LEBIHAN DAGANGAN MALAYSIA KEMBALI PULIH PADA NOVEMBER 2024,  REKOD NILAI TERTINGGI SEJAK OKTOBER 2023

Perdagangan Catat Nilai Tertinggi bagi Tempoh 11 Bulan Pertama Tahun 2024 

Prestasi perdagangan Malaysia terus kukuh dan stabil, dengan mencatatkan  pertumbuhan secara konsisten di sepanjang tempoh 11 bulan tahun 2024. Jumlah  perdagangan pada tempoh Januari hingga November 2024 merekodkan nilai tertinggi  bagi tempoh tersebut, berkembang sebanyak 8.7% kepada RM2.621 trilion berbanding  tempoh yang sama pada 2023. Eksport meningkat 4.7% kepada RM1.369 trilion dan  import naik 13.3% kepada RM1.252 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak  RM117.94 bilion. Ini meletakkan negara berada di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi perdagangan, eksport  dan import pada 2024, dengan sasaran masing-masing sebanyak 9.4%, 5.6% dan  13.8%. 

Sementara itu, perdagangan pada November 2024 merekodkan pertumbuhan tahun ke  tahun yang ke-11 bulan berturut-turut, berkembang sebanyak 2.9% kepada RM237.85  bilion. Eksport meningkat dua bulan berturut-turut, naik 4.1% kepada RM126.57 bilion  dan import bertambah 1.6% kepada RM111.28 bilion. Lebihan dagangan kembali pulih  dengan kenaikan dua digit sebanyak 26.3% kepada RM15.29 bilion, nilai tertinggi  dicatatkan dalam tempoh 14 bulan sejak Oktober 2023 dan merupakan lebihan  dagangan yang ke-55 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020. 

Eksport yang kukuh pada November 2024 ini telah disokong oleh pertumbuhan yang  pesat dalam sektor utama, khasnya barangan perkilangan dan keluaran pertanian, terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran  pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan.  Sementara itu, eksport ke Amerika Syarikat (AS) melonjak kepada rekod tertinggi  baharu dan eksport ke Taiwan, Province of China (POC) mencatatkan peningkatan ketara, didorong oleh kenaikan permintaan bagi barangan E&E terutamanya peranti  semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs). World Semiconductor Trade  Statistics (WSTS) telah menyemak semula unjuran jualan semikonduktor global bagi  tahun 2024 kepada 19% (anggaran awal: 16%) disumbangkan oleh prestasi yang lebih kukuh dalam sektor E&E. Sementara pre

 

Prestasi Eksport Sektor Utama

 

Barangan Perkilangan dan Keluaran Pertanian Pacu Pertumbuhan  Eksport 

Pada November 2024, eksport barangan perkilangan yang mewakili 85.1% daripada  jumlah eksport Malaysia meningkat 5.2% tahun ke tahun kepada RM107.65 bilion,  disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan  peralatan, keluaran getah serta kimia dan bahan kimia.

Eksport keluaran pertanian (7.5% syer) mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang  kelapan bulan berturut-turut, merekodkan pertumbuhan dua digit 13.4% kepada  RM9.52 bilion. Ini disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan  keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan kenaikan kuantiti dan harga  eksport.  

Sementara itu, eksport hasil galian (6.6% syer) menurun 17.3% tahun ke tahun kepada  RM8.3 bilion berikutan penyusutan eksport petroleum mentah yang disebabkan oleh  pengurangan kuantiti dan harga eksport. Walau bagaimanapun, eksport gas asli cecair  (LNG) meningkat berikutan kenaikan kuantiti eksport. 

