Nilai Eksport Kedua Tertinggi Tahun Ini, Eksport E&E Catat Rekod Tertinggi Dalam Sejarah

Perdagangan Malaysia terus menunjukkan pengukuhan pada September 2025, kembali meningkat daripada penguncupan dicatatkan pada bulan sebelumnya meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global. Perdagangan mengembang 9.8% tahun ke tahun kepada RM257.51 bilion. Eksport kekal kukuh untuk bulan ketiga berturut-turut, meningkat 12.2% tahun ke tahun kepada RM138.68 bilion, nilai eksport kedua tertinggi dicatatkan tahun ini. Import meningkat 7.3% kepada RM118.82 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM19.86 bilion, yang ke-65 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.

Pertumbuhan eksport pada September 2025 direkodkan merentasi semua sektor. Pertumbuhan dalam sektor perkilangan dipacu oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang merekodkan nilai tertinggi setakat ini, dengan peningkatan hampir RM11 bilion. Penyumbang utama lain termasuk jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik. Sementara itu, sektor galian pula pulih selepas 13 bulan mencatatkan penguncupan, didorong terutamanya oleh kenaikan eksport bijih logam dan serpihan logam. Bagi sektor pertanian pula, minyak sawit dan keluaran pertanian
berasaskan minyak sawit mencatatkan peningkatan tertinggi.

Malaysia merekodkan peningkatan eksport ke rakan dagang utama, iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU). Eksport turut terus berkembang ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), dengan peningkatan ketara dicatatkan ke Mexico, India, Australia, New Zealand, Turkiye,United Kingdom (UK), Pakistan dan Kanada.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, Malaysia merekodkan nilai kumulatif tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import setakat ini. Perdagangan meningkat 4.4% tahun ke tahun kepada RM2.235 trilion. Eksport naik 4.8% kepada RM1.170 trilion, manakala import bertambah 4.0% kepada RM1.064 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM105.65 bilion.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah menaikkan unjuran pertumbuhan volum perdagangan barangan dunia bagi 2025 kepada 2.4% (berbanding 0.9% pada April 2025), dipacu oleh kenaikan perbelanjaan terhadap barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI), peningkatan import dari Amerika Utara menjelang kenaikan tarif serta perdagangan yang kukuh di rantau-rantau lain. Sejajar dengan trend global ini, Bank Dunia turut menyemak lebih tinggi unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2025 kepada 4.1% (berbanding 3.9% pada April 2025). Unjuran ini mencerminkan
permintaan domestik yang stabil serta permintaan luar yang lebih kukuh daripada jangkaan, khususnya dalam sektor E&E. Tambahan lagi, Tinjauan Ekonomi 2026 menganggarkan perdagangan Malaysia akan berkembang sebanyak 3.9% pada tahun 2025, dengan eksport meningkat 3.3% dan import naik 4.6%.

Walau bagaimanapun, ketegangan perdagangan yang berterusan serta kemungkinan pelaksanaan tarif baharu di kalangan ekonomi utama kekal sebagai cabaran. Ketidaktentuan ini boleh mengakibatkan gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos kepada pengeksport serta mewujudkan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan Malaysia, yang berpotensi menjejaskan keupayaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang kukuh. Sehubungan itu, pengeksport Malaysia digalakkan untuk mempelbagaikan pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan sentiasa peka terhadap perubahan dasar perdagangan. Dengan sokongan dan panduan daripada MITI dan MATRADE, pengeksport boleh mengurus risiko dengan lebih berkesan dan merebut peluang baharu di pasaran global. Pengeksport juga disarankan untuk memanfaatkan sepenuhnya 18 FTA yang telah dimeterai antara Malaysia dan pelbagai negara serta ekonomi dunia.

Prestasi Eksport Sektor Utama     

Kesemua Sektor Catat Pertumbuhan dalam Eksport

Pada September 2025, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 86.7% daripada jumlah eksport meningkat 12.5% tahun ke tahun kepada RM120.3 bilion, didorong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan optik dan saintifik serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Eksport barangan E&E mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.

Eksport keluaran pertanian, (6.9% syer) pada September 2025 mencatatkan peningkatan tahun ke tahun bagi dua bulan berturut-turut, berkembang 6.5% kepada RM9.57 bilion disokong oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan kenaikan kuantiti dan harga eksport.

Eksport hasil galian (5.2% syer) pada September 2025 naik 4.3% tahun ke tahun kepada RM7.24 bilion disumbangkan oleh peningkatan eksport bijih logam dan serpihan logam.

