Perdagangan Malaysia Bagi Tempoh Januari Hingga Ogos, Meningkat 3.8% Tahun ke Tahun Dengan Eksport Melepasi RM1 trilion Sebulan Lebih Awal
Eksport Kekal Pertumbuhan pada Ogos, walaupun Eksport ke AS Menurun
Malaysia mencatatkan nilai kumulatif tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, setakat ini. Perdagangan meningkat 3.8% tahun ke tahun kepada RM1.977 trilion. Eksport naik 3.9% kepada RM1.032 trilion, melepasi paras RM1 trilion sebulan lebih awal berbanding pada tahun 2024. Sementara itu, import mengembang 3.6% kepada RM945.62 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM86.07 bilion.
Bagi bulan Ogos 2025, perdagangan menyusut 1.9% tahun ke tahun kepada RM247.07 bilion, berikutan perubahan landskap perdagangan global, walaupun eksport meningkat untuk dua bulan berturut-turut sebanyak 1.9% kepada RM131.6 bilion. Import, walau bagaimanapun mengurang sebanyak 5.9% kepada RM115.47 bilion. Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM16.13 bilion, yang ke-64 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020, peningkatan sebanyak 153.8% berbanding Ogos 2024.
Pertumbuhan eksport pada Ogos 2025 dipacu oleh prestasi yang kukuh bagi barangan perkilangan dan keluaran pertanian. Eksport keluaran pertanian pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan Julai 2025. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E), diikuti oleh jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan optik dan saintifik serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Lebih memberangsangkan, eksport barangan optik dan saintifik mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.
Sementara prestasi perdagangan keseluruhan Malaysia kekal kukuh bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, para pengeksport amat digalakkan untuk menambah baik dan mempelbagaikan penawaran produk mereka, serta memperkukuh kecekapan rantaian bekalan bagi mengurangkan kesan peralihan akibat perubahan dasar perdagangan dan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan global. Pengeksport juga digalakkan untuk memanfaatkan 18 Perjanjian Perdagangan Bebas yang telah diratifikasi oleh Malaysia dengan pelbagai negara dan ekonomi.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Eksport Keluaran Pertanian Pulih
Pada Ogos 2025, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.5% daripada jumlah keseluruhan eksport meningkat 1.7% tahun ke tahun kepada RM113.86 bilion. Kenaikan ini disumbangkan oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan optik dan saintifik serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Eksport barangan optik dan saintifik mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.
Eksport keluaran pertanian (7.3% syer) pada Ogos 2025 kembali meningkat dengan kenaikan sebanyak 4.5% tahun ke tahun kepada RM9.54 bilion disumbangkan oleh pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan harga eksport yang lebih tinggi.
Eksport hasil galian (5.4% syer) pada Ogos 2025 mengurang 2.4% tahun ke tahun kepada RM7.11 bilion. Penyusutan ini disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam kuantiti dan harga eksport petroleum mentah serta pengurangan harga eksport gas asli cecair (LNG). Namun begitu, eksport yang lebih tinggi direkodkan bagi bijih logam dan serpihan logam.
Barangan eksport utama pada Ogos 2025:
- Barangan E&E, bernilai RM55.51 bilion dan merangkumi 42.2% daripada jumlah eksport, meningkat 10.1% berbanding Ogos 2024;
- Keluaran petroleum, RM9.1 bilion, 6.9% daripada jumlah eksport, ↓17.6%; • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM7.32 bilion, 5.6% daripada jumlah eksport, ↑9.7%;
- Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.9 bilion, 5.2% daripada jumlah eksport, ↑14.5%; dan
- Barangan optik dan saintifik, RM6.09 bilion, 4.6% daripada jumlah eksport, ↑14.7%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport keluaran pertanian meningkat 5.2%. Namun begitu, eksport barangan perkilangan dan hasil galian masing-masing mencatatkan penyusutan sebanyak 6.6% dan 11.6%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2025, eksport barangan perkilangan meningkat sebanyak 5.2% kepada RM892.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024 disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Eksport keluaran pertanian naik 7.2% kepada RM71.81 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Walau bagaimanapun, eksport hasil galian menyusut 16.6% kepada RM59.22 bilion berikutan penurunan eksport LNG dan petroleum mentah.
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada Ogos 2025, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merangkumi 70.5% syer daripada jumlah perdagangan.