 

Barangan eksport utama pada November 2024:  

  • Barangan E&E, bernilai RM51.03 bilion dan merangkumi 40.3% daripada jumlah  eksport, meningkat 12.2% berbanding November 2023;  
  • Keluaran petroleum, RM8.88 bilion, 7% daripada jumlah eksport, ↓33.4%; 
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM7.35 bilion, 5.8%  daripada jumlah eksport, ↑19.9%; 
  • Kimia dan bahan kimia, RM6.38 bilion, 5% daripada jumlah eksport, ↑6.1%; dan
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.31 bilion, 5% daripada jumlah eksport,  ↑23.5%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport hasil galian meningkat 7.5%,  manakala eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing  mengurang sebanyak 1.7% dan 2%. 

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2024, eksport barangan perkilangan  mengembang 4.9% kepada RM1.172 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023,  disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan  serta barangan makanan diproses. Eksport keluaran pertanian mengembang 9.8%  kepada RM95.09 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan  keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli. Sebaliknya, eksport hasil  galian menurun 2.8% kepada RM92.94 bilion, disebabkan oleh penyusutan eksport  petroleum mentah serta bijih logam dan serpihan logam.  

 

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama

Pada November 2024, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu  ASEAN, China, AS, EU dan Taiwan, POC merangkumi 68.7% syer daripada jumlah  perdagangan Malaysia pada bulan ini.

 

ASEAN – Perdagangan, Eksport dan Import Meningkat pada Tempoh 11  Bulan Pertama Tahun 2024

Perdagangan dengan ASEAN pada November 2024 yang mewakili 25.3% daripada  jumlah perdagangan Malaysia mengurang 5% tahun ke tahun kepada RM60.14 bilion.  Eksport menurun 6.3% kepada RM34.1 bilion berikutan permintaan yang rendah bagi  keluaran petroleum, petroleum mentah serta barangan optik dan saintifik. Walau  bagaimanapun, kenaikan eksport telah direkodkan bagi barangan E&E, jentera,  kelengkapan dan peralatan serta kelengkapan pengangkutan. Import dari ASEAN  menyusut 3.1% kepada RM26.04 bilion. 

 

Pecahan eksport ke negara ASEAN: 

  • Singapura RM18.01 bilion, mengurang 1.3%, tahun ke tahun; • Thailand RM4.99 bilion, ↓9.7%; 
  • Indonesia RM4.19 bilion, ↓7.2%
  • Viet Nam RM3.74 bilion, ↓30.6%;
  • Filipina RM2.30 bilion, ↑7.1%;
  • Brunei RM418.6 juta, ↑93.1%;
  • Kemboja RM261.2 juta, ↑121.3%; 
  • Myanmar RM183.0 juta, ↓22.3%; dan 
  • Lao PDR RM5.1 juta, ↓23.0%.

Kenaikan eksport telah direkodkan ke Filipina, meningkat sebanyak RM152.7 juta  tahun ke tahun disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan E&E dan eksport  ke Brunei naik sebanyak RM201.8 juta disebabkan oleh pengembangan eksport  petroleum mentah.  

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing menurun sebanyak 2.7%, 3.7% dan 1.3%. 

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan ASEAN naik 5.2%  kepada RM698.13 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport ke rantau  ini meningkat 3.1% kepada RM399.48 bilion didorong oleh pertambahan eksport  jentera, kelengkapan dan peralatan, keluaran petroleum serta barangan perkilangan  logam. Import dari ASEAN mengembang 8% kepada RM298.65 bilion.  

 

China – Perdagangan Kembali Pulih pada November 2024

Pada November 2024, perdagangan dengan China yang merangkumi 17.3% daripada  jumlah perdagangan Malaysia meningkat 0.7% tahun ke tahun kepada RM41.23 bilion.  Eksport menguncup 11.9% kepada RM15.17 bilion berikutan eksport yang lebih rendah  bagi barangan E&E, LNG serta bijih logam dan serpihan logam. Sementara itu,  peningkatan eksport telah dicatatkan bagi jentera, kelengkapan dan peralatan,  barangan optik dan saintifik serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.  Import dari China mengembang sebanyak 9.8% kepada RM26.06 bilion.  

