PERDAGANGAN, EKSPORT DAN IMPORT MALAYSIA BAGI SUKU TAHUN PERTAMA 2024 ATASI REKOD

Perdagangan Meningkat 7.1% Tahun ke Tahun, dengan Rakan Dagang FTA Menyumbang Hampir 66% kepada Jumlah Perdagangan Malaysia untuk Suku Tahun Pertama 2024

Pada tempoh Januari hingga Mac 2024, Malaysia melakar sejarah dengan merekodkan nilai perdagangan, eksport dan import yang tertinggi bagi suku tahun pertama (S1). Sejajar dengan pemulihan perdagangan global, prestasi perdagangan Malaysia pada

S1 2024 mengekalkan trend peningkatan, dengan pertumbuhan 7.1% kepada RM690.59 bilion berbanding suku yang sama tahun 2023, merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM34.22 bilion.

Eksport pada S1 2024 meningkat 2.2% kepada RM362.41 bilion berbanding S1 2023, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan perkilangan dan hasil galian. Kenaikan ketara eksport telah direkodkan bagi barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG). Dari segi pasaran, pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun. Sementara itu, import merekodkan peningkatan dua digit 13.1% kepada RM328.19 bilion, disumbangkan oleh import barangan modal dan pengantara yang digunakan dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.

Berbanding Februari 2024, perdagangan, eksport dan import pada Mac 2024 merekodkan peningkatan dua digit bulan ke bulan masing-masing sebanyak 15.6%,15.5% dan 15.7%. Perdagangan berjumlah RM244.47 billion, merupakan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Mac dalam sejarah. Sementara itu, eksport bernilai RM128.64 billion dan import berjumlah RM115.83 billion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM12.81 bilion, yang juga merupakan lebihan dagangan yang ke-47 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Bagi bulan Mac 2024, perdagangan dan import masing-masing mengembang 5.1% dan 12.5% tahun ke tahun, manakala eksport mengurang secara marginal sebanyak 0.8%. 

Sementara itu, perdagangan Malaysia dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) telah mencatatkan pertumbuhan positif pada S1 2024, meningkat 4.4% kepada RM456.02 bilion, mewakili 65.3% daripada jumlah perdagangan. Eksport naik 0.3% kepada RM248.17 bilion dan import bertambah 9.6% kepada RM207.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam penerbitan Tinjauan dan Statistik Perdagangan Global baru-baru ini telah mengunjurkan volum perdagangan barangan dunia berkembang sebanyak 2.6% pada tahun 2024 (2023: -1.2%) dalam kemelut konflik serantau serta ketegangan geopolitik. Bank Negara Malaysia menjangkakan ekonomi negara akan berkembang antara 4% hingga 5% pada tahun ini, sokong oleh pemulihan dalam perdagangan luar, kenaikan aliran masuk pelaburan serta peningkatan dalam permintaan domestik yang berterusan.

Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka dengan nisbah perdagangan barangan kepada KDNK sebanyak 144.7% pada tahun 2023, Malaysia dilihat akan turut terkesan oleh perkembangan dunia semasa. Justeru, MITI dan agensi promosi eksport utamanya, MATRADE, sentiasa bersedia untuk memastikan risiko kepada pertumbuhan perdagangan dan aliran masuk pelaburan dapat dipantau dan ditangani.

Prestasi Eksport Sektor Utama

Eksport Barangan Perkilangan Kembali Pulih

Pada bulan Mac 2024, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.2% daripada jumlah eksport meningkat 0.7% tahun ke tahun kepada RM109.63 bilion selepas mencatatkan pertumbuhan negatif pada bulan lepas. Kenaikan ini telah disokong oleh pertambahan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kelengkapan pengangkutan serta barangan besi dan keluli.

Eksport hasil galian (8.1% syer) telah mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kedua berturut-turut pada bulan Mac 2024, naik 0.2% kepada RM10.44 bilion disebabkan oleh peningkatan eksport LNG. 

Eksport keluaran pertanian (6.1% syer) pada bulan Mac 2024 bernilai RM7.79 bilion, mengurang 17.3% berbanding bulan Mac 2023 berikutan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, kesan penyusutan harga eksport.

Barangan eksport utama pada Mac 2024:  

  • Barangan E&E, bernilai RM49.77 bilion dan merangkumi 38.7% daripada jumlah eksport, menurun 1.5% berbanding bulan Mac 2023;
  • Keluaran petroleum, RM11.11 bilion, 8.6% daripada jumlah eksport, ↓9.9%;
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.39 bilion, 5% daripada jumlah eksport, ↑12.1%;
  • Kimia dan bahan kimia, RM6.3 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, ↓3.8%; dan
  • LNG, RM6.15 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport, ↑8.4%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport keseluruhan bagi barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 17.8% dan 14.6%, manakala eksport hasil galian menguncup 3.2%. 

Eksport barangan perkilangan pada S1 2024 mengekalkan trend positif dengan mencatatkan pertumbuhan 2.4% kepada RM306.36 bilion berbanding S1 2023. Ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam. Eksport hasil galian naik 3.7% kepada RM30.95 bilion berikutan kenaikan eksport petroleum mentah dan LNG. Namun begitu, eksport keluaran pertanian menguncup 3.3% kepada RM22.8 bilion disebabkan penurunan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. 

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama   

ASEAN – Perbandingan Bulan ke Bulan Catat Pertumbuhan Dua Digit 

Pada bulan Mac 2024, perdagangan dengan ASEAN menyumbang 26.7% kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 0.6% tahun ke tahun kepada RM65.19 bilion. Eksport ke ASEAN menyusut secara marginal sebanyak 0.8% kepada RM37.64 bilion berikutan penurunan eksport barangan E&E yang merangkumi 32.8% daripada jumlah eksport Malaysia ke ASEAN. Walau bagaimanapun, pengembangan eksport telah direkodkan bagi keluaran petroleum, petroleum mentah serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN naik 2.6% kepada RM27.55 bilion. 

Pecahan eksport ke negara ASEAN:

Singapura 

RM19.31 bilion, menurun 6.8%, tahun ke tahun;

Thailand 

RM5.37 bilion, ↓3.5%;

Viet Nam

RM5.29 bilion, ↑45.9%;

Indonesia 

RM4.72 bilion, ↓3.3%;

Filipina

RM1.90 bilion, ↓13.5%;

Brunei 

RM596.9 juta, ↑146.0%;

Myanmar

RM253.6 juta, ↓46.8%;

Kemboja

RM195.7 juta, ↓16.1%; dan

Lao PDR 

RM5.9 juta, ↓8.5%.

Eksport ke Viet Nam meningkat sebanyak RM1.66 bilion disebabkan oleh kenaikan eksport keluaran petroleum dan eksport ke Brunei naik sebanyak RM354.3 juta disumbangkan oleh pengukuhan eksport petroleum mentah.

Berbanding Februari 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 17.2%, 17.7% dan 16.5%.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, perdagangan dengan ASEAN meningkat 5.4% kepada RM185.67 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport ke rantau ini mengembang 1.1% kepada RM106.92 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN naik 11.8% kepada RM78.75 bilion.

China – Perdagangan Kembali Pulih

Pada bulan Mac 2024, perdagangan dengan China yang merangkumi 15.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 2.9% tahun ke tahun kepada RM38.95 bilion berbanding pertumbuhan negatif direkodkan pada bulan lepas. Eksport ke China menguncup 2.1% kepada RM16.33 bilion disebabkan oleh eksport yang perlahan bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, bijih logam dan serpihan logam serta barangan E&E. Walau bagaimanapun, pengurangan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan kertas dan palpa, barangan perkilangan logam dan LNG. Import dari China mengembang 6.9% kepada RM22.62 bilion. 

Berbanding Februari 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 15.3%, 14.2% dan 16.1%.

Perdagangan dengan China pada S1 2024 naik 3.3% kepada RM112.28 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport mengurang 3.3% kepada RM44.5 bilion berikutan penyusutan eksport barangan E&E. Namun begitu, eksport yang kukuh telah direkodkan bagi barangan kertas dan palpa, barangan perkilangan logam dan keluaran petroleum. Import dari China bertambah sebanyak 8.2% kepada RM67.78 bilion. 

AS – Pertumbuhan Perdagangan, Eksport dan Import Kekal 

Perdagangan dengan AS merangkumi 9.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada bulan Mac 2024, mengembang 6.9% tahun ke tahun kepada RM23.57 bilion. Eksport meningkat 3% kepada RM15.02 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan besi dan keluli serta barang optik dan saintifik. Import dari AS naik 14.6% kepada RM8.55 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masingmasing mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 11%, 10.7% dan 11.5%.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, perdagangan dengan AS naik 12.2% kepada RM66.92 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Permintaan yang kukuh bagi peranti semikonduktor dan litar besepadu (ICs) serta alat ganti dan aksesori bagi mesin pejabat telah mendorong pertumbuhan eksport sebanyak 8% kepada RM42.07 bilion. Peningkatan turut dilihat bagi permintaan terhadap jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan besi dan keluli. Import dari AS mengembang 20.2% kepada RM24.85 bilion.

EU – Eksport Barangan E&E Meningkat

Pada bulan Mac 2024, perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merangkumi 7.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia jatuh sebanyak 6.3% tahun ke tahun kepada RM18.18 bilion. Eksport ke EU merosot 10.3% kepada RM9.85 bilion disebabkan oleh penyusutan eksport barangan perkilangan logam, keluaran petroleum serta barangan besi dan keluli. Walau bagaimanapun, peningkatan eksport telah direkodkan bagi barangan E&E yang bertambah sebanyak 12.5% atau RM550.2 juta disebabkan oleh permintaan yang kukuh bagi peranti semikonduktor dan dan ICs serta alat ganti dan aksesori bagi mesin pejabat. Selain barangan E&E, eksport barangan makanan diproses, kimia dan bahan kimia serta bijih logam dan serpihan logam turut meningkat. Import dari EU menguncup 1.1% kepada RM8.34 bilion. Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 91.9% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah: 

Belanda

   RM2.97 bilion, menurun 7.3%, tahun ke tahun;

Jerman 

   RM2.79 bilion, ↓5.0%;

Belgium 

   RM692.1 juta, ↓41.8%;

Perancis

   RM534.4 juta, ↓21.6%;

Sepanyol

   RM467.5 juta, ↓34.1%;

Itali        

   RM465.4 juta, ↓20.4%;

Poland  

   RM372.1 juta, ↑32.7%; 

Hungary

   RM352.6 juta, ↑74.6%; 

  •  
Republik Czech    RM270.0 juta, ↑15.7%; dan
  •  
Ireland    RM132.9 juta, ↑110.6%.

Eksport ke Poland, Republik Czech dan Ireland masing-masing meningkat sebanyak RM91.7 juta, RM36.6 juta dan RM69.8 juta, disumbangkan oleh pengukuhan eksport bagi barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Hungary naik sebanyak RM150.7 juta berikutan kenaikan eksport barangan perkilangan logam. 

Berbanding Februari 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.8%, 12% dan 11.5%. 

Bagi S1 2024, perdagangan dengan EU naik 0.5% kepada RM52.32 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Walau bagaimanapun, eksport menurun 2.4% tahun ke tahun kepada RM28.58 bilion berikutan pengurangan eksport keluaran petroleum dan barangan perkilangan logam. Meskipun mencatatkan penurunan, eksport yang kukuh telah direkodkan bagi barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit dan barangan makanan diproses. Import dari EU meningkat 4.2% kepada RM23.74 bilion.

Jepun - Eksport Meningkat, Perbandingan Bulan ke Bulan dan S1 2024

Pada bulan Mac 2024, perdagangan dengan Jepun merangkumi 5.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia, mengurang 7.3% kepada RM13.9 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas. Eksport menyusut 5.4% kepada RM7.83 bilion, disebabkan oleh pengurangan eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam. Walau bagaimanapun, kenaikan eksport direkodkan bagi barangan makanan diproses, barangan kayu serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Jepun merosot 9.6% kepada RM6.08 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport mengembang 2.9% namun perdagangan dan import masing-masing menyusut sebanyak 0.6% dan 4.9%. 

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, perdagangan dengan Jepun jatuh sebanyak 1.1% kepada RM41.83 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport meningkat sebanyak 0.8% kepada RM23.85 bilion disokong oleh kenaikan eksport petroleum mentah, barangan makanan diproses serta barang optik dan saintifik. Import dari Jepun menurun 3.5% kepada RM17.99 bilion.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA   

Pada bulan Mac 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang mewakili 65.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia bertambah 1.6% tahun ke tahun kepada RM159.63 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA mengurang 1.2% kepada RM88.33 bilion manakala import mengembang 5.3% kepada RM71.3 bilion. 

Meskipun jumlah eksport ke rakan dagang FTA menyusut, kenaikan eksport telah direkodkan ke Republik Korea (ROK) yang meningkat 26.6% kepada RM5.49 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, serta ke India yang naik 15% kepada RM5.22 bilion disokong oleh kenaikan eksport bagi kelengkapan pengangkutan. Sementara itu, eksport ke Pakistan melonjak 104.8% kepada RM584.1 juta berikutan eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit dan eksport ke Kanada mengembang 18.1% kepada RM463.6 juta berikutan kenaikan eksport barangan makanan diproses. 

Berbanding Februari 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.5%, 16.6% dan 11.9%.

Perdagangan dengan rakan dagang FTA pada S1 2024 meningkat 4.4% kepada RM456.02 bilion, eksport mengembang 0.3% kepada RM248.17 bilion dan import bertambah 9.6% kepada RM207.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.

Prestasi Import   

Jumlah import pada Mac 2024 naik 12.5% tahun ke tahun kepada RM115.83 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 73.2% daripada jumlah keseluruhan import adalah:

  • Barangan pengantara, bernilai RM59.27 bilion atau 51.2% daripada jumlah import, meningkat 10.5% tahun ke tahun, berikutan kenaikan import bahan api dan pelincir utama;
  • Barangan modal, bernilai RM16.18 bilion atau 14% daripada jumlah import, melonjak 66.2%, disebabkan oleh kenaikan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
  • Barangan penggunaan, bernilai RM9.39 bilion atau 8.1% daripada jumlah import, mengembang 1.2%, hasil pertambahan import barangan makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isi rumah.

Berbanding Februari 2024, import mengembang 15.7%. Import barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing naik sebanyak 6.8%, 58.4% dan 11.4%.

Pada tempoh Januari hingga Mac 2024, import meningkat 13.1% kepada RM328.19 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Import barangan pengantara naik

15% kepada RM173.53 bilion, barangan modal (↑47% kepada RM40.08 bilion) dan barangan penggunaan (↑14.6% kepada RM28.14 bilion).

Nota:

  • Perlu diambil perhatian bahawa dari segi konsep, angka eksport dan import dalam perangkaan perdagangan luar negeri adalah berbeza daripada apa yang terdapat dalam akaun barangan untuk perhitungan imbangan pembayaran. Penyusunan perangkaan perdagangan antarabangsa biasanya dibuat berdasarkan rekod kastam yang mencerminkan pergerakan barangan fizikal dari satu sempadan ke sempadan yang lain, dan mengikut garis panduan antarabangsa mengenai konsep-konsep dan definisi-definisi contohnya International Merchandise Trade Statistics: Concepts and Definitions 2010 (IMTS 2010) yang berbeza dengan prinsip-prinsip Sistem Akaun Negara (SNA) dan perhitungan Imbangan Pembayaran (BOP). Dalam SNA, barangan didefinisikan sebagai “barangan fizikal yang ada permintaan dan di mana hak milik boleh dikenal pasti serta hak miliknya boleh dipindahkan dari satu institusi ke institusi lain melalui pasaran”. 
  • Ini adalah keluaran awalan, keterangan terperinci akan diterbitkan dalam laporan “PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI BULANAN” yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk kegunaan umum pada Jumaat, 26 April 2024 dan boleh dimuat turun melalui eStatistik di portal Jabatan Perangkaan Malaysia (https://newss.statistics.gov.my/newss-portalx/ep/epLogin.seam).
  • Data bulan Mac 2024 adalah provisional dan tertakluk kepada semakan/pindaan dalam keluaran berikutnya.
  • Mulai bulan rujukan April 2018, pemilihan kod untuk eksport dan import bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit telah dikaji semula serta dikemaskini untuk lebih mewakili barangan tersebut, dan ini telah menyebabkan sedikit perubahan pada data.
  • 22 rakan dagang FTA terdiri daripada China, Singapura, Jepun, Thailand, Republik Korea, Indonesia, India, Australia, Viet Nam, Filipina, New Zealand, Türkiye, Pakistan, Myanmar, Kemboja, Brunei, Chile, Lao PDR, Hong Kong SAR, Kanada, Mexico dan Peru.
  • Mulai bulan rujukan Februari 2020, United Kingdom tidak lagi menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU).
  • Bermula bulan rujukan Jun 2022, Harmonised Commodity description and Coding system 2022 (HS2022) yang juga dikenali sebagai Perintah Duti Kastam (PDK2022) telah digunakan dalam penyusunan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri (barangan). Klasifikasi ini menggantikan HS2017 yang digunapakai daripada April 2017 sehingga Mei 2022. Walau bagaimanapun, pengkelasan mengikut Standard International Trade Classification (SITC) Rev.4 masih digunakan dengan penyelarasan bersesuaian.
  • WTO merujuk kepada perdagangan barangan manakala IMF merujuk kepada barangan dan perkhidmatan.
  • Jumlah tidak semestinya terhasil disebabkan pembundaran.