ASEAN – Eksport Kekal Kukuh
Pada Ogos 2025, perdagangan dengan ASEAN yang merangkumi 25.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia menurun 0.2% tahun ke tahun kepada RM63.44 bilion. Eksport terus mencatatkan pertumbuhan bagi dua bulan berturut-turut, naik 3.8% kepada RM37.37 bilion didorong oleh kenaikan eksport barangan E&E. Import dari ASEAN menyusut 5.5% kepada RM26.07 bilion.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
- Singapura RM19.38 bilion, meningkat 2.7%, tahun ke tahun;
- Thailand RM5.47 bilion, ↑20.7%;
- Viet Nam RM5.04 bilion, ↑31.3%;
- Indonesia RM4.24 bilion, ↓23.2%;
- Filipina RM2.06 bilion, ↓16.4%;
- Brunei RM515.5 juta, ↑15.8%;
- Kemboja RM428.2 juta, ↑140.3%;
- Myanmar RM227.1 juta, ↑53.6%; dan
- Lao PDR RM7.2 juta, ↑71.2%.
Pasaran utama ASEAN yang mencatatkan pertumbuhan eksport adalah Singapura yang meningkat sebanyak RM509.8 juta tahun ke tahun, Thailand yang naik sebanyak RM940.2 juta dan Viet Nam yang bertambah sebanyak RM1.2 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E.
Berbanding Julai 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengurang sebanyak 12.3%, 14% dan 9.6%.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, perdagangan dengan ASEAN menguncup 1% kepada RM509.29 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport meningkat 1.2% kepada RM299.47 bilion, disokong oleh kenaikan eksport bagi barangan E&E serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Sementara itu, import dari ASEAN menurun 4% kepada RM209.81 bilion.
China – Eksport Meningkat Dua Bulan Berturut-turut
Perdagangan dengan China pada Ogos 2025 yang merangkumi 18.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 6.4% tahun ke tahun kepada RM44.74 bilion. Eksport mengekalkan momentum pertumbuhan bagi dua bulan berturut-turut, mencatat peningkatan dua digit 10.4% kepada RM17.24 bilion disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan E&E, bijih logam dan serpihan logam, LNG serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari China naik 4% kepada RM27.5 bilion.
Berbanding Julai 2025, perdagangan dan eksport masing-masing mengembang sebanyak 0.9% dan 9.8%, manakala import menurun 4%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2025, perdagangan dengan China meningkat 6.3% kepada RM337.89 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport menguncup 1.1% kepada RM119.73 bilion, kesan penurunan eksport LNG, barangan perkilangan logam, kimia dan bahan kimia serta barangan kertas dan palpa. Namun begitu, penyusutan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari China meningkat 10.9% kepada RM218.16 bilion.
AS – Perdagangan, Eksport dan Import Kekal Pertumbuhan pada Lapan Bulan Pertama Tahun 2025
Pada Ogos 2025, perdagangan dengan AS yang merangkumi 10.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan penyusutan 25.5% tahun ke tahun kepada RM26.14 bilion. Eksport menurun 16.7% kepada RM16.37 bilion, kesan pengurangan eksport barangan E&E, meskipun begitu pertumbuhan eksport dicatatkan bagi jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik. Import dari AS mengurang 36.7% kepada RM9.77 bilion. Pengurangan keseluruhan perdagangan dengan AS ini berkemungkinan merupakan kesan awal daripada pelarasan tarif oleh kerajaan AS yang berkuat kuasa pada 7 Ogos 2025, yang dilihat boleh menjejaskan permintaan serta aliran perdagangan pada sektor-sektor utama.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing menurun 10.9%, 11.4% dan 10.1%.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, perdagangan dengan AS terus berkembang, merekodkan peningkatan 16.6% kepada RM242.09 bilion. Eksport naik 17.5% kepada RM146.42 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari AS bertambah 15.2% kepada RM95.67 bilion.
