Eksport Kekal Tinggi Pada Mei 2018 Dengan Nilai RM82.11 Bilion

Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan Mei 2018 meningkat 1.8% kepada RM156.1 bilion berbanding Mei 2017. Perkembangan perdagangan dapat dilihat dengan China, Taiwan, Hong Kong SAR, Republik Korea (ROK), Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Arab Saudi.

Eksport Malaysia pada bulan Mei 2018 kekal melepasi paras RM80 bilion, dengan jumlah RM82.11 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 3.4% berbanding Mei 2017, manakala import naik 0.1% kepada RM73.99 bilion. Ini merupakan bulan kelima kadar pertumbuhan eksport melebihi kadar pertumbuhan import sejak bulan Januari 2018. Lebihan dagangan sebanyak RM8.12 bilion dicatatkan, berkembang 47.1% berbanding Mei 2017 dan merupakan lebihan dagangan yang ke-247 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, import dan jumlah perdagangan meningkat 3.9% dan 0.4%, manakala eksport dan lebihan dagangan masing-masing menguncup 2.5% dan 37.7%.

Jumlah perdagangan bagi lima bulan pertama tahun 2018 bernilai RM753.46 bilion, naik 4.2% berbanding tempoh yang sama tahun 2017. Eksport berkembang 6.9% kepada RM403.99 bilion dan import meningkat 1.3% kepada RM349.48 bilion. Lebihan dagangan melonjak sebanyak 64.9% kepada RM54.51 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2017.

 

Muat turun:

Prestasi Perdagangan : Mei 2018 dan Januari - Mei 2018