Berbanding bulan Oktober 2024, perdagangan dan import masing-masing naik  sebanyak 0.5% dan 4.3%, manakala eksport mengurang 5.4%. 

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan China meningkat 6.9% kepada RM437.4 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport  menurun 3.4% kepada RM168.31 bilion disumbangkan oleh eksport yang lebih rendah  bagi barangan E&E, bijih logam dan serpihan logam serta kimia dan bahan kimia.  Meskipun mencatatkan pengurangan, eksport yang kukuh telah direkodkan bagi  barangan kertas dan palpa, keluaran getah serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari China meningkat 14.5% kepada RM269.09 bilion. 

 

AS – Eksport Cecah Nilai Tertinggi

Pada November 2024, perdagangan dengan AS yang menyumbang 12.5% kepada  jumlah perdagangan Malaysia mengembang sebanyak 33.8% tahun ke tahun kepada  RM29.67 bilion. Eksport melonjak kepada rekod tertinggi baharu, naik 57.3% kepada  RM20.3 bilion dan merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-11 bulan berturut-turut. Kenaikan ini telah didorong terutamanya oleh pertambahan eksport bagi  barangan E&E. Import dari AS mengembang 1% kepada RM9.37 bilion. 

Berbanding bulan Oktober 2024, eksport meningkat 7.2%, manakala perdagangan dan  import masing-masing mengurang 0.5% dan 13.9%. 

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan AS meningkat 29.5%  kepada RM293.92 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport kekal  kukuh, mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 22.6% kepada RM179.71 bilion  disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan  peralatan serta barangan optik dan saintifik. Import dari AS naik 42.2% kepada  RM114.21 bilion. 

 

EU – Pertumbuhan Perdagangan, Eksport dan Import pada Tempoh 11  Bulan Pertama Tahun 2024  

Pada November 2024, perdagangan dengan EU merangkumi 7.4% daripada jumlah  perdagangan Malaysia, menguncup 3% kepada RM17.68 bilion berbanding tempoh  yang sama tahun lepas. Eksport mengurang 4.3% kepada RM9.36 bilion disebabkan  oleh penyusutan eksport barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta keluaran petroleum. Pengurangan ini walau bagaimanapun telah diimbangi  oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan  plastik serta barangan optik dan saintifik. Import dari EU menguncup 1.5% kepada  RM8.32 bilion. 

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 92.4% daripada jumlah  eksport Malaysia ke rantau ini adalah: 

  • Belanda RM3.12 bilion, mengurang 2.6%, tahun ke tahun; • Jerman RM2.51 bilion, ↓7.1%; 
  • Perancis RM608.8 juta, ↑25.2%; 
  • Belgium RM606.6 juta, ↓31.6%; 
  • Itali RM408.9 juta, ↓34.3%; 
  • Sepanyol RM389.4 juta, ↓12.2%; 
  • Poland RM293.3 juta, ↑2.4%;  
  • Hungary RM257.4 juta, ↑14.5%;  
  • Republik Czech RM240.1 juta, ↑42.0%; dan
  • Ireland RM209.7 juta, ↑431.6%.

Antara pasaran eksport utama EU yang merekodkan pertumbuhan adalah Perancis,  meningkat sebanyak RM122.4 juta tahun ke tahun berikutan pertambahan eksport  barangan perkilangan plastik dan Poland, yang meningkat RM6.7 juta disumbangkan  oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan. 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing mengurang sebanyak 8%, 11% dan 4.5%.

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan EU meningkat 5.2%  kepada RM200 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023. Eksport naik 2.6%  kepada RM106.53 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan  barangan berasaskan minyak sawit, keluaran getah dan barangan makanan diproses. Import dari EU mengembang 8.4% kepada RM93.47 bilion.

