Hari Eksport Sarawak: Manifestasi Komitmen MATRADE & Kerajaan Negeri Perkasa Ekonomi Bumi Kenyalang
KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2025 (RABU) – Hari Eksport Sarawak 2025 yang berlangsung selama dua hari di Hotel Imperial Kuching melabuhkan tirainya hari ini dengan penyertaan hampir 300 usahawan dan pemain industri dari seluruh negeri, sekali gus menzahirkan komitmen kerajaan dalam memperkasa agenda eksport negeri.
Program ini merupakan penganjuran bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED). Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan rakan strategik seperti Invest Sarawak Sdn. Bhd., EXIM Bank, dan Capital Markets Malaysia.
Hari Eksport Sarawak merupakan inisiatif berterusan MATRADE dalam meningkatkan kesedaran serta membina keupayaan syarikat tempatan, khususnya dari kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negeri untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri MINTRED, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan. Turut hadir ialah Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Lembaga Pengarah MATRADE, YBhg. Dato Mohammad Medan Abdullah.
Sempena program ini, dua syarikat tempatan telah menerima Anugerah Pengeksport Terbaik Sarawak di bawah program MATRADE. Iana Corporation Sdn. Bhd., pengeluar kek lapis Sarawak dan biskut, diiktiraf sebagai Pengeksport Terbaik bagi Kategori PMKS, manakala Tuong Aik Shipyard Sdn. Bhd., syarikat kejuruteraan pembinaan dan pembaikan kapal, menerima penghargaan bagi Kategori Syarikat Peringkat Pertengahan (SPP).
Menurut YB Dato’ Seri Reezal Merican, usaha penganjuran program seperti ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pusat dalam membina ekosistem eksport yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Beliau menyatakan bahawa Sarawak kini berada pada landasan kukuh dalam pembangunan eksport dengan peningkatan penyertaan syarikat dalam program-program MATRADE.
“Sarawak mempunyai potensi eksport yang tinggi. Kita lihat peningkatan dari segi penyertaan syarikat dalam pelbagai program pembangunan pengeksport MATRADE, dan ini perlu diteruskan bagi memastikan lebih ramai usahawan negeri ini mampu bersaing di peringkat global,” tambah beliau.
Dalam pada itu, YB Dato’ Seri Reezal Merican menegaskan bahawa MATRADE akan terus menjadi pemudah cara kepada syarikat-syarikat pengeksport menerusi inisiatif pemadanan perniagaan, promosi eksport dan pembangunan kapasiti.
“Sepanjang 2024 hingga Mei 2025, sebanyak 382 syarikat dari Sarawak telah dibantu di bawah program pembangunan pengeksport dan promosi eksport MATRADE, dengan nilai eksport yang dijana hampir RM1 bilion,” tambah beliau.
Program Hari Eksport negeri menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memacu pertumbuhan eksport negeri. Antara aktiviti utama sepanjang dua hari ini termasuk sesi libat urus, padanan perniagaan, klinik eksport serta taklimat teknikal melibatkan agensi dan institusi kewangan.
Selepas Sarawak, MATRADE bakal meneruskan siri Hari Eksport ke beberapa negeri lain, termasuk Selangor dan Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada Ogos 2025. Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif nasional untuk memperluaskan penyertaan syarikat tempatan dalam pasaran global serta menyokong pertumbuhan eksport negara secara inklusif dan mampan.