Speech by Chairman of MATRADE, Perhimpunan Bulanan MITI dan Agensi
- Kategori: Speeches 2014
UCAPAN OLEH
YB DATO’ NORAINI AHMAD
PENGERUSI MATRADE
BAGI
PERHIMPUNAN BULANAN
MITI DAN AGENSI
11 FEBRUARI 2014
DEWAN MATRADE, MENARA MATRADE
Terima kasih Tuan pengerusi majlis.
Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri;
Yang Berhormat Datuk Ir Hamim Samuri
Timbalan Menteri Perdagangn Antarabangsa dan Industri;
Yang Berbahagia Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria
Ketua Setiausaha MITI;
Yang Berbahagia Datuk Dr. Wong Lai Sum
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE;
Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Ketua- Ketua Agensi MITI serta warga MITI dan agensi yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya kita dapat berkumpul pada pagi ini untuk menghadiri Majlis Perhimpunan Perdana MITI tahun 2014. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MITI kerana telah memberikan peluang kepada MATRADE untuk menjadi tuan rumah kepada Majlis pada hari ini, dan saya mengucapkan Selamat Datang ke MATRADE.
2. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014 dan juga Tahun Baru Cina, dan berharap kita dapat menambahkan lagi azam dan tekad kita untuk menjadikan tahun baru ini lebih berjaya daripada tahun – tahun sebelum ini.
Para hadirin sekalian,
3. MATRADE mengakui bahawa ekspektasi dan peranan MATRADE adalah semakin mencabar, selaras dengan sasaran eksport yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Cabaran ini semakin mendesak mengambilkira faktor persaingan yang semakin sengit dalam suasana persekitaran ekonomi dan politik global yang tidak menentu.
4. Berdasarkan kepada cabaran ini, MATRADE telah mengambil beberapa pendekatan baru dalam program promosi eksport sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi tahun 2014, MATRADE telah menetapkan sasaran KPI yang lebih tinggi selaras dengan Outcome-based Budgeting. Kesemua program dan akitiviti MATRADE termasuk aspek pengurusan dan pentadbiran pejabat dikehendaki menetapkan sasaran yang perlu dipersetujui oleh pihak pengurusan dan kakitangan.
5. Dari segi promosi eksport, MATRADE mengenalpasti bahawa kapasiti dan dayasaing pengeksport terutama sekali SMEs adalah amat kritikal bagi menjamin keberkesanan aktiviti promosi eksport. MATRADE akan terus memberikan penekanan kepada aspek pembangunan kapasiti dan dayasaing ini melalui pelbagai program latihan dan pendedahan kepada peraturan perdagangan antarabangsa. Untuk tujuan ini, seramai 50 orang pegawai MATRADE sedang mengikuti latihan Certified Business Advisors di mana mereka akan diberikan sasaran dari segi jumlah pengeksport yang perlu dibimbing dan dipantau secara hands-on. Dengan ini program latihan pengeksport adalah lebih fokus dan dapat dipantau hasilnya secara kualitatif dan kuantitatif.
6. Tidak dapat dinafikan MATRADE telah banyak membantu syarikat pengeksport Malaysia berjaya di pasaran antarabangsa. Mereka bukan sahaja terlibat dalam industri tradisional seperti perabot, makanan dan produk berasaskan sumber, malah termasuk industri baru dan berimpak tinggi seperti E&E, minyak & gas, pembinaan, teknologi hijau, kejuruteraan dan lain-lain.
7. Usaha untuk membawa lebih banyak syarikat Malaysia ke pasaran antarabangsa akan terus diperkukuhkan. Contohnya, dengan kerjasama SME Corp., MATRADE akan melancarkan program Go-Ex sebaik sahaja mendapat peruntukan kewangan untuk tujuan ini. Bagi tahun 2014, program ini mensasarkan 50 syarikat pengeksport SME yang telah dikenalpasti mempunyai kapasiti eksport untuk dipadankan dengan pengimport luar Negara melalui market immersion programme.
8. Di samping itu, program yang serupa akan turut dilancarkan bagi syarikat bersaiz sederhana atau Mid-Tier yang dikenalpasti memalui proses pemilihan yang diaudit. Program ini dijangka dapat menjana eksport dengan kadar segera memandangkan syarikat Mid-Tier sememangnya telah mempunyai kapasiti dan dayasaing yang tersendiri.
9. Dari segi aktiviti promosi, MATRADE telah menyenaraikan sebanyak 147 aktiviti pada tahun 2014 melibatkan 46 pasaran. Aktiviti ini merangkumi penyertaan di pameran perdagangan antarabangsa, specialised marketing missions, Malaysia Services Exhibitions, Incoming Buying Missions dan sebagainya. Dua program ‘Flagship’ MATRADE iaitu Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan International Trade (INTRADE) akan diteruskan. Di samping itu, terdapat dua acara antarabangsa yang julung kalinya akan diadakan di Malaysia, iaitu Offshore Technology Conference Asia (OTC Asia) dan Kuala Lumpur International Aerospace Business & Defence Convention. Program ini dijangka mampu memposisikan Malaysia sebagai pemain penting dalam industri minyak & gas dan aerospace.
Para hadirin sekalian,
10. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, selaku Pengerusi MATRADE, saya berharap mendapat kerjasama dari semua pihak, MITI dan agensi dalam meningkatkan keupayaan dan dayasaing syarikat pengeksport serta menghasilkan pengeksport yang berjaya di peringkat antarabangsa. Bagi MATRADE, kami seluruh warga MATRADE mengulangi komitmen kami untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam merialisasikan hasrat Kerajaan meningkatkan nilai eksport Negara dan menjadikan Malaysia sebuah Negara pengeksport utama.
Sekian, terima kasih.