MATRADE Menderma RM100,000 Kepada Cinta Gaza Malaysia Sebagai Sokongan Kepada Rakyat Palestin
KHAMIS, NOVEMBER 2, 2023, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan sukacitanya menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Cinta Gaza Malaysia di Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin pada hari ini sebagai tindakan sokongan kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Dengan inspirasi yang dizahirkan oleh YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Tabung Kemanusiaan Palestin MATRADE telah dilancarkan pada 20 Oktober 2023 yang lalu sebagai tanda solidariti membantu rakyat Palestin.
Oleh itu, MATRADE dengan kerjasama Persatuan Cinta Gaza Malaysia, berhasrat untuk memberikan bantuan yang diperlukan bagi mengurangkan kesengsaraan yang dialami oleh mereka.
"Segala usaha ini adalah tanda solidariti kemanusiaan terhadap saudara-saudara kita di bumi Palestin yang menderita. Justeru, marilah kita bersatu hati menyokong usaha yang murni ini! Semoga dengan sumbangan ini, kita dapat membantu meringankan beban penduduk Palestin,” kata Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, semasa ucapan beliau di majlis tersebut.
“Sumbangan ini telah disampaikan oleh YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia. MATRADE berharap bahawa sumbangan ikhlas ini dapat memberikan bantuan yang bermakna kepada rakyat Palestin, dan seterusnya mengukuhkan hubungan kerjasama dengan organisasi seperti Persatuan Cinta Gaza Malaysia dalam usaha untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang memerlukan,” kata YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE.