Perdagangan Malaysia Terkesan dengan Pandemik COVID-19

Pada April 2020, perdagangan Malaysia bernilai RM133.34 bilion, menyusut 16.4% berbanding April 2019, disebabkan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan gangguan utama kepada rantaian bekalan global. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan terutamanya dengan Singapura, Thailand, India, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Viet Nam dan Arab Saudi.

Eksport bernilai RM64.92 bilion, berkurang 23.8% manakala import menurun 8% kepada RM68.42 bilion. Imbangan perdagangan merekodkan defisit sebanyak RM3.5 bilion pada April 2020, selepas mencatatkan lebihan dagangan selama 269 bulan berturut-turut berikutan penurunan eksport yang lebih besar berbanding import.

Berbanding Mac 2020, jumlah perdagangan dan eksport masing-masing menurun sebanyak 9.9% dan 19% manakala import naik 0.9%.

Perdagangan Malaysia bagi empat bulan pertama tahun 2020 mencatatkan pengurangan sebanyak 3.5% kepada RM573.75 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, Hong Kong, Jerman, India dan Viet Nam. Manakala, kenaikan perdagangan dicatatkan dengan Republik Korea (ROK), Indonesia dan AS. Eksport bagi tempoh tersebut menurun 5.5% kepada RM303.61 bilion dan import berkurang secara marginal sebanyak 1.2% kepada RM270.14 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM33.47 bilion, menurun 29.9% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Mengulas mengenai prestasi perdagangan April, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa penurunan eksport dan import telah dijangka memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia telah berada dalam keadaan sekatan pergerakan (lockdown) bagi membendung penularan COVID-19. Ini menyebabkan gangguan utama terhadap aktiviti pembuatan dan pergerakan barangan secara global. Namun begitu, eksport beberapa barangan seperti barangan besi dan keluli, sarung tangan getah dan minyak sawit ditapis mencatatkan peningkatan.

"Eksport Malaysia dijangka akan meningkat dalam beberapa bulan akan datang kerana kerajaan telah membenarkan lebih banyak industri untuk kembali beroperasi dengan kapasiti penuh sejak 4 Mei 2020. Begitu juga, syarikat-syarikat di negara lain turut meningkatkan operasi perniagaan mereka. Ini akan menggalakkan aktiviti-aktiviti perdagangan antara Malaysia dan negara-negara lain", tambahnya.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : April 2020 dan Januari - April 2020