Prestasi Perdagangan : April 2021 dan Januari - April 2021
Perdagangan, Eksport dan Import Terus Catat Rekod Tertinggi Baharu
Prestasi perdagangan Malaysia terus mencatatkan momentum pertumbuhan yang kukuh pada April 2021, mengatasi prestasi bulan Mac dengan sekali lagi mencatatkan rekod nilai bulanan tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import. Perdagangan berkembang 43.2% kepada RM190.76 bilion berbanding April 2020. Eksport kekal melebihi RM100 bilion bagi dua bulan berturut-turut, berjumlah RM105.62 bilion dan melonjak sebanyak 63%. Ini merupakan pertumbuhan terpantas direkodkan sejak Februari 1998 dan kenaikan tahun ke tahun yang ke lapan bulan berturut-turut sejak September 2020. Import meningkat 24.4% kepada RM85.14 bilion dan lebihan dagangan melonjak 663.5% kepada RM20.48 bilion. Perdagangan, eksport dan import telah mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi tiga bulan berturut-turut.
Pertumbuhan eksport ini telah disokong oleh kenaikan permintaan global terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) khasnya semikonduktor di mana ianya seiring dengan perkembangan dalam teknologi pendigitalan dan pembinaan rangkaian 5G, keluaran getah serta keluaran petroleum. Eksport ke kesemua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mencatatkan pertumbuhan positif.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang sebanyak 2.7%, 0.6% dan 5.4%. Lebihan dagangan berkurang 15.4%.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : April 2021 dan Januari - April 2021
Prestasi Perdagangan : April 2021 dan Januari - April 2021 (Infografik)