Lebihan Dagangan Tertinggi bagi bulan Mei sejak 2008

Pada Mei 2020, Malaysia merekodkan lebihan dagangan melebihi RM10 bilion bagi kali ke empat pada tahun 2020. Lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.7% tahun ke tahun kepada RM10.41 bilion. Ini merupakan lebihan dagangan tertinggi yang dicatatkan bagi bulan Mei sejak Mei 2008.

Jumlah perdagangan pada Mei 2020 bernilai RM114.96 bilion, menurun 27.8% berbanding Mei 2019. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan terutamanya dengan Singapura, Thailand, India, China, Jepun dan Indonesia. Prestasi ini adalah selari dengan negara-negara serantau lain yang merekodkan penurunan pertumbuhan perdagangan pada Mei 2020 berikutan pandemik COVID-19 yang terus memperlahankan aktiviti ekonomi secara global. Eksport berjumlah RM62.69 bilion, menyusut 25.5% manakala import berkurang 30.4% kepada RM52.27 bilion.

Berbanding April 2020, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 13.7%, 3.2% dan 23.6%.

Perdagangan Malaysia bagi 5 bulan pertama tahun 2020 mencatatkan pengurangan sebanyak 8.7% kepada RM688.57 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, India, China dan Hong Kong SAR. Manakala, kenaikan perdagangan dicatatkan dengan Republik Korea (ROK) dan Indonesia. Eksport bagi tempoh tersebut menurun 9.7% kepada RM366.16 bilion dan import berkurang 7.5% kepada RM322.41 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM43.75 bilion, menurun 23% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Mei 2020 dan Januari - Mei 2020