Hari Eksport Negeri Sembilan Pemangkin Pembangunan Pengeksport Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR, 2 SEPTEMBER 2025 (SELASA) – Hari Eksport Negeri Sembilan 2025 menjadi penutup edisi Hari Eksport negeri bagi tahun 2025 dengan penyertaan lebih 160 usahawan dan pemain industri tempatan, sekali gus menzahirkan komitmen kerajaan dalam memperkasa agenda eksport negeri.
Program Hari Eksport Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung dari 2 hingga 3 September di Hotel Royale Chulan, Seremban merupakan anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kerajaan Negeri Sembilan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) turut mendapat kerjasama dengan rakan strategik Bank Muamalat Malaysia Berhad, VISA serta EXIM Bank Malaysia.
Ini merupakan kali pertama Hari Eksport diadakan di Negeri Sembilan dan merupakan lokasi keempat untuk tahun 2025 selepas penganjurannya di Perak, Sarawak dan Selangor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato Mohammad Medan Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah MATRADE dan YBrs. Encik Mansor Shah Wahid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE.
YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin berkata, “Hari Eksport Negeri Sembilan yang julung kali di adakan merupakan satu platform terbaik untuk kita melangkah lebih jauh ke pentas dunia. Kerajaan Negeri bertekad untuk memperkasa usahawan tempatan agar produk Negeri Sembilan mampu dikenali dan bersaing di persada antarabangsa,”
“Kerajaan Negeri Sembilan akan sentiasa komited dalam menyokong syarikat tempatan agar terus berkembang dan menjadi pilihan antarabangsa. Hari Eksport Negeri Sembilan ini adalah bukti sokongan padu untuk menjayakan impian tersebut. Harapan kerajaan negeri, Hari Eksport Negeri Sembilan ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai pengeksport baharu, sekaligus menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab eksport yang disegani,” tambah beliau.
Menurut YBhg. Dato Mohammad Medan, “Dari tahun 2024 hinggalah Julai 2025, sebanyak 200 syarikat Negeri Sembilan telah mendapat manfaat daripada program pembangunan pengeksport dan fasilitasi perdagangan MATRADE,”
“Geran berjumlah RM1.5 juta telah disalurkan kepada syarikat-syarikat Negeri Sembilan dan telah membantu mereka menjana jualan eksport sebanyak RM672.18 juta,” tambah beliau.
Setakat 31 Julai 2025, sebanyak 13,314 syarikat Malaysia telah berdaftar dengan MATRADE, di mana sebanyak 315 adalah syarikat-syarikat dari Negeri Sembilan.
Menurut YBrs. Encik Mansor, “Acara Hari Eksport berperanan sebagai platform strategik untuk membangunkan lebih ramai usahawan pengeksport di samping meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan potensi bagi pasaran eksport kepada usahawan negeri terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),”
“Sepanjang program ini, peserta Hari Eksport Negeri Sembilan didedahkan dengan pelbagai topik mengenai eksport,” tambah beliau.
Selain daripada itu, kaunter informasi oleh pihak Kementerian serta Agensi Kerajaan, institusi kewangan, dan lain-lain pemegang taruh yang terlibat dengan ekosistem eksport di Malaysia juga disediakan untuk memberi maklumat, khidmat nasihat dan sokongan secara langsung kepada para peserta yang berminat untuk meneroka pasaran antarabangsa.
MATRADE sentiasa komited untuk membimbing semua syarikat di Negeri Sembilan untuk meningkatkan pengetahuan mereka mengenai eksport, seterusnya membantu mereka meneroka pasaran antarabangsa.