Nilai Perdagangan, Eksport dan Import Tertinggi bagi Bulan Jun

Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum kenaikan pada Jun 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 29.3% kepada RM188.7 bilion berbanding Jun 2020. Eksport merekodkan peningkatan tahun ke tahun yang ke-10 bulan berturut-turut sejak September 2020, mencatatkan pertumbuhan kukuh 27.2% kepada RM105.47 bilion. Ini merupakan kali ketiga nilai eksport melebihi RM100 bilion direkodkan. Import naik 32.1% kepada RM83.23 bilion dan lebihan dagangan berkembang 11.7% kepada RM22.24 bilion. Perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan kedua tertinggi setakat ini selepas bulan April 2021. Ini juga merupakan nilai bulanan tertinggi dicatatkan bagi bulan Jun dan pertumbuhan dua digit bagi lima bulan berturut-turut.

Pertumbuhan eksport disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khasnya litar bersepadu elektronik yang digunakan dalam pengeluaran telefon pintar, kereta, komputer dan kelengkapan rumah serta keluaran getah. Eksport ke kesemua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing meningkat sebanyak 10.4%, 14.3%, 5.9% dan 61.7%.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Jun 2021 dan Januari - Jun 2021

Prestasi Perdagangan : Jun 2021 dan Januari - Jun 2021 (Infografik)