 

Taiwan, POC – Pertumbuhan Dua Digit Eksport 11 Bulan Berturut-Turut  

Pada November 2024, perdagangan dengan Taiwan, POC yang menyumbang 6.2%  kepada jumlah perdagangan Malaysia naik sebanyak 45% tahun ke tahun kepada  RM14.77 bilion. Eksport melonjak 70.2% kepada RM5.98 bilion, merupakan  pertumbuhan dua digit yang ke-11 bulan berturut-turut. Ini telah disokong oleh  peningkatan permintaan bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta LNG.  Import dari Taiwan, POC mengembang 31.8% kepada RM8.79 bilion. 

Berbanding bulan Oktober 2024, eksport naik 2.3% manakala perdagangan dan import masing-masing menurun 1.9% dan 4.6%. 

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan Taiwan, POC meningkat 38% kepada RM158.95 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.  Eksport melonjak 53.2% kepada RM60.51 bilion disumbangkan oleh eksport yang  kukuh bagi barangan E&E serta barangan optik dan saintifik. Import dari Taiwan, POC naik 30% kepada RM98.44 bilion. 

 

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA  

Pada November 2024, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan  Bebas (FTA) yang merangkumi 63.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia  mengurang 2.4% tahun ke tahun kepada RM152.1 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA  menguncup 4.6% kepada RM81.38 bilion manakala import naik 0.2% kepada RM70.72  bilion.

Meskipun jumlah eksport ke rakan dagang FTA menyusut, kenaikan eksport telah  direkodkan ke Republik Korea yang naik sebanyak 4.1% kepada RM5.17 bilion dan  eksport ke Kanada melonjak 61.5% kepada RM559.8 juta, masing-masing disokong  oleh kenaikan eksport barangan E&E. 

Begitu juga, eksport ke India mengembang 13.4% tahun ke tahun kepada RM4.22  bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian  berasaskan minyak sawit, eksport ke Turkiye meningkat 10.6% kepada RM1.7 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi barang kemas dan eksport ke New Zealand naik  42.6% kepada RM739.9 juta disokong oleh pertambahan eksport keluaran petroleum. 

Sementara itu, eksport ke Mexico meningkat 21.7% kepada RM1.49 bilion  disumbangkan oleh pertumbuhan eksport kimia dan bahan kimia dan eksport ke Peru bertambah sebanyak 1.2% kepada RM52 juta didorong oleh kenaikan eksport  barangan makanan diproses. 

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing menguncup sebanyak 2.2%, 2.5% dan 1.9%. 

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA  naik 4.6% kepada RM1.703 trilion, eksport bertambah 0.7% kepada RM918.17 bilion  dan import mengembang 9.6% kepada RM784.5 bilion, berbanding tempoh yang sama  tahun 2023. 

 

Prestasi Import 

Jumlah import pada November 2024 meningkat 1.6% tahun ke tahun kepada RM111.28  bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 77.8%  daripada jumlah keseluruhan import adalah: 

  • Barangan perantaraan, bernilai RM63.26 bilion atau 56.8% daripada jumlah  import, mengembang 12.7% tahun ke tahun, disumbangkan oleh kenaikan  import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan  pengangkutan; 
  • Barangan modal, bernilai RM13.28 bilion atau 11.9% daripada jumlah import,  mengurang 10%, hasil pengurangan import barangan modal bukan kelengkapan  pengangkutan; dan
  •  Barangan penggunaan, bernilai RM10.08 bilion atau 9.1% daripada jumlah  import, meningkat 3.5%, dipacu oleh pertambahan import makanan dan  minuman diproses khusus untuk penggunaan isirumah.

Berbanding bulan Oktober 2024, import menguncup 4.3%. Sementara itu, import barangan perantaraan, modal dan penggunaan masing-masing meningkat sebanyak  0.8%, 7.8% dan 4.6%. 

Pada tempoh 11 bulan pertama tahun 2024, import meningkat 13.3% kepada RM1.252  trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Import barangan perantaraan naik 22.7% kepada RM687.94 bilion, import barangan modal mengembang 28.4% kepada  RM149.49 bilion dan import barangan penggunaan bertambah 12.9% kepada  RM107.16 bilion.