Prestasi Perdagangan : Disember 2017 dan Januari - Disember 2017
PRESTASI PERDAGANGAN 2017
Perdagangan 2017 – Pertumbuhan Paling Kukuh Dalam Tempoh 13 Tahun
Perdagangan Malaysia direkod kukuh pada tahun 2017 dengan mencatatkan kadar pertumbuhan terpantas sepanjang 13 tahun, melonjak 19.4% kepada RM1.774 trilion berbanding RM1.486 trilion pada tahun 2016.
Pertumbuhan ini disumbang oleh perdagangan yang lebih tinggi dengan ASEAN, yang berkembang 21% atau RM84.49 bilion, China (↑20.6% atau RM49.68 bilion), Kesatuan Eropah (EU) (↑17.5% atau RM26.05 bilion), Amerika Syarikat (AS) (↑16.3% atau RM22.12 bilion), Jepun (↑14.7% atau RM17.77 bilion), Taiwan (↑24.3% atau RM15.33 bilion), India (↑26.2% atau RM12.74 bilion), Hong Kong SAR (↑22.7% atau RM11.41 bilion) dan Australia (↑23.7% atau RM10.06 bilion).
Kenaikan perdagangan yang ketara juga direkodkan dengan Republik Korea (ROK), Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), New Zealand, Iran, Afrika Selatan, Mexico, Bangladesh, Iraq dan Brazil.
Eksport merekodkan kenaikan 18.9%, pertumbuhan paling kukuh dicatatkan sejak tahun 2005 kepada nilai tertinggi sebanyak RM935.39 bilion. Import juga merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM838.14 bilion, tumbuh 19.9%. Lebihan dagangan berkembang 10.3% kepada RM97.25 bilion, yang terbesar dicatatkan sejak 2012. Ini juga merupakan lebihan dagangan yang ke-20 tahun berturut-turut sejak tahun 1998.
Butiran utama eksport tahun 2017:
• Pertumbuhan dua digit tahun ke tahun direkodkan pada setiap bulan, kecuali Jun dan Disember;
• Semua sektor merekodkan kenaikan kukuh dengan pertumbuhan dua digit;
• Pertumbuhan dua digit tahun ke tahun dicatatkan bagi eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) kecuali pada Disember, didorong oleh permintaan global yang tinggi terhadap barangan elektronik pintar;
• Pertumbuhan eksport bagi komoditi utama berikutan pemulihan harga pasaran dunia;
• Eksport ke hampir semua pasaran utama merekodkan nilai tertinggi setakat ini;
• Kenaikan eksport ke ASEAN di mana pertumbuhan dicatatkan ke kesemua pasaran kecuali Laos;
• Eksport yang lebih tinggi ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terutamanya ke ASEAN, China, Jepun, ROK, Australia, Turki, India, New Zealand, Pakistan dan Chile;
• Pertumbuhan eksport yang kukuh ke negara-negara maju, terutamanya AS dan EU khasnya Belanda dan Jerman; dan
• Permintaan yang lebih tinggi dari pasaran berpotensi seperti Mexico, Brazil dan Afrika Selatan.
Muat Turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Disember 2017 dan Januari - Disember 2017