Hari Eksport Pahang: Kolaborasi Antara MATRADE dan BPEN Pahang Membangun Potensi Eksport PMKS
KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER 2023 - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang akan menganjurkan Hari Eksport Pahang 2023 bagi menggalakkan eksport produk Malaysia, khususnya oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Negeri Pahang dalam usaha meningkatkan perdagangan antarabangsa, menerusi pelbagai aktiviti yang dapat membantu peniaga dan usahawan Pahang menembusi pasaran global.
Program ini juga ditaja oleh Exim Bank Malaysia dan Fusionex Group, dua entiti yang berperanan penting dalam ekosistem perdagangan bagi menyokong pertumbuhan eksport Malaysia.
Hari Eksport Pahang 2023, yang berlangsung selama dua (2) hari ini bermula dari 3 hingga 4 Oktober 2023 di Hotel Zenith, Kuantan, jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang telah dirasmikan oleh YB Tuan Ir. Razali bin Kassim, Exco FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.
Program ini merupakan platform terbaik untuk menemukan komuniti perniagaan, terutamanya para usahawan tempatan dan pihak-pihak berkaitan dengan eksport bagi memahami pasaran eksport yang luas, menjalin hubungan perniagaan serta berkongsi pengetahuan dalam arena perdagangan antarabangsa.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof menegaskan bahawa Hari Eksport Pahang 2023 menyajikan pengisian penting untuk membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport baharu di peringkat negeri Pahang sementara dapat mengembangkan pasaran antarabangsa bagi pengeksport sedia ada bagi tujuan meningkatkan ekonomi Malaysia, terutama bagi Negeri Pahang.
“Program ini akan menyediakan maklumat asas berkaitan ekosistem eksport serta pendedahan terhadap khidmat sokongan yang disediakan oleh Kerajaan. MATRADE berharap usahawan negeri Pahang akan memanfaatkan program ini untuk memperluaskan jangkauan eksport mereka, seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi Malaysia,” tambah beliau.
Exco FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali bin Kassim pula memaklumkan pembangunan usahawan sememangnya antara agenda utama yang diberi perhatian khusus oleh Kerajaan Negeri. Pelbagai inisiatif baru diperkenalkan bagi memastikan usahawan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Negeri Pahang dapat meningkatkan lagi kualiti produk yang dihasilkan supaya produk keluaran anak tempatan Negeri Pahang dapat mencapai standard yang tinggi dan mampu menembusi pasaran di dalam serta di luar negara. Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan khas bagi tujuan penganjuran program, pembangunan fizikal dan khidmat latihan serta bantuan kewangan. Usaha yang dijalankan turut dipergiatkan dengan jalinan usahasama yang turut dijalankan dengan pelbagai agensi berkaitan keusahawanan sama ada di peringkat negeri dan persekutuan.
“Penganjuran program bersama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan seperti penganjuran Hari Eksport 2023 adalah satu iniatif yang sangat baik bagi memberi pendedahan kepada usahawan Negeri Pahang. Melalui kerjasama strategik yang dijalankan sudah tentu Kerajaan Negeri berharap usahawan yang hadir dapat merebut peluang melalui platform yang disediakan. Saya selaku Exco yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan sudah pastinya berharap program outreach bersama dengan pihak MATRADE dapat diteruskan di masa-masa hadapan supaya informasi yang tepat dapat disampaikan kerana Kerajaan Negeri percaya PMKS boleh menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Negeri Pahang,” tambah beliau.
Wakil-wakil dari MATRADE, BPEN Pahang, pihak penaja (Exim Bank Malaysia dan Fusionex Group) serta para pakar industri akan berkongsi pengetahuan tentang proses eksport, peluang pasaran dan strategi terkini dalam perdagangan antarabangsa.
Para peserta Hari Eksport Pahang 2023 juga akan didedahkan dengan pelbagai informasi penting termasuk solusi eksport efektif yang disediakan oleh MATRADE seperti program eTrade, MATRADE Digital Trade Platform (MDTP), MyExport dan MATRADE Digital Learning (MDL) bagi membantu mereka memahami strategi pemasaran digital yang berkesan.
Selain itu, PMKS yang berdaftar dengan MATRADE berpeluang menjalani kaji selidik Export Readiness Assessment Tool (ERAT) iaitu satu sistem yang dibangunkan bagi mengukur tahap kesediaan atau potensi syarikat untuk mengeksport produk dan perkhidmatan mereka.
Negeri Pahang merupakan lokasi ketiga bagi program Hari Eksport selepas diadakan di negeri Selangor pada bulan Ogos yang lalu dan negeri Terengganu pada bulan September. Program ini juga akan diadakan di negeri Johor dan Pulau Pinang pada hujung tahun ini.
MATRADE menyasarkan sekurang-kurangnya 200 peserta di setiap negeri termasuk syarikat-syarikat dan agensi di bawah naungan Kerajaan Negeri.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman web rasmi MATRADE di www.matrade.gov.my.