Prestasi Perdagangan Luar Bagi Bulan Februari 2025
PRESTASI PERDAGANGAN MALAYSIA KEKAL KUKUH, CAPAI REKOD TERTINGGI BAGI BULAN FEBRUARI #
Perdagangan, Eksport dan Import Tertinggi Direkodkan bagi Februari Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum positif pada bulan Februari 2025, mencatatkan pertumbuhan 5.9% tahun ke tahun kepada RM223.89 bilion. Eksport meningkat 6.2% kepada RM118.26 bilion manakala import naik 5.5% kepada RM105.64 bilion. Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-14 bulan berturut-turut bagi perdagangan dan bulan ke-5 berturut-turut bagi eksport. Sementara itu, lebihan dagangan meningkat kepada RM12.62 bilion, merupakan lebihan yang ke58 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020. Perdagangan, eksport dan import juga mencatatkan nilai tertinggi dalam sejarah untuk bulan Februari.
Kenaikan eksport telah didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan perkilangan (85.7% daripada jumlah eksport) yang naik sebanyak 8.8% kepada RM101.3 bilion. Kenaikan ini disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang meningkat melebihi RM7 bilion. Keluaran pertanian, khasnya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, turut menyumbang kepada kenaikan eksport. Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E, khususnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs). Kenaikan ini selaras dengan unjuran 11.2% pertumbuhan jualan semikonduktor global tahun 2025 yang dikeluarkan oleh World Semiconductor Trade Statistics (WSTS). Eksport ke pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat Embargo sehingga jam 1200, Khamis, 20 Mac 2025 Embargo sehingga jam 1200, Khamis, 20 Mac 2025 2 tahun ke tahun, termasuklah Mexico dan Kanada, yang dipacu oleh permintaan berterusan terhadap barangan E&E dari negara-negara ini.
Pada dua bulan pertama tahun 2025, prestasi perdagangan negara terus mencatatkan trajektori pertumbuhan, naik 4.4% kepada RM465.86 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport bertambah 3.1% kepada RM241.07 bilion manakala import menokok 5.9% kepada RM224.79 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM16.28 bilion. Perdagangan, eksport dan import juga mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh ini.
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan pertumbuhan volum perdagangan dunia sebanyak 3.0% pada tahun 2025, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan peningkatan sebanyak 3.2%. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan ini berkemungkinan akan dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik semasa. Untuk mengekalkan pertumbuhan dalam perdagangan antarabangsa, MITI dan agensi promosi perdagangannya, MATRADE, komited untuk memperluaskan eksport ke pasaran sedia ada dan juga meneroka pasaran baharu.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Barangan E&E Pacu Pertumbuhan Eksport
Pada Februari 2025, eksport barangan perkilangan yang menyumbang 85.7% kepada jumlah eksport berkembang sebanyak 8.8% tahun ke tahun kepada RM101.3 bilion, merupakan peningkatan yang kelima bulan berturut-turut. Peningkatan ini disebabkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, yang mencatatkan peningkatan lebih daripada RM7 bilion. Barangan lain yang turut mencatatkan pertumbuhan eksport termasuk jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan optik dan saintifik serta barangan makanan diproses.
Eksport keluaran pertanian (7.3% syer) mencatatkan pengembangan dua digit sebanyak 27.4% kepada RM8.65 bilion, merupakan pertumbuhan yang ke-11 bulan berturut-turut. Ini merupakan hasil daripada peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan kenaikan kuantiti dan harga eksport.
Sementara itu, eksport hasil galian (6.1% syer) menyusut sebanyak 33% kepada RM7.23 bilion disebabkan oleh penurunan eksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG), berikutan penurunan kuantiti dan harga eksport.
Barangan eksport utama pada Februari 2025:
- Barangan E&E, bernilai RM47.27 bilion dan merangkumi 40% daripada jumlah eksport, meningkat sebanyak 18.1% berbanding Februari 2024;
- Keluaran petroleum, RM9.25 bilion, 7.8% daripada jumlah eksport, ↓12.3%;
- Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM6.31 bilion, 5.3% daripada jumlah eksport,↑31.8%;
- Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM5.83 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, ↑12.4%; dan
- Kimia dan bahan kimia, RM5.64 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport, ↓2.8%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing menurun sebanyak 2.7%, 5.2% dan 15.2%.
Eksport barangan perkilangan mengekalkan prestasi positif bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, meningkat sebanyak 4.4% kepada RM205.44 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu, disokong oleh permintaan kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Eksport keluaran pertanian berkembang kukuh, mencatatkan kenaikan dua digit sebanyak 18.4% kepada RM17.77 bilion, disokong oleh peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli. Namun begitu, eksport hasil galian menyusut 23.2% kepada RM15.75 bilion, berikutan pengurangan eksport LNG dan petroleum mentah.
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada Februari 2025, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, EU dan Taiwan merangkumi 68.5% syer daripada jumlah perdagangan Malaysia.
ASEAN – Perdagangan, Eksports dan Import Kembali Meningkat
Pada Februari 2025, perdagangan dengan ASEAN menyerap 26.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 7.4% tahun ke tahun kepada RM59.72 bilion. Eksport ke ASEAN kembali meningkat sebanyak 8.3% kepada RM34.62 bilion, disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta LNG. Import dari ASEAN pulih sebanyak 6.1% kepada RM25.1 bilion.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
• |
Singapura |
RM18.35 bilion, meningkat 17.2%, tahun ke tahun; |
|
• |
Thailand |
RM4.69 bilion, ↑14.7%; |
|
• |
Indonesia |
RM4.62 bilion, ↑8.5%; |
|
• |
Viet Nam |
RM4.02 bilion, ↓13.5%; |
|
• |
Filipina |
RM1.80 bilion, ↓10.4%; |
|
• |
Brunei |
RM442.4 juta, ↓30.8%; |
|
• |
Kemboja |
RM376.5 juta, ↓6.5%; |
|
• |
Myanmar |
RM300.4 juta, ↑16.1%; dan |
|
• |
Lao PDR |
RM11.2 juta, ↑191.7%. |
Eksport ke pasaran utama ASEAN yang mencatatkan kenaikan adalah Singapura, yang meningkat sebanyak RM2.7 bilion tahun ke tahun dan Thailand, yang naik sebanyak RM600.4 juta, disebabkan oleh eksport barangan E&E yang kukuh. Sementara itu, eksport ke Indonesia bertambah sebanyak RM362.2 juta berikutan eksport keluaran petroleum yang kukuh.
Berbanding bulan Januari 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengurang sebanyak 3.9%, 5.9% dan 1.1%.
Bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, perdagangan dengan ASEAN naik 1.2% kepada RM121.88 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport ke rantau ini berkembang sebanyak 3.1% kepada RM71.41 bilion disokong oleh eksport barangan E&E yang kukuh. Import dari ASEAN menyusut 1.4% kepada RM50.47 bilion.
China – Perdagangan Pulih
Pada Februari 2025, perdagangan dengan China yang merangkumi 15.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 4.8% tahun ke tahun kepada RM35.38 bilion. Eksport menurun 8.1% kepada RM13.14 bilion disebabkan oleh penyusutan eksport LNG, barangan perkilangan logam serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain. Walaupun mencatatkan penurunan, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan E&E. Import dari China meningkat 14.2% kepada RM22.24 bilion.
Berbanding bulan Januari 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 14.6%, 1.4% dan 20.9%.
Perdagangan dengan China bagi tempoh Januari hingga Februari 2025 naik sebanyak 4.7% kepada RM76.81 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport mengurang 6.1% kepada RM26.46 bilion disebabkan oleh penurunan eksport LNG, barangan perkilangan logam serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain. Sebaliknya, peningkatan eksport telah dicatatkan bagi barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari China meningkat 11.5% kepada RM50.35 bilion.
AS – Pertumbuhan Dua Digit bagi Perdagangan, Eksport dan Import
Perdagangan dengan AS pada Februari 2025 yang merangkumi 12.2% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 28.9% tahun ke tahun kepada RM27.38 bilion. Eksport ke AS mencatatkan pengembangan bagi 14 bulan berturutturut, meningkat 28.9% kepada RM17.5 bilion. Kenaikan ini disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan makanan diproses. Import dari AS naik 28.9% kepada RM9.88 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport mengembang 1.4%, manakala perdagangan dan import masing-masing mengurang sebanyak 3.8% dan 11.9%.
Bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, perdagangan dengan AS meningkat sebanyak 28.9% kepada RM55.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 28.5% kepada RM34.76 bilion, didorong oleh eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari AS meningkat sebanyak 29.4% kepada RM21.1 bilion.
