MATRADE Anjur Kemuncak Hari Eksport 2024 di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 28 OKTOBER 2024 (ISNIN) - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan program Hari Eksport 2024 buat kali kelima di Kuala Lumpur bagi meningkatkan kebolehan eksport pemain-pemain industri tempatan terutamanya dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di ibu kota ini.
Program ini bakal berlangsung dari 6 hingga 7 November 2024 bertempat di Menara MATRADE Kuala Lumpur dan akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi MATRADE.
Dijangka lebih dari 200 peserta syarikat PMKS daripada pelbagai sektor akan mengambil bahagian dalam program Hari Eksport Kuala Lumpur 2024.
Prestasi perdagangan Malaysia kekal kukuh dengan jumlah perdagangan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2024 melepasi nilai RM2 trilion, dicapai satu bulan lebih awal berbanding tahun 2023. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan antara lima negeri pengeksport utama yang menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.
Mengikut Laporan PMKS 2023, hanya 12.2% syarikat PMKS di Malaysia terlibat di dalam aktiviti eksport, dan penganjuran Hari Eksport adalah antara inisiatif MATRADE untuk membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport PMKS.
Orang ramai terutamanya usahawan PMKS diseru untuk menghadiri Hari Eksport Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat-maklumat terkini berkaitan eksport selain mempelajari kaedah terbaik mempromosikan produk-produk dan perkhidmatan yang dihasilkan ke pasaran antarabangsa oleh syarikat pengeksport berjaya.
Rakan-rakan strategik bagi Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 adalah Affin Bank Berhad, Alibaba.com., Exim Bank Malaysia, FedEx Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) serta S&P Global Market Intelligence.
Acara ini merupakan siri terakhir bagi program Hari Eksport tahun 2024, selepas kejayaan penganjurannya di Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor yang telah dihadiri oleh lebih daripada 1,000 peserta. Hari Eksport akan diteruskan pada tahun 2025 di lain-lain negeri yang akan diumumkan kelak.