Pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) Wujudkan Potensi Perdagangan Kepada Malaysia
JAKARTA, 9 NOVEMBER 2023 – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melihat potensi besar bagi meningkatkan perdagangan dengan Indonesia menerusi aktiviti pembangunan infrastruktur terutamanya di ibu negara baharu, Ibu Kota Nusantara (IKN), tegas YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE lanjutan dari perjumpaan beliau bersama Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) di Jakarta.
Dalam pertemuan tersebut, Dato’ Seri Reezal Merican menghargai hubungan rapat Malaysia dan Indonesia sebagai rakan strategik yang memanfaatkan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan.
Pengumuman Presiden Indonesia mengenai pemindahan ibu negaranya dari Jakarta ke IKN mewujudkan peluang bagi syarikat-syarikat Malaysia menawarkan produk dan perkhidmatan mereka khususnya dalam bidang pembinaan dan infrastruktur.
Sehubungan itu, MATRADE merancang untuk menganjurkan Misi Akselerasi Eksport (EAM) bagi mempromosi produk dan perkhidmatan berkaitan pembinaan ke Jakarta dan IKN dari 18 hingga 21 Disember 2023 di mana kerjasama daripada KADIN dilihat akan dapat memastikan kejayaan misi ini. MATRADE dan KADIN boleh membantu syarikat-syarikat besar dari kedua-dua negara menjalin usahasama dalam menjayakan projek infrastruktur di IKN.
Berdasarkan pengalaman dalam pengendalian pelbagai projek tempatan mahupun antarabangsa, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh syarikat Malaysia dalam industri pembinaan dan kejuruteraan boleh dimanfaatkan bagi kolaborasi bersama pemain industri Indonesia, menyokong keperluan pemerintah Indonesia membangunkan ibu negara, IKN dalam waktu terdekat.
Dalam hal ini, antara projek pembangunan yang berpotensi untuk diterokai bagi kerjasama adalah pembinaan, lebuh raya bertol, perkhidmatan kejuruteraan, stesen janakuasa, telekomunikasi, hospital, perkhidmatan pengangkutan dan logistik serta teknologi maklumat.
Sebagai tambahan, Pengerusi MATRADE memaklumkan bahawa satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MATRADE dan KADIN akan dimeterai tidak lama lagi di Kuala Lumpur bagi meningkatkan perdagangan di antara Malaysia dan Indonesia melalui penerokaan pelbagai bidang baharu khususnya berkaitan digital dan teknologi. Ini termasuk pelaksanaan platform digital yang membolehkan akses perdagangan serta validasi perniagaan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas melalui bantuan kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut mencadangkan penubuhan satu pasukan petugas khas di antara MATRADE dan KADIN bagi meneliti kerjasama dalam penggunaan platform digital sedia ada iaitu MATRADE Digital Trade Platform (MDTP) untuk mempromosi eksport barangan Malaysia dan Indonesia serta meneroka kolaborasi secara kolektif kedua-dua agensi menerusi pelbagai platform bagi merangsang akses pasaran yang lebih besar untuk eksport luar daripada ASEAN.
“Saya mahu lihat perdagangan Malaysia-Indonesia terus diperkukuh dan diangkat ke tahap yang lebih baik lagi. Saya yakin kerjasama MATRADE dan KADIN yang sedia terjalin ini akan memanfaatkan lebih banyak usahawan dan perusahaan dari kedua-dua negara,” ujar Dato’ Seri Reezal Merican.
Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada pengisian Persidangan Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia bagi Rantau Asean dan Oceania yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican yang disertai Pesuruhjaya Perdagangan dan Penolong Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di rantau ASEAN dan Oceania.