Hari Eksport Johor: Kolaborasi Antara MATRADE dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) Membangun Potensi Eksport PMKS
KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER 2023 - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) menganjurkan Hari Eksport Johor 2023 bagi menggalakkan eksport produk dan perkhidmatan Malaysia, khususnya oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Negeri Johor dalam usaha meningkatkan perdagangan antarabangsa, menerusi pelbagai aktiviti yang dapat membantu peniaga dan usahawan menembusi pasaran global.
Program ini mendapat sokongan dan penajaan oleh Exim Bank Malaysia, Fusionex Group, FedEx Malaysia, Hong Leong Islamic Bank Berhad dan Maybank Islamic Bank, lima entiti yang berperanan penting dalam ekosistem perdagangan bagi menyokong pertumbuhan eksport Malaysia.
Hari Eksport Johor 2023, yang berlangsung selama dua (2) hari bermula dari 8 hingga 9 November di KSL Hotel & Resort Johor Bahru, Johor telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, YB Tuan Lee Ting Han.
Program ini merupakan platform terbaik untuk menemukan komuniti perniagaan, terutamanya para usahawan tempatan dan pihak-pihak berkaitan dengan eksport bagi memahami pasaran global, menjalin hubungan perniagaan serta berkongsi pengetahuan dalam arena perdagangan antarabangsa.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof menekankan bahawa Hari Eksport Johor 2023 merupakan sebuah platform penting untuk membangun dan membimbing lebih ramai usahawan pengeksport baharu di peringkat negeri Johor di samping dapat meluaskan pasaran antarabangsa serta pasaran sedia ada bagi tujuan meningkatkan ekonomi Malaysia, terutamanya bagi Negeri Johor.
“Program ini berperanan sebagai satu pusat sehenti bagi perkongsian maklumat asas berkaitan ekosistem eksport serta akses kepada perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh kerajaan. MATRADE berharap usahawan di Negeri Johor mendapat manfaat daripada program ini untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa dan seterusnya dapat menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri Johor, khususnya dan Malaysia, amnya,” tambah beliau.
Untuk makluman, Kerajaan Negeri Johor menerusi Anak Syarikat Kumpulan Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd (PDT) iaitu Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) mengambil inisiatif berkerjasama dengan MATRADE bagi menganjurkan Hari Eksport Johor 2023.
Fokus utama penganjuran program ini memberi ruang dan platform kepada usahawan di Johor bagi mengetahui peluang terutama dalam sektor keusahawanan.
Program ini juga merupakan akses kepada pasaran baharu, baik dari dalam dan luar negara adalah sangat penting kepada usahawan kerana kebolehan untuk memasarkan dan menjual produk perkhidmatan dari usahawan ini adalah nadi denyut kepada sesebuah perniagaan. Kami ingin mencadangkan untuk mengadakan satu program keusahawanan yang akan membantu usahawan di Negeri Johor mendapat akses kepada pembeli dari luar Negeri Johor.
Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri komited dalam meluaskan pasaran menerusi negara serantau. Ia menjadi platform terbaik bagi pengeluar industri halal Malaysia terutamanya di Johor untuk mempromosi dan menggalakkan pasaran pengguna halal di dalam dan luar negara.
Pada Program ini, wakil-wakil dari MATRADE, PUJB, pihak penaja (Exim Bank Malaysia, Fusionex Group, FedEx Malaysia, Hong Leong Islamic Bank Berhad dan Maybank Islamic Bank) serta para pakar industri berkongsi pengetahuan tentang proses eksport, peluang pasaran dan strategi terkini dalam perdagangan antarabangsa.
Para peserta Hari Eksport Johor 2023 juga didedahkan dengan pelbagai informasi penting termasuk solusi eksport efektif yang disediakan oleh MATRADE seperti program eTrade, MATRADE Digital Trade Platform (MDTP), MyExport dan MATRADE Digital Learning (MDL) bagi membantu mereka memahami strategi pemasaran digital yang berkesan.
Selain itu, PMKS yang berdaftar dengan MATRADE berpeluang menjalani kaji selidik Export Readiness Assessment Tool (ERAT) iaitu satu sistem yang dibangunkan bagi mengukur tahap kesediaan atau potensi syarikat untuk mengeksport produk dan perkhidmatan mereka.
Negeri Johor merupakan lokasi keempat bagi program Hari Eksport selepas diadakan di negeri Selangor, Terengganu dan Pahang sebelum ini. Hari Eksport peringkat negeri akan diteruskan pada tahun 2024 di negeri-negeri lain seperti Melaka, Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan lain-lain.
MATRADE menyasarkan penyertaan daripada sekurang-kurangnya 200 usahawan PMKS di program Hari Eksport setiap negeri termasuk syarikat-syarikat dan agensi di bawah naungan Kerajaan Negeri.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman web rasmi MATRADE di www.matrade.gov.my.