Prestasi Perdagangan Luar Bagi Bulan May 2025
PERDAGANGAN MALAYSIA KEKAL TRAJEKTORI PENINGKATAN PADA MEI 2025
Nilai Perdagangan Bulanan Tertinggi bagi Mei, dengan Eksport Barangan E&E Kekal Meningkat
Prestasi perdagangan Malaysia meneruskan momentum peningkatan pada Mei 2025, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun bagi bulan ke-17 berturut-turut sejak Januari 2024. Perdagangan meningkat 2.6% kepada RM252.48 bilion dan merupakan jumlah bulanan tertinggi pernah direkodkan bagi Mei. Eksport mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 1.1% kepada RM126.62 bilion, manakala import bertambah 6.6% kepada RM125.86 bilion. Malaysia mengekalkan lebihan dagangan bagi 61 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, dengan nilai RM766.3 juta.
Eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) terus menunjukkan prestasi kukuh pada Mei 2025, dengan peningkatan hampir RM4 bilion. Pencapaian ini sejajar dengan unjuran World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) yang menganggarkan peningkatan jualan semikonduktor global sebanyak 11.2% pada tahun 2025. Sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global, Malaysia dijangka meraih manfaat besar daripada perkembangan ini. Walau bagaimanapun, masih terdapat cabaran perdagangan, terutamanya dalam ketidaktentuan keadaan ekonomi global. Meskipun prospek sektor ini kekal positif, pelaksanaan dasar yang proaktif amat penting bagi memastikan kemampanan momentum pertumbuhan ini.
Dari segi destinasi, eksport ke rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mencatatkan pertumbuhan kukuh manakala eksport ke Taiwan bukan sahaja meningkat, malah mencatat paras tertinggi yang baharu. Eksport ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terutamanya United Kingdom dan New Zealand turut merekodkan pertumbuhan, disokong oleh eksport lebih tinggi bagi barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, perdagangan, eksport dan import mencatatkan rekod nilai kumulatif tertinggi. Perdagangan meningkat 6.2% kepada RM1.23 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024, dengan eksport berkembang sebanyak 5.5% kepada RM638.48 bilion dan import meningkat 6.9% kepada RM591.54 bilion. Lebihan dagangan berjumlah RM46.94 bilion, menguncup 9.4%.
Menyedari impak ketidaktentuan perdagangan global, MITI dan MATRADE sedang mempergiat usaha untuk memperkukuh daya tahan ekosistem perdagangan negara. Inisiatif strategik ini turut menyumbang kepada peningkatan daya saing Malaysia di peringkat global. Dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia (World Competitiveness
Ranking – WCR) 2025 yang diterbitkan baru-baru ini, Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi (2024: kedudukan ke-34). Pencapaian ini merupakan prestasi terbaik negara sejak tahun 2020 dan mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin pulih terhadap tadbir urus ekonomi dan hala tuju dasar Malaysia.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Eksport Keluaran Pertanian Catat Pertumbuhan bagi 14 Bulan Berturut Turut
Pada Mei 2025, eksport barangan perkilangan yang menyumbang sebanyak 86.9% kepada jumlah keseluruhan eksport mencatatkan penyusutan marginal 0.3% tahun ke tahun kepada RM110.01 bilion. Penurunan ini disebabkan oleh eksport yang lebih rendah bagi keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta barangan besi dan keluli. Namun begitu, pengurangan tersebut telah diimbangi oleh pertumbuhan kukuh bagi eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses.
Eksport keluaran pertanian (7.7% syer) pada Mei 2025 mencatatkan pertumbuhan bagi 14 bulan berturut-turut, naik 8.3% tahun ke tahun kepada RM9.81 bilion. Peningkatan ini disokong oleh kenaikan kuantiti dan harga eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Sementara itu, eksport hasil galian (4.6% syer) pada Mei 2025 susut sebanyak 23.6% tahun ke tahun kepada RM5.86 bilion berikutan pengurangan dalam kuantiti eksport gas asli cecair (LNG) serta petroleum mentah yang disebabkan oleh penurunan dalam kuantiti dan harga eksport. Walau bagaimanapun, eksport petroleum kondensat dan minyak petroleum lain mencatatkan peningkatan.
Barangan eksport utama pada Mei 2025:
- Barangan E&E, bernilai RM53.68 bilion yang merangkumi 42.4% daripada jumlah eksport, meningkat 7% berbanding Mei 2024;
- Keluaran petroleum, RM8 bilion, 6.3% daripada jumlah eksport, ↓28.9%;
- Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM7.37 bilion, 5.8% daripada jumlah eksport, ↑8.3%;
- Jentera, kelengkapan dan peralatan, RM6.39 bilion, 5.1% daripada jumlah eksport, ↑16.4%; dan
- Barangan perkilangan logam, RM5.83 bilion, 4.6% daripada jumlah eksport, ↓3.1%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport keluaran pertanian meningkat sebanyak 15.8%, manakala eksport barangan perkilangan dan hasil galian masing masing mencatatkan penurunan 5% dan 27.8%.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2025, eksport barangan perkilangan meningkat 7.1% kepada RM550.51 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024 disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan makanan diproses. Eksport keluaran pertanian mencatatkan pertumbuhan dua digit 10.5% kepada RM44.24 bilion, dipacu oleh eksport yang lebih tinggi bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Namun begitu, eksport hasil galian menurun 17.9% kepada RM38.47 bilion, disebabkan oleh pengurangan eksport petroleum mentah dan LNG.
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada Mei 2025, perdagangan Malaysia dengan rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, AS, Taiwan dan EU merangkumi 70.8% syer daripada jumlah perdagangan.
ASEAN – Perdagangan Meningkat Secara Marginal bagi Lima Bulan Pertama Tahun 2025
Pada Mei 2025, perdagangan dengan ASEAN yang merangkumi 24.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 9.6% tahun ke tahun kepada RM61.86 bilion. Eksport menurun 10.9% kepada RM35.74 bilion, disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah terhadap keluaran petroleum dan barangan E&E. Sementara itu, eksport bagi petroleum kondensat dan minyak petroleum lain, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam serta barangan makanan diproses mencatatkan peningkatan. Import dari ASEAN menurun 7.7% kepada RM26.12 bilion.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
- Singapura RM18.25 bilion, menurun 18%, tahun ke tahun;
- Thailand RM5.26 bilion, ↑15.9%;
- Viet Nam RM4.90 bilion, ↑1.8%;
- Indonesia RM4.05 bilion, ↓5.9%;
- Filipina RM2.26 bilion, ↓24.2%;
- Brunei RM480.2 juta, ↓7.5%;
- Kemboja RM296.7 juta, ↑3.1%;
- Myanmar RM245.3 juta, ↓44.9%; dan
- Lao PDR RM5.0 juta, ↓0.7%.
Pasaran utama ASEAN yang mencatatkan pertumbuhan eksport adalah Thailand, yang meningkat sebanyak RM721.7 juta tahun ke tahun, didorong oleh kenaikan eksport barangan E&E dan Viet Nam, yang bertambah sebanyak RM85.9 juta, disokong oleh pertumbuhan kukuh eksport barangan perkilangan logam.
Berbanding April 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 8.5%, 12.1% dan 3%.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, perdagangan Malaysia dengan ASEAN bertambah 0.2% kepada RM315.43 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport naik 2.3% kepada RM185.56 bilion, dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN menyusut 2.7% kepada RM129.87 bilion.
China – Perdagangan Meningkat
Perdagangan Malaysia dengan China pada Mei 2025 meningkat 5.4% tahun ke tahun kepada RM44.21 bilion, merangkumi 17.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia. Eksport menurun 4.3% kepada RM15.05 bilion, disebabkan oleh pengurangan eksport LNG, kimia dan bahan kimia serta barangan kertas dan palpa. Di sebalik penyusutan ini, peningkatan eksport telah direkodkan bagi barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta petroleum mentah. Import dari China meningkat 11.3% kepada RM29.16 bilion.
Berbanding April 2025, perdagangan dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 0.2% dan 4.9%, manakala import menurun 2%.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2025, perdagangan dengan China berkembang 6.8% kepada RM206.13 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport menurun 3.2% kepada RM71.97 bilion, berikutan pengurangan eksport LNG, barangan perkilangan logam serta barangan kertas dan palpa. Walau bagaimanapun, penyusutan ini telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari China meningkat 13.1% kepada RM134.16 bilion.
AS – Pertumbuhan Dua Digit Eksport bagi Lapan Bulan Berturut-Turut
Pada Mei 2025, perdagangan dengan AS yang merangkumi 13.7% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit 28.5% tahun ke tahun kepada RM34.71 bilion. Eksport merekodkan pertumbuhan dua digit bagi lapan bulan berturut-turut, berkembang 16.1% kepada RM18.68 bilion, disokong oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari AS melonjak 46.7% kepada RM16.03 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing masing mengurang sebanyak 7.9%, 2.8% dan 13.2%.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, perdagangan dengan AS mengekalkan trajektori peningkatannya dengan merekodkan pertumbuhan dua digit 37.5% tahun ke tahun kepada RM159.3 bilion. Eksport turut mencatatkan kenaikan ketara, naik 33.6% kepada RM95.32 bilion, dipacu oleh pertambahan eksport barangan E&E, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari AS melonjak 43.8% kepada RM63.98 bilion.
Taiwan – Eksport Melonjak, Mencatat Rekod Tertinggi Baharu
Pada Mei 2025, perdagangan dengan Taiwan yang menyerap 7.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 39.2% tahun ke tahun kepada RM19.26 bilion. Eksport melonjak ke paras tertinggi baharu, berkembang 41.4% kepada RM7.56 bilion berikutan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta keluaran petroleum. Import dari Taiwan naik 37.8% kepada RM11.7 bilion.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport bertambah 4.7%, manakala perdagangan dan import masing-masing menurun sebanyak 7.3% dan 13.7%.
Perdagangan dengan Taiwan mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit pada tempoh Januari hingga Mei 2025, berkembang sebanyak 36.8% kepada RM92.77 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Eksport menokok 30.6% kepada RM32.3 bilion, didorong oleh eksport yang lebih tinggi bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari Taiwan melonjak 40.3% kepada RM60.47 bilion.
EU – Pertumbuhan Eksport yang Keempat Bulan Berturut-Turut
Pada Mei 2025, perdagangan dengan EU yang mewakili 7.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan penurunan 0.4% tahun ke tahun kepada RM18.62 bilion. Eksport meningkat 6% kepada RM10.37 bilion, pertumbuhan bagi bulan keempat berturut-turut, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit. Import dari EU menurun 7.5% kepada RM8.25 bilion.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama EU yang mewakili 90.9% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
- Belanda RM3.41 bilion, meningkat 12.6%, tahun ke tahun;
- Jerman RM2.84 bilion, ↑7.6%;
- Belgium RM686.6 juta, ↑2.9%;
- Itali RM614.8 juta, ↓8.2%;
- Perancis RM434.8 juta, ↓17.5%;
- Sepanyol RM381.5 juta, ↓35.9%;
- Republik Czech RM361.6 juta, ↑63.1%;
- Poland RM261.8 juta, ↓9%;
- Hungary RM224.1 juta, ↓17%; dan
- Austria RM209.7 juta, ↑191.4%.
Eksport ke Belanda meningkat sebanyak RM381.6 juta dan eksport ke Jerman berkembang sebanyak RM199.7 juta, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Belgium bertambah sebanyak RM19.5 juta, dipacu oleh pertumbuhan eksport keluaran petroleum.
Berbanding April 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 5.2%, 9.3% dan 0.5%.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, perdagangan dengan EU naik sebanyak 0.5% kepada RM89.16 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Eksport mengembang 5.3% kepada RM49.82 bilion, disokong oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kelengkapan pengangkutan. Import dari EU susut 4.9% kepada RM39.34 bilion.
Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA
Pada Mei 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA yang merangkumi 62.2% daripada jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan penurunan 3.4% tahun ke tahun kepada RM156.99 bilion. Eksport ke rakan dagang FTA merosot 7.6% kepada RM81.53 bilion manakala import meningkat 1.6% kepada RM75.46 bilion.
Meskipun jumlah keseluruhan eksport ke rakan dagang FTA menyusut, pertumbuhan eksport telah direkodkan ke United Kingdom yang naik 5.9% kepada RM784 juta dan New Zealand, yang berkembang 24.4% kepada RM336.5 juta, disokong oleh pertambahan eksport barangan perkilangan berasaskan minyak sawit.
Begitu juga, eksport ke Hong Kong SAR meningkat 4.6% kepada RM6.79 bilion disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan E&E manakala eksport ke Australia mengembang 1.1% kepada RM4.21 bilion, disumbangkan oleh pertumbuhan eksport barangan besi dan keluli.
Sementara itu, eksport ke Pakistan menokok 29.2% kepada RM509 juta hasil pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Eksport ke Chile melonjak 35.9% kepada RM121.3 juta, didorong oleh eksport yang kukuh bagi kimia dan bahan kimia serta eksport ke Republik Korea (ROK) meningkat 22.8% kepada RM4.24 bilion berikutan kenaikan eksport LNG.
Berbanding April 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mengurang 4.4%, 7.6% dan 0.7%.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, perdagangan dengan rakan dagang FTA meningkat 0.9% kepada RM779.12 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2024. Eksport mengembang 0.2% kepada RM418 bilion manakala import naik 1.8% kepada RM361.12 bilion.
Prestasi Import
Jumlah import pada Mei 2025 meningkat 6.6% tahun ke tahun kepada RM125.86 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 77.8% daripada jumlah keseluruhan import adalah:
- Barangan perantaraan, bernilai RM65.13 bilion atau 51.8% daripada jumlah import, menurun 4.4% disebabkan oleh pengurangan import bahan api dan pelincir utama;
- Barangan modal, bernilai RM22.72 bilion atau 18% daripada jumlah import, melonjak 63.7% hasil daripada peningkatan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
- Barangan penggunaan, bernilai RM10.07 bilion atau 8% daripada jumlah import, merosot 1.1% disebabkan oleh pengurangan import makanan dan minuman utama yang khusus untuk penggunaan isi rumah.
Berbanding April 2025, import menurun 2%. Import barangan perantaraan dan barangan penggunaan masing-masing naik sebanyak 11.9% dan 3.7%, manakala import barangan modal menurun 3.5%.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, import meningkat 6.9% kepada RM591.54 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Import barangan perantaraan menokok 0.3% kepada RM301.68 bilion, barangan modal melonjak 43.2% kepada RM93.04 bilion dan barangan penggunaan naik 1.2% kepada RM48.63 bilion.