Jun 2017 – Lebihan Dagangan Sebanyak RM9.88 bilion, Tertinggi Sejak April 2016

Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan Jun 2017 meningkat sebanyak 7% kepada RM136.26 bilion, berbanding RM127.38 bilion yang direkodkan pada Jun 2016. Perkembangan ini disokong terutamanya oleh perdagangan dengan China, India, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Republik Korea (ROK).

Eksport pada Jun 2017 mencatatkan peningkatan tahun ke tahun yang lebih tinggi berbanding import bagi dua bulan berturut-turut. Eksport berkembang 10% kepada RM73.07 bilion dan import meningkat 3.7% kepada RM63.19 bilion. Lebihan dagangan pada bulan Jun 2017 berjumlah RM9.88 bilion, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-236 bulan berturut-turut sejak November 1997 dan nilai lebihan dagangan tertinggi sejak April 2016.

Berbanding Mei 2017, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing berkurang sebanyak 11.1%, 8% dan 14.5%.

Jumlah perdagangan pada suku kedua (S2) 2017 berjumlah RM428.66 bilion, peningkatan sebanyak 19.9% berbanding S2 2016. Eksport pada S2 bernilai RM226.36 bilion, 20.6% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala import meningkat 19.1% kepada RM202.31 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM24.05 bilion direkodkan bagi S2 2017 berbanding RM17.86 bilion yang dicatatkan pada S2 2016.

Berbanding S1 2017, eksport naik 0.7%, manakala jumlah perdagangan dan import masing-masing turun secara marginal sebanyak 0.4% dan 1.7%.

Pada separuh pertama (H1) 2017, jumlah perdagangan Malaysia bertambah 22% kepada RM859.17 bilion berbanding RM704 bilion yang direkodkan pada H1 2016. Pada tempoh tersebut, eksport meningkat 21% kepada RM451.05 bilion dan import berkembang 23.3% kepada RM408.12 bilion. Lebihan dagangan sebanyak RM42.93 bilion telah direkodkan pada H1 2017 berbanding RM41.79 bilion pada H1 2016.

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Jun 2017 dan Januari - Jun 2017