EU – Perdagangan Pulih
Pada Ogos 2025, perdagangan dengan EU yang merangkumi 8.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 3.7% tahun ke tahun kepada RM20.07 bilion. Eksport berkembang 9.7% kepada RM11.4 bilion, merupakan pertumbuhan yang ketujuh bulan berturut-turut, didorong oleh permintaan kukuh bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari EU menyusut 3.2% kepada RM8.67 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 92.6% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
- Belanda RM3.60 bilion, meningkat 25.5%, tahun ke tahun;
- Jerman RM2.96 bilion, ↑0.4%;
- Itali RM756.3 juta, ↑60.6%;
- Sepanyol RM706.5 juta, ↓12.5%;
- Republik Czech RM594.9 juta, ↑132.9%;
- Belgium RM532.1 juta, ↓29.9%;
- Perancis RM428.9 juta, ↓28.8%;
- Hungary RM367.2 juta, ↑2.3%;
- Austria RM353.9 juta, ↑258.9%; dan
- Poland RM257.8 juta, ↓14.3%.
Eksport ke Belanda meningkat sebanyak RM731.9 juta tahun ke tahun disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, eksport ke Jerman bertambah sebanyak RM11.4 juta disebabkan oleh pertumbuhan eksport barangan makanan diproses dan eksport ke Itali naik sebanyak RM285.3 juta didorong oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Berbanding Julai 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 3.5%, 4.9% dan 1.7%.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, perdagangan dengan EU bertambah 0.2% kepada RM145.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Eksport menokok 5.8% kepada RM81.24 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari EU mengurang 6% kepada RM64.36 bilion.
Taiwan – Perdagangan, Eksport dan Import Catat Pertumbuhan Dua Digit
Pada Ogos 2025, perdagangan dengan Taiwan yang mewakili 8.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit 29% tahun ke tahun kepada RM19.89 bilion. Eksport melonjak 32.7% kepada RM7.08 bilion, dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan naik 27.1% kepada RM12.81 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing menurun 13.7%, 9.5% dan 15.9%.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, perdagangan dengan Taiwan mencatatkan pertumbuhan kukuh 34.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu kepada RM152.57 bilion. Eksport melonjak 30.5% kepada RM54.19 bilion, disokong oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan meningkat 36.3% kepada RM98.39 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada Ogos 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 65.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan peningkatan 1.4% tahun ke tahun kepada RM160.74 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA naik 4.6% kepada RM88.32 bilion, manakala import menyusut 2.3% kepada RM72.42 bilion.
Peningkatan eksport direkodkan ke Mexico, yang melonjak sebanyak 113.7% kepada RM3.11 bilion dan ke Australia yang naik 1.6% kepada RM4.82 bilion, masing-masing didorong oleh peningkatan eksport barangan E&E.
Selain itu, eksport ke ROK mengembang 5.5% kepada RM4.73 bilion, disokong oleh kenaikan eksport LNG manakala eksport ke India menokok 12.7% kepada RM4.52 bilion berikutan pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Sementara itu, eksport ke Pakistan melonjak 66% kepada RM720.9 juta berikutan eksport yang kukuh bagi kimia dan bahan kimia.
Berbanding Julai 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 6.4%, 5.5% dan 7.5%.
Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA naik 0.7% kepada RM1.265 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024.
Eksport meningkat 0.2% kepada RM680.42 bilion manakala import bertambah 1.3% kepada RM584.29 bilion.
Prestasi Import
Jumlah import pada Ogos 2025 menurun 5.9% tahun ke tahun kepada RM115.47 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 73.9% daripada jumlah keseluruhan import adalah:
- Barangan perantaraan, bernilai RM60.25 bilion atau 52.2% daripada jumlah import, mengurang 16.8%, disebabkan oleh penurunan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
- Barangan modal, bernilai RM15.72 bilion atau 13.6% daripada jumlah import, meningkat 11%, hasil peningkatan import kelengkapan pengangkutan industri; dan
- Barangan penggunaan, bernilai RM9.41 bilion atau 8.2% daripada jumlah import, menyusut 8.9%, disebabkan oleh penurunan import barangan makanan dan minuman yang diproses khasnya untuk penggunaan isi rumah.
Berbanding Julai 2025, jumlah import menurun 8%, dengan import barangan perantaraan meningkat 6%, manakala import barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing mengurang sebanyak 13.4% dan 9.8%.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, jumlah import meningkat 3.6% kepada RM945.62 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Import barangan perantaraan menurun 4.9% kepada RM479.1 bilion, barangan modal meningkat 33% kepada RM141.28 bilion, manakala barangan penggunaan menurun 0.9% kepada RM77.91 bilion.