Prestasi Perdagangan : Ogos 2017 dan Januari - Ogos 2017
MENTERI
PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI
MALAYSIA
PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
Perdagangan Kekal Kukuh Pada 2017
Pada tempoh lapan bulan pertama tahun 2017, perdagangan Malaysia buat pertama kali mencatat pertumbuhan di luar jangkaan. Pertumbuhan perdagangan telah melebihi 20% bagi setiap bulan pada tahun ini, kecuali bulan Januari dan Jun. Tahun lalu, jumlah perdagangan telah melepasi paras RM1 trilion pada bulan September, tetapi pada tahun ini jumlah perdagangan mencapai RM1 trilion lebih awal iaitu pada Julai. Pada tahun 2016, jumlah perdagangan meningkat 1.5%. MITI sebelum ini menganggarkan jumlah perdagangan tahun 2017 akan meningkat kira-kira 3%. Walaupun MITI menjangkakan sedikit penurunan perdagangan pada akhir tahun ini berikutan kesan asas (base effect), Malaysia masih dijangka mencatat pertumbuhan perdagangan melebihi 10%, memandangkan prestasi yang kukuh pada lapan bulan pertama tahun ini.
Lebihan dagangan juga berkembang kepada RM60.8 bilion pada lapan bulan pertama tahun 2017. Pada tempoh yang sama tahun lalu, lebihan dagangan bernilai RM52.5 bilion. Malaysia dijangka merekodkan peningkatan kecil dalam lebihan dagangan pada tahun ini, berbanding RM88.15 bilion pada keseluruhan tahun 2016.
Ciri-ciri penting perdagangan pada tahun ini adalah pertumbuhan kukuh yang telah direkodkan pada semua sektor dan pasaran utama. Peningkatan eksport telah dicatatkan pada hampir kesemua barangan dan pasaran.
Eksport barangan perkilangan telah merekodkan prestasi yang baik, khasnya, barangan elektrik dan elektronik (E&E). Eksport barangan E&E bernilai RM220.56 bilion pada lapan bulan pertama tahun 2017, meningkat 21.4% berbanding tempoh yang sama tahun 2016. MITI menjangkakan sektor E&E terus berkembang berikutan peningkatan jualan global bagi semikonduktor serta unjuran kukuh dari pasaran peranti pintar, automotif, penstoran dan penjagaan kesihatan. Pada tempoh yang sama, sektor lain yang turut menunjukkan prestasi kukuh adalah hasil galian, yang didorong oleh eksport petroleum mentah dan LNG, di mana secara kolektif melonjak 34% kepada RM45.16 bilion. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan harga tenaga global yang lebih stabil.
Perdagangan dengan China bertambah kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan 26% pada lapan bulan pertama 2017 kepada RM188.26 bilion, berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan eksport sebanyak 36.5% kepada RM80.47 bilion. Pada tempoh yang sama, perdagangan dengan pasaran utama, iaitu ASEAN, EU, Amerika Syarikat dan Jepun kekal kukuh, masing-masing dengan pertumbuhan sebanyak 23.9%, 18.3%, 19.7% dan 17.7%.
Perdagangan Malaysia yang mampan ini telah dipacu oleh kepelbagaian dalam eksport. Barangan E&E merangkumi 36% daripada jumlah eksport pada Januari-Ogos 2017, manakala petroleum, LNG serta kimia dan bahan kimia menyumbang 22.7% kepada eksport. Keluaran pertanian termasuk minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit juga merupakan komponen penting dalam eksport Malaysia, menyumbang 8.5% kepada jumlah eksport.
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) baru-baru ini telah menaikkan unjuran pertumbuhan volum perdagangan barangan kepada 3.6% daripada 2.4%. Ini berikutan peningkatan dalam aliran perdagangan Asia yang telah disumbangkan oleh kenaikan eksport antara-rantau (intra-regional) dan juga pemulihan permintaan dari Amerika Utara yang berada dalam keadaan perlahan pada tahun 2016. MITI menjangkakan Malaysia akan mendapat manfaat daripada peningkatan perdagangan global dan perdagangan Malaysia akan kekal kukuh di sepanjang tahun 2017.
Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri Malaysia
Muan Turun PDF: