KUCHING, 16 Ogos (Jumaat) - Hari Eksport Sarawak 2024 yang diadakan di Hotel Imperial Kuching melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatatkan kejayaan daripada penyertaan melebihi 450 usahawan negeri tersebut.

Program ini anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED). Invest Sarawak Sdn. Bhd., Affin Bank, Capital Markets Malaysia dan EXIM Bank turut terlibat sebagai rakan strategik penganjuran program ini.

Hari Eksport di Sarawak merupakan usaha berterusan oleh MATRADE untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan potensi bagi akses pasaran eksport kepada usahawan tempatan.

Penganjuran kali ini merupakan edisi ketiga di bumi kenyalang selepas berjaya dilaksanakan pada tahun 2016 dan 2018 berikutan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri yang mementingkan pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai tunjang belakang kepada landskap ekonomi negara.

Perasmian Hari Eksport Sarawak 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, diiringi oleh Ahli Lembaga Pengarah MATRADE, YBhg. Dato Mohammad Medan Abdullah serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Encik Mansor Shah Wahid.

Di majlis perasmian itu juga, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah telah menyampaikan Sijil Penghargaan Pengeksport Terbaik Sarawak di bawah program MATRADE kepada Kit Hin Company Sdn. Bhd. bagi Kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Kim Hin Industry Berhad bagi Kategori Syarikat Peringkat Pertengahan (SPP). Penghargaan ini dibuat berdasarkan pencapaian syarikat dalam penyertaannya di bawah program-program anjuran MATRADE.

Dato Mohammad Medan berkata Sarawak merupakan antara negeri penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia di mana pada tahun 2023, hampir 8 peratus daripada jumlah eksport negara ataupun RM112.51 bilion adalah daripada negeri tersebut.

“Sarawak berada dalam kedudukan ke-4 yang menyumbang kepada eksport negara berbanding negeri-negeri lain. Sehingga Jun 2024, jumlah eksport di Sarawak mencatatkan nilai RM59.68 bilion iaitu 7.9 peratus lebih tinggi berbanding nilai yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas,” ujar Dato Mohammad Medan.

Selain gas asli cecair dan petroleum mentah, barangan eksport utama Sarawak adalah minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam, barangan elektrik dan elektronik serta produk perkayuan.

Sementara itu, Encik Mansor Shah Wahid berkata sebanyak 163 syarikat di Sarawak telah menyertai pelbagai program promosi dan pembangunan pengeksport anjuran MATRADE sepanjang tahun 2023.

“Selain daripada Hari Eksport, MATRADE juga menjalankan pelbagai Program Jangkauan Pengeksport di Sarawak yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh agensi komuniti PKS,” tambah beliau.

Program-program ini telah berjaya mengenal pasti syarikat-syarikat yang mempunyai potensi tinggi untuk diketengahkan bagi menembusi pasaran eksport.

Hari Eksport seterusnya akan diadakan di Shah Alam pada 4-5 September 2024 dan Kuala Lumpur pada 6-7 November 2024.