Barangan eksport utama pada September 2025:  

  • Barangan E&E, bernilai RM65.14 bilion dan merangkumi 47.0% daripada jumlah eksport, meningkat 19.5% berbanding September 2024;
  • Keluaran petroleum, RM8.75 bilion, 6.3% daripada jumlah eksport, ↑6.8%;
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM7.45 bilion, 5.4% daripada jumlah eksport, ↑8.6%;
  • Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.34 bilion, 4.6% daripada jumlah eksport,↑14.7%; dan
  • Barangan optik dan saintifik, RM5.67 bilion, 4.1% daripada jumlah eksport, ↑16.7%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9%, 0.5% dan 1.8%.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025, eksport barangan perkilangan bertambah 6.0% kepada RM1.012 trilion, melepasi paras RM1 trilion sebulan lebih awal berbanding tahun 2024. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Eksport keluaran pertanian meningkat 7.1% kepada RM81.37 bilion didorong oleh pertumbuhan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Namun begitu, eksport hasil galian menurun 14.8% kepada RM66.46 bilion berikutan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama   

Pada September 2025, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) merangkumi 71.3% syer daripada jumlah perdagangan.

ASEAN – Pertumbuhan Eksport Dua Digit

Pada September 2025, perdagangan dengan ASEAN yang menyumbang 25.9% kepada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 9.4% tahun ke tahun kepada RM66.59 bilion. Eksport terus meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut, mencatat pertumbuhan dua digit 19.2% kepada RM40.50 bilion dipacu oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan E&E. Import dari ASEAN menurun 3.1% kepada RM26.08 bilion.

Pecahan eksport ke negara ASEAN:

  • Singapura                RM23.38 bilion, meningkat 28.0%, tahun ke tahun;
  • Thailand                   RM5.52 bilion, ↑13.2%;
  • Viet Nam                  RM4.95 bilion, ↑25.5%;
  • Indonesia                 RM3.89 bilion, ↓9.0%;
  • Filipina                     RM2.02 bilion, ↓1.8%;
  • Kemboja                  RM359.4 juta, ↑111.4%; 
  • Brunei                      RM270.1 juta, ↑27.0%;
  • Myanmar                 RM110.3 juta, ↓31.2%; dan
  • Lao PDR                 RM6.6 juta, ↓15.8%.

Pasaran utama ASEAN yang mencatat pertumbuhan eksport adalah Singapura yang naik sebanyak RM5.11 bilion tahun ke tahun, Thailand yang mengembang sebanyak RM643.6 juta dan Viet Nam yang meningkat sebanyak RM1.00 bilion, berikutan eksport yang kukuh bagi barangan E&E.

Berbanding Ogos 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 5.0%, 8.4% dan 0.1%.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, perdagangan dengan ASEAN meningkat 0.1% kepada RM575.87 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport naik 3.0% kepada RM339.97 bilion dipacu oleh permintaan yang kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik. Import dari ASEAN menyusut 3.9% kepada RM235.90 bilion.

China – Eksport Kekal Peningkatan bagi Tiga Bulan Berturut-turut

Perdagangan dengan China pada September 2025 yang menyumbang 18.6% kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 27.8% tahun ke tahun kepada RM47.81 bilion. Eksport mencatatkan kenaikan untuk bulan ketiga berturut-turut, meningkat 2.9% kepada RM16.61 bilion disokong oleh kenaikan eksport bijih logam dan serpihan logam, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit dan keluaran petroleum. Import dari China meningkat 46.6% kepada RM31.20 bilion.

Berbanding Ogos 2025, perdagangan dan import masing-masing meningkat sebanyak 6.9% dan 13.5%, manakala eksport menurun 3.7%.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2025, perdagangan dengan China berkembang 8.6% kepada RM385.71 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport mengurang 0.6% kepada RM136.34 bilion, disebabkan oleh penurunan eksport LNG, kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan logam serta barangan kertas dan palpa. Walau bagaimanapun, penurunan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan E&E, bijih logam dan serpihan logam serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari China melonjak 14.3% kepada RM249.36 bilion.

AS – Eksport Kembali Meningkat dengan Pertumbuhan Dua Digit

Pada September 2025, perdagangan dengan AS, yang merangkumi 11.2% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 6.8% tahun ke tahun kepada RM28.90 bilion. Eksport melonjak daripada pertumbuhan negatif pada bulan sebelumnya kepada kenaikan dua digit 24.4% kepada RM20.07 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Import dari AS menurun 19.2% kepada RM8.83 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 11.0% dan 23.5%, manakala import merosot 9.7%.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, perdagangan dengan AS mengekalkan prestasi kukuh, meningkat 15.4% kepada RM270.88 bilion. Eksport bertambah 18.2% kepada RM166.38 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses. Import dari AS meningkat 11.2% kepada RM104.50 bilion.

Taiwan – Perdagangan Catat Pertumbuhan Dua Digit

Pada September 2025, perdagangan dengan Taiwan yang menyerap 7.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi kukuh, mencatat pertumbuhan dua digit 30.5% tahun ke tahun kepada RM20.17 bilion. Eksport naik 8.6% kepada RM7.79 bilion, didorong oleh pertambahan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan besi dan keluli. Import dari Taiwan melonjak 49.5% kepada RM12.38 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 1.4% dan 10.1%, manakala import mengurang 3.4%.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, perdagangan dengan Taiwan melonjak 33.7% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kepada RM172.74 bilion. Eksport melonjak 27.2% kepada RM61.98 bilion, disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan meningkat 37.7% kepada RM110.76 bilion.

