tertinggi Pada 2016

Eksport Malaysia pada Oktober 2016 berjumlah RM69.2 bilion, nilai bulanan tertinggi yang dicatatkan pada tahun 2016 setakat ini. Berbanding September 2016, eksport meningkat sebanyak 1.7%. Jumlah perdagangan naik 0.1% kepada RM128.63 bilion manakala import susut 1.7% kepada RM59.44 bilion. Lebihan dagangan meningkat kepada RM9.76 bilion berbanding RM7.56 bilion pada September 2016. Lebihan dagangan pada Oktober merupakan lebihan dagangan yang ke-228 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.

Berikutan kesan asas yang lebih tinggi pada Oktober 2015, eksport pada Oktober 2016 menurun 8.6% tahun ke tahun manakala import menurun 6.6%. Secara keseluruhan, jumlah perdagangan menyusut 7.7% kepada RM128.63 bilion.

Jumlah perdagangan Malaysia kekal pada paras yang hampir sama bagi sepuluh bulan pertama tahun 2016, bernilai RM1.206 trilion berbanding RM1.210 trilion pada tempoh yang sama pada tahun 2015. Dalam tempoh tersebut, eksport menurun 0.6% kepada RM637.55 bilion berbanding RM641.52 bilion dan import menurun secara marginal sebanyak 0.1% kepada RM568.03 bilion berbanding RM568.48 bilion pada Januari hingga Oktober 2015. Lebihan dagangan berjumlah RM69.52 bilion dicatatkan, berbanding RM73.04 bilion pada tempoh yang sama 2015.

Muat turun: icon Prestasi Perdagangan : Oktober 2016 dan Januari - Oktober 2016 (824.71 kB)