Prestasi Perdagangan : November 2020 dan Januari - November 2020
Eksport Berkembang Tiga Bulan Berturut-turut
Eksport Malaysia pada November 2020 meningkat 4.3% kepada RM84.43 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun bagi tiga bulan berturut-turut. Kenaikan ini disokong oleh pertambahan eksport ke Amerika Syarikat (AS), Singapura, China dan Hong Kong SAR.
Import pada bulan November 2020 berjumlah RM67.61 bilion, mengurang sebanyak 9% tahun ke tahun manakala jumlah perdagangan bernilai RM152.04 bilion, menyusut 2%. Lebihan dagangan sebanyak RM16.82 bilion dicatatkan, melonjak 151.6% dan merupakan lebihan dagangan tertinggi bagi bulan November yang direkodkan setakat ini.
Berbanding Oktober 2020, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mengurang sebanyak 5%, 7.3%, 1.9% dan 24%.
Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun 2020, lebihan dagangan telah merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 23.1% kepada RM163.86 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Jumlah perdagangan bernilai RM1.606 trilion, mengurang 4.6%. Eksport bernilai RM885.02 bilion, menyusut 2.6% manakala import berjumlah RM721.16 bilion, turun 7%.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : November 2020 dan Januari - November 2020