Prestasi Perdagangan : April 2017 dan Januari - April 2017
April 2017 – Perdagangan Tumbuh Dua Digit bagi 5 Bulan Berturut-turut
Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan April 2017 meningkat 22.5% kepada RM139.18 bilion berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini disokong oleh perdagangan yang lebih tinggi dengan ASEAN, China, Jepun, India, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
Eksport mengekalkan pertumbuhan dua digit bagi lima bulan berturut-turut sejak Disember 2016. Eksport pada bulan April 2017 meningkat 20.6% kepada RM73.97 bilion berbanding April 2016 dan import naik 24.7% kepada RM65.21 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM8.75 bilion. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-234 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut sebanyak 12.9%, 10.5% dan 15.6% berikutan kesan nilai asas yang tinggi pada bulan Mac.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : April 2017 dan Januari - April 2017
Jumlah perdagangan bagi empat bulan pertama 2017 berjumlah RM569.68 bilion, meningkat 23.8% berbanding RM460.02 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas. Eksport bernilai RM298.65 bilion, naik 21.2% manakala import berkembang 26.9% kepada RM271.03 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM27.62 bilion direkodkan pada tempoh tersebut.