Lebihan Dagangan Ogos Catat Pertumbuhan Dua Digit Tahun ke Tahun

 

Pada Ogos 2020, lebihan dagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 19.7% kepada RM13.23 bilion berbanding Ogos 2019. Ini merupakan kali ketujuh nilai lebihan dagangan melebihi RM10 bilion direkodkan pada tahun 2020.

Jumlah perdagangan bernilai RM145.06 bilion, menyusut 4.6% berbanding Ogos 2019. Perdagangan yang rendah direkodkan terutamanya dengan Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Jepun. Walau bagaimanapun, perdagangan yang lebih tinggi telah dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), China dan Arab Saudi. Eksport berjumlah RM79.14 bilion, menurun 2.9% manakala import menguncup 6.5% kepada RM65.92 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan 9.3%, 14.5% dan 2.2%. Lebihan dagangan turun 47.5%.

Bagi 8 bulan pertama 2020, lebihan dagangan meningkat 2.9% kepada RM102.98 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Jumlah perdagangan bernilai RM1.138 trilion, menyusut sebanyak 6.5% disebabkan terutamanya oleh perdagangan yang lebih rendah dengan Thailand, Singapura, India dan Jepun. Namun begitu, kenaikan perdagangan telah direkodkan dengan Republik Korea (ROK), AS, Bahrain dan China. Eksport pada tempoh ini bernilai RM620.64 bilion, berkurang 5.8% dan import berjumlah RM517.66 bilion, turun 7.3%.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Ogos 2020 dan Januari - Ogos 2020