Prestasi Perdagangan : September 2018 dan Januari - September 2018
Lebihan Dagangan Bernilai RM15.26 Bilion, Tertinggi Sejak Oktober 2008
Malaysia merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM150.83 bilion pada bulan September 2018, kenaikan sebanyak 2.3% berbanding September 2017. Peningkatan perdagangan dapat dilihat dengan rakan dagang utama seperti Hong Kong SAR, ASEAN, Taiwan, Australia, Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS).
Bagi perbandingan tahun ke tahun, eksport pada bulan September 2018 berkembang 6.7% kepada RM83.05 bilion, mengekalkan nilai bulanan melepasi paras RM80 bilion. Import Malaysia menyusut 2.7% kepada RM67.78 bilion. Lebihan dagangan mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 85.9%, mencapai nilai RM15.26 bilion, iaitu lebihan dagangan tertinggi dicatatkan sejak Oktober 2008. Lebihan ini merupakan lebihan dagangan yang ke-251 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing berkembang sebanyak 1.5% dan 846.3%. Manakala, jumlah perdagangan dan import masing-masing menyusut 6.9% dan 15.5%.
Jumlah perdagangan pada suku ketiga 2018 (S3 2018) berjumlah RM476.82 bilion, perkembangan sebanyak 5.7% berbanding S3 2017. Eksport pada suku ini bernilai RM251.01 bilion, 5.2% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan import meningkat 6.3% kepada RM225.81 bilion. Lebihan dagangan bagi S3 2018 direkodkan dengan nilai RM25.2 bilion, turun 4.1% berbanding RM26.28 bilion yang dicatatkan pada S3 2017.
Berbanding S2 2018, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 3%, 2.5% dan 3.7%, manakala lebihan dagangan turun 7.1%.
Bagi tempoh 9 bulan pertama tahun 2018, jumlah perdagangan berkembang 5.5% kepada RM1.382 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2017. Eksport tumbuh 6.3% kepada RM733.61 bilion manakala import naik dengan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu sebanyak 4.7% kepada RM647.89 bilion. Lebihan dagangan bagi tempoh ini meningkat 20.4% kepada RM85.72 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Muat turun:
Prestasi Perdagangan : September 2018 dan Januari - September 2018