Eksport Bagi Bulan Jun Naik 7.6%

Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan Jun 2018 meningkat 11% berbanding Jun 2017 kepada RM151.27 bilion. Perkembangan perdagangan dapat dilihat dengan China, ASEAN, Hong Kong SAR, Taiwan, Republik Korea (ROK), Kesatuan Eropah (EU), Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Eksport berkembang sebanyak 7.6% tahun ke tahun kepada RM78.66 bilion, masih mengekalkan momentum yang positif bagi 4 bulan berturut-turut, dan import naik 14.9% kepada RM72.61 bilion. Lebihan dagangan dengan nilai RM6.04 bilion direkodkan. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-248 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menguncup sebanyak 3.1%, 4.2%, 1.9% dan 25.5%.

Jumlah perdagangan pada suku kedua 2018 (S2 2018) berjumlah RM462.84 bilion, peningkatan sebanyak 8% berbanding S2 2017. Eksport pada S2 2018 bernilai RM245.01 bilion, 8.2% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan import meningkat 7.7% kepada RM217.83 bilion. Lebihan dagangan bagi S2 2018 direkodkan sebanyak RM27.18 bilion, kenaikan 12.9% berbanding RM24.07 bilion yang dicatatkan pada S2 2017.

 

Muat turun:

Prestasi Perdagangan : Jun 2018 dan Januari - Jun 2018