Eksport Terus Berkembang Kukuh pada Bulan April

Eksport Malaysia pada April 2018 merekodkan peningkatan yang kukuh tahun ke tahun sebanyak 14% kepada RM84.24 bilion. Ini merupakan nilai eksport bulanan kedua tertinggi selepas RM84.47 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh kenaikan eksport ke Hong Kong SAR, ASEAN, China, Kesatuan Eropah (EU), Taiwan, Bangladesh dan Republik Korea (ROK).

Import berkembang 9.1% tahun ke tahun kepada RM71.17 bilion. Jumlah perdagangan meningkat 11.7% kepada RM155.42 bilion setelah merekodkan pengurangan sebanyak 3.5% pada bulan Mac. Lebihan dagangan berjumlah RM13.07 bilion dicatatkan, iaitu lebihan dagangan yang ke-246 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, import dan jumlah perdagangan meningkat 2% dan 0.8% manakala eksport dan lebihan dagangan masing-masing menguncup 0.3% dan 11%.

Jumlah perdagangan bagi empat bulan pertama tahun 2018 bernilai RM597.3 bilion, naik 4.9% berbanding tempoh yang sama tahun 2017. Eksport berkembang 7.8% kepada RM321.87 bilion dan import meningkat 1.6% kepada RM275.43 bilion. Lebihan dagangan melonjak sebanyak 68.7% kepada RM46.44 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2017.

 

Muat turun:

Prestasi Perdagangan : April 2018 dan Januari - April 2018