EU – Perdagangan dan Eksport Pulih
Pada Februari 2025, perdagangan dengan EU yang merangkumi 7.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 2.7% tahun ke tahun kepada RM16.71 bilion, berbanding dengan pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Eksport ke EU kembali meningkat sebanyak 7.7% kepada RM9.46 bilion disebabkan oleh pertambahan permintaan bagi barangan E&E serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari EU menguncup 3.1% kepada RM7.25 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 92.7% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
- Jerman RM3.14 bilion, meningkat 23.1%, tahun ke tahun;
- Belanda RM2.50 bilion, ↑2.5%;
- Belgium RM686.7 juta, ↓7.5%;
- Sepanyol RM541.6 juta, ↓9.1%;
- Itali RM478.2 juta, ↓7.7%;
- Perancis RM441.0 juta, ↓1.0%;
- Republik Czech RM370.8 juta, ↑90.6%;
- Hungary RM230.2 juta, ↓19.2%;
- Poland RM229.3 juta, ↓11.9%; dan
- Sweden RM155.3 juta, ↑32.1%.
Eksport ke pasaran utama EU yang mencatatkan pertumbuhan adalah Jerman, yang naik sebanyak RM590.1 juta, disokong oleh eksport barangan E&E yang kukuh dan Belanda, yang meningkat sebanyak RM59.8 juta, disebabkan oleh pertambahan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.
Berbanding bulan Januari 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 2.4%, 2.4% dan 2.5%.
Bagi dua bulan pertama tahun 2025, perdagangan dengan EU menurun secara marginal sebanyak 0.9% kepada RM33.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport meningkat 2.2% kepada RM19.15 bilion disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit.
Import dari EU mengurang 4.6% kepada RM14.69 bilion.
Taiwan – Perdagangan, Eksport dan Import Catat Pertumbuhan
Pada Februari 2025, perdagangan dengan Taiwan yang merangkumi 6.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 17.9% tahun ke tahun kepada RM14.24 bilion. Eksport naik 6.8% kepada RM5.05 bilion, disokong oleh pertambahan eksport barangan optik dan saintifik serta barangan E&E. Import dari Taiwan menokok 25.1% kepada RM9.2 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masingmasing menyusut sebanyak 30.4%, 8.8% dan 38.3%.
Bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, perdagangan dengan Taiwan meningkat 43.3% kepada RM34.69 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport bertambah 16.2% kepada RM10.58 bilion, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Import dari Taiwan melonjak 59.7% kepada RM24.11 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada Februari 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 63.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia naik 2.3% tahun ke tahun kepada RM142.68 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA meningkat 2.1% kepada RM77.36 bilion, manakala import menokok 2.5% kepada RM65.31 bilion.
Dari segi pasaran, pertumbuhan eksport telah dicatatkan ke Hong Kong SAR, yang meningkat 35.5% kepada RM6.77 bilion, Mexico yang naik 24.6% kepada RM1.76 bilion dan Kanada yang melonjak 64.6% kepada RM587.4 juta, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E. Eksport ke Turkiye bertambah 18.2% kepada RM1.76 bilion, manakala eksport ke Chile naik 6.8% kepada RM53.4 juta, didorong oleh pertumbuhan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Sementara itu, eksport ke New Zealand bertambah 6.9% kepada RM543.7 juta dan eksport ke Peru meningkat 29.3% kepada RM55.2 juta, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan makanan diproses.
Berbanding bulan Januari 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing menguncup sebanyak 6.7%, 4.9% dan 8.7%.
Perdagangan dengan rakan dagang FTA bagi tempoh Januari hingga Februari 2025 mengurang secara marginal sebanyak 0.3% kepada RM295.59 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport menyusut 0.7% kepada RM158.7 bilion, manakala import naik 0.2% kepada RM136.89 bilion.
Prestasi Import
Jumlah import pada Februari 2025 meningkat 5.5% tahun ke tahun kepada RM105.64 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 77.2% daripada jumlah keseluruhan import adalah:
- Barangan perantaraan, bernilai RM58.73 bilion atau 55.6% daripada jumlah import, meningkat 5.8% tahun ke tahun, berikutan peningkatan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
- Barangan modal, bernilai RM13.82 bilion atau 13.1% daripada jumlah import, meningkat 35.3%, hasil peningkatan import kelengkapan pengangkutan industri; dan
- Barangan penggunaan, bernilai RM9.05 bilion atau 8.6% daripada jumlah import, meningkat 7.4%, disumbangkan oleh peningkatan import makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isi rumah.
Berbanding bulan Januari 2025, import menurun 11.3%. Import bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing menyusut sebanyak 3.3%, 30.7% dan 10%.
Bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, import meningkat 5.9% kepada RM224.79 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Import barangan perantaraan menokok 4.6% kepada RM119.48 bilion, barangan modal (↑41.2% kepada RM33.75 bilion) dan barangan penggunaan (↑1.9% kepada RM19.1 bilion).