EU – Kenaikan Eksport bagi Lapan Bulan Berturut-turut

Pada September 2025, perdagangan dengan EU yang menyumbang 7.8% kepada jumlah perdagangan Malaysia mengembang 12.0% tahun ke tahun kepada RM20.02 bilion. Eksport naik bagi lapan bulan berturut-turut, mencatat pertumbuhan dua digit 19.7% kepada RM11.86 bilion, didorong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit. Import dari EU bertambah 2.4% kepada RM8.16 bilion.

Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 91.8% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:

  • Belanda                 RM4.27 bilion, meningkat 34.5%, tahun ke tahun;
  • Jerman                  RM2.60 bilion, ↓15.4%;
  • Sepanyol               RM664.1 juta, ↑89.7%;
  • Itali                        RM623.5 juta, ↑52.8%;
  • Ireland                   RM581.9 juta, ↑562.9%; 
  • Belgium                 RM478.2 juta, ↓28.3%;
  • Perancis                RM463.8 juta, ↓19.7%;
  • Hungary                RM436.1 juta, ↑74.2%;
  • Poland                   RM431.9 juta, ↑8.4%; dan
  • Republik Czech     RM333.4 juta, ↑112.6%.

Eksport ke Belanda meningkat sebanyak RM1.10 bilion tahun ke tahun disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, eksport ke Sepanyol naik RM314.0 juta disumbangkan oleh kenaikan permintaan bagi barangan besi dan keluli serta eksport ke Itali menokok RM215.5 juta berikutan eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit.

Berbanding Ogos 2025, eksport naik 4.0%, manakala perdagangan dan import masingmasing menurun sebanyak 0.3% dan 6.0%.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, perdagangan dengan EU mengembang 1.5% kepada RM165.61 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Eksport naik 7.4% kepada RM93.10 bilion disokong oleh eksport kukuh bagi barangan E&E serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari EU mengurang 5.1% kepada RM72.52 bilion.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA   

Pada September 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 64.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 9.0% tahun ke tahun kepada RM165.64 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA mencatat pertumbuhan dua digit 10.2% kepada RM90.34 bilion, manakala import naik 7.5% kepada RM75.3.0 bilion.

Peningkatan eksport direkodkan ke Mexico yang melonjak 112.6% kepada RM2.73 bilion, ke Australia yang naik 4.1% kepada RM3.83 bilion dan ke Kanada meningkat 6.0% kepada RM432.3 juta, disokong oleh eksport kukuh barangan E&E.

Selain itu, eksport ke India melonjak 28.7% kepada RM4.50 bilion dan eksport ke Pakistan naik 13.1% kepada RM457.2 juta berikutan peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Begitu juga, eksport ke New Zealand melonjak 38.3% kepada RM500.0 juta disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum, eksport ke Turkiye naik 7.3% kepada RM1.52 bilion berikutan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan perkilangan logam dan eksport ke UK mengembang 9.5% kepada RM759.8 juta dipacu oleh pertambahan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan.

Berbanding Ogos 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 3.2%, 2.5% dan 4.0%.

Perdagangan dengan rakan dagang FTA pada tempoh sembilan bulan pertama  tahun 2025 mengembang 1.6% kepada RM1.430 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport naik 1.3% kepada RM770.59 bilion dan import meningkat 1.9% kepada RM659.59 bilion.

Prestasi Import

Jumlah import pada September 2025 kembali meningkat, sebanyak 7.3% tahun ke tahun kepada RM118.82 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang menyumbang 69.0% kepada jumlah import adalah seperti berikut:

  • Barangan perantaraan, bernilai RM54.25 bilion atau 45.7% daripada jumlah import, menurun 7.6%, berikutan pengurangan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
  • Barangan modal, bernilai RM18.51 bilion atau 15.6% daripada jumlah import, meningkat 9.3%, disebabkan kenaikan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
  • Barangan penggunaan, bernilai RM9.25 bilion atau 7.8% daripada jumlah import, mengembang 5.1%, hasil daripada peningkatan import barangan tahan lama.

Berbanding Ogos 2025, jumlah import meningkat 2.9% dengan import barangan modal naik 17.8%, manakala import barangan perantaraan dan barangan penggunaan masing-masing menurun sebanyak 10.0% dan 1.8%.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah import menokok 4.0% kepada RM1.064 trilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Import barangan perantaraan menguncup 5.1% kepada RM533.35 bilion, import barangan modal mengembang 29.7% kepada RM159.77 bilion dan import barangan penggunaan menurun 0.3% kepada RM87.17 bilion.