SHAH ALAM, 25 OGOS 2025 (ISNIN) – Hari Eksport Selangor 2025 yang berlangsung selama dua hari (25–26 Ogos) di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam telah berjaya menghimpunkan lebih 200 usahawan tempatan dan pemain industri. Program anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan adalah dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). 

Penganjuran kali ketiga ini turut mendapat sokongan rakan strategik daripada Maybank, Affin Bank, Redly dan Exim Bank Malaysia, sekali gus mengukuhkan peranan Hari Eksport sebagai platform penting bagi menggalakkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran antarabangsa.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor dan turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Ir. Hj Kamarzan bin Md Rais, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Usaha Sama Strategik), PKNS dan YBrs. Encik Mansor Shah Wahid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE. 

“Penganjuran Hari Eksport Selangor membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membina ekosistem eksport yang lebih inklusif, mapan dan berdaya saing. Selangor kini berada pada landasan kukuh dalam pembangunan eksport dengan peningkatan penyertaan syarikat dalam program-program MATRADE,” ujar YB Tuan Mohd Najwan.

Prestasi perdagangan negeri Selangor pada tahun 2024 telah mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM357.06 bilion dan menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada jumlah eksport negara (23.7%) selepas Pulau Pinang dan Johor. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, Selangor kekal sebagai pengeksport ketiga terbesar dengan nilai eksport sebanyak RM182.20 bilion. Antara sektor utama yang menyumbang kepada eksport tersebut adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan (41.4%), barangan perkilangan (15.3%) dan bahan kimia (12.5%).

Sementara itu, Mansor Shah Wahid menegaskan bahawa MATRADE akan terus berperanan sebagai pemudah cara kepada syarikat-syarikat pengeksport di Selangor melalui inisiatif pemadanan perniagaan, promosi eksport dan pembangunan kapasiti.

“Mengikut Pangkalan Data Pengeksport MATRADE sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 13,314 syarikat tempatan telah berdaftar dengan MATRADE, di mana sebanyak 6,058 atau 45.5% dari jumlah tersebut adalah terdiri daripada syarikat-syarikat negeri Selangor. Daripada jumlah ini, sebanyak 5,524 (92%) adalah bertaraf Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dan selebihnya adalah Syarikat Peringkat Pertengahan (Mid-Tier) dan syarikat gergasi,” ujar beliau.

Sebagai penghargaan, empat syarikat di iktiraf sebagai syarikat pengeksport terbaik di bawah program MATRADE dan PKNS, iaitu syarikat Bio Harvest Sdn. Bhd., Aducktive Food Sdn. Bhd., Bin Malek Global Sdn. Bhd., dan Kimyra International Sdn. Bhd. bagi Kategori PMKS serta syarikat SME Aerospace Sdn. Bhd.bagi Kategori Syarikat Pertengahan (SPP). 

Selepas Selangor, siri terakhir Hari Eksport 2025 akan diadakan di Negeri Sembilan pada 2–3 September 2025 bertempat di Hotel Royale Chulan, Seremban.