Pertumbuhan Dua Digit bagi Perdagangan, Eksport, Import dan Lebihan Dagangan Pada Ogos 2021

Prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh dan terus mencatatkan momentum peningkatan pada Ogos 2021. Perdagangan meningkat 15.7% kepada RM169.79 bilion berbanding Ogos 2020, pertumbuhan dua digit yang ke tujuh bulan berturut-turut direkodkan sejak Februari 2021. Eksport merekodkan pertumbuhan dua digit 18.4% kepada RM95.59 bilion, peningkatan yang ke-12 bulan berturut-turut sejak September 2020. Import meningkat 12.5% kepada RM74.2 bilion manakala lebihan dagangan naik sebanyak 44.7% kepada RM21.39 bilion. Perdagangan, eksport dan lebihan dagangan merupakan nilai bulanan tertinggi direkodkan bagi bulan Ogos.

Pertumbuhan eksport pada bulan ini telah disumbangkan oleh permintaan luar yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang disebabkan oleh kenaikan eksport semikonduktor serta kimia dan bahan kimia. Eksport ke kesemua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan positif.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, lebihan dagangan melonjak 55.5% manakala perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut 6.1%, 1.8% dan 11.2%.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Ogos 2021 dan Januari - Ogos 2021

Prestasi Perdagangan : Ogos 2021 dan Januari - Ogos 2021 (Infografik)