Prestasi Perdagangan : Ogos 2018 dan Januari - Ogos 2018
Eksport Kekal Melepasi Paras RM80 Bilion
Malaysia merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM162.01 bilion pada bulan Ogos 2018, peningkatan kukuh 5.1% berbanding RM154.14 bilion yang dicatatkan pada Ogos 2017. Peningkatan perdagangan dapat dilihat dengan rakan dagang utama seperti China, Hong Kong SAR, Taiwan, Arab Saudi, Republik Korea (ROK), ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Eksport pada bulan Ogos 2018 kekal melebihi paras RM80 bilion, mencatatkan nilai RM81.81 bilion, iaitu pengurangan marginal sebanyak 0.3% berbanding RM82.02 bilion yang direkodkan pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Import Malaysia merekodkan satu pencapaian baru iaitu RM80.2 bilion, peningkatan sebanyak 11.2% tahun ke tahun. Ini memberi kesan kepada penguncupan 83.7% dalam lebihan dagangan kepada RM1.61 bilion. Lebihan dagangan ini merupakan lebihan dagangan yang ke-250 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, import berkembang sebanyak 3%, manakala jumlah perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing menyusut sebanyak 1.2%, 5% dan 80.7%.
Bagi tempoh 8 bulan pertama tahun 2018, jumlah perdagangan berkembang 6% kepada RM1.231 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2017. Eksport meningkat 6.3% kepada RM650.56 bilion manakala import meningkat dengan lebih perlahan iaitu sebanyak 5.6% kepada RM580.11 bilion. Lebihan dagangan bagi tempoh ini naik 11.9% kepada RM70.45 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Muat turun: