Prestasi Perdagangan : Julai 2018 dan Januari - Julai 2018
Eksport Julai - Tertinggi Pernah Direkodkan Pada RM86.12 Bilion
Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan Julai 2018 naik 9.8% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya kepada RM163.95 bilion. Perkembangan ini disokong terutamanya oleh peningkatan perdagangan dengan China, Hong Kong SAR, Taiwan, ASEAN, India dan Arab Saudi.
Eksport Malaysia bagi bulan Julai 2018 mencatatkan satu rekod baru iaitu RM86.12 bilion, meningkat 9.4% tahun ke tahun. Import turut mencatatkan pencapaian bulanan tertinggi, berkembang 10.3% kepada RM77.83 bilion. Lebihan dagangan mengukuh 1.7% kepada RM8.3 bilion setelah merekodkan penurunan 41.1% tahun ke tahun pada Jun 2018. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-249 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing naik sebanyak 8.4%, 9.6%, 7.2% dan 38.3%.
Bagi 7 bulan pertama tahun 2018, jumlah perdagangan berkembang 6.1% kepada RM1.069 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2017. Eksport meningkat pada kadar 7.3% kepada RM568.72 bilion manakala import tumbuh pada kadar yang lebih perlahan iaitu sebanyak 4.8% kepada RM499.91 bilion. Lebihan dagangan bagi tempoh ini melonjak 29.7% kepada RM68.81 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Muat turun: