Prestasi Perdagangan 2017

PRESTASI PERDAGANGAN 2017

Perdagangan 2017 – Pertumbuhan Paling Kukuh Dalam Tempoh 13 Tahun

Perdagangan Malaysia direkod kukuh pada tahun 2017 dengan mencatatkan kadar pertumbuhan terpantas sepanjang 13 tahun, melonjak 19.4% kepada RM1.774 trilion berbanding RM1.486 trilion pada tahun 2016.

Pertumbuhan ini disumbang oleh perdagangan yang lebih tinggi dengan ASEAN, yang berkembang 21% atau RM84.49 bilion, China (↑20.6% atau RM49.68 bilion), Kesatuan Eropah (EU) (↑17.5% atau RM26.05 bilion), Amerika Syarikat (AS) (↑16.3% atau RM22.12 bilion), Jepun (↑14.7% atau RM17.77 bilion), Taiwan (↑24.3% atau RM15.33 bilion), India (↑26.2% atau RM12.74 bilion), Hong Kong SAR (↑22.7% atau RM11.41 bilion) dan Australia (↑23.7% atau RM10.06 bilion).

Kenaikan perdagangan yang ketara juga direkodkan dengan Republik Korea (ROK), Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE), New Zealand, Iran, Afrika Selatan, Mexico, Bangladesh, Iraq dan Brazil.

Eksport merekodkan kenaikan 18.9%, pertumbuhan paling kukuh dicatatkan sejak tahun 2005 kepada nilai tertinggi sebanyak RM935.39 bilion. Import juga merekodkan nilai tertinggi sebanyak RM838.14 bilion, tumbuh 19.9%. Lebihan dagangan berkembang 10.3% kepada RM97.25 bilion, yang terbesar dicatatkan sejak 2012. Ini juga merupakan lebihan dagangan yang ke-20 tahun berturut-turut sejak tahun 1998.

Butiran utama eksport tahun 2017:

• Pertumbuhan dua digit tahun ke tahun direkodkan pada setiap bulan, kecuali Jun dan Disember;
• Semua sektor merekodkan kenaikan kukuh dengan pertumbuhan dua digit;
• Pertumbuhan dua digit tahun ke tahun dicatatkan bagi eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) kecuali pada Disember, didorong oleh permintaan global yang tinggi terhadap barangan elektronik pintar;
• Pertumbuhan eksport bagi komoditi utama berikutan pemulihan harga pasaran dunia;
• Eksport ke hampir semua pasaran utama merekodkan nilai tertinggi setakat ini;
• Kenaikan eksport ke ASEAN di mana pertumbuhan dicatatkan ke kesemua pasaran kecuali Laos;
• Eksport yang lebih tinggi ke negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terutamanya ke ASEAN, China, Jepun, ROK, Australia, Turki, India, New Zealand, Pakistan dan Chile;
• Pertumbuhan eksport yang kukuh ke negara-negara maju, terutamanya AS dan EU khasnya Belanda dan Jerman; dan
• Permintaan yang lebih tinggi dari pasaran berpotensi seperti Mexico, Brazil dan Afrika Selatan.

Muat Turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Disember 2017 dan Januari - Disember 2017

Eksport Cecah Rekod Bulanan Tertinggi Pada November 2017

Jumlah perdagangan Malaysia pada November 2017 melonjak 14.8% kepada RM157.05 bilion berbanding November 2016. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh perdagangan dengan ASEAN, Kesatuan Eropah (EU), China, Hong Kong SAR, Republik Korea (ROK), Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan.

Eksport pada November 2017 berkembang 14.4% kepada RM83.5 bilion, nilai eksport bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan setakat ini melepasi jumlah RM82.62 bilion yang direkodkan pada bulan Mac 2017. Import meningkat 15.2% kepada RM73.55 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM9.95 bilion, merupakan yang ke-241 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 1.9%, 1.5% dan 2.4%.

Jumlah perdagangan pada sebelas bulan pertama tahun 2017 bernilai RM1.622 trilion, berkembang 20.8% berbanding tempoh yang sama tahun 2016. Eksport berjumlah RM856.05 bilion, meningkat 20.4% manakala import berada pada nilai RM766.07 bilion, tumbuh 21.2%. Lebihan dagangan sebanyak RM89.98 bilion direkodkan, naik 13.6% berbanding tempoh yang sama tahun 2016. Kesemua nilai perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi tempoh sebelas bulan pertama tahun 2017 telah melepasi nilai yang dicatatkan pada keseluruhan tahun 2016.

Muat Turun PDF:

Prestasi Perdagangan : November 2017 dan Januari - November 2017

Eksport, Import dan Jumlah Perdagangan Mencatatkan Pertumbuhan Kukuh bagi 11 Bulan Berturut-turut

Eksport kekal kukuh pada September 2017, mencatatkan pertumbuhan dua-digit sebanyak 14.8% kepada RM78.26 bilion berbanding September 2016.  Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun 2017, eksport melonjak 21.3% kepada RM690.25 bilion. Berdasarkan prestasi eksport yang memberangsangkan setakat ini, unjuran pertumbuhan eksport untuk keseluruhan tahun 2017 sebanyak 16.6% yang dikeluarkan dalam Laporan Ekonomi 2017/2018 dilihat akan dapat dicapai. Pencapaian ini seterusnya akan menyokong pertumbuhan ekonomi yang dianggar akan tumbuh di antara 5.2% dan 5.7% pada tahun 2017.

Di samping itu, dengan penekanan yang diberikan terhadap promosi eksport dalam bajet 2018, eksport dijangka kekal kukuh pada tahun 2018.

Prestasi eksport bulan September adalah disokong oleh permintaan yang kukuh terutamanya dari ASEAN, China, Hong Kong SAR, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Republik Korea (ROK), Jepun, Australia, Mexico dan Turki.

Pada September 2017, import tumbuh 15.2% kepada RM69.65 bilion berbanding September 2016. Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2017, import berjumlah RM620.66 bilion, meningkat 22%.

Jumlah perdagangan pada September 2017 berkembang 15% kepada RM147.91 bilion. Perdagangan Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2017 meningkat 21.7% kepada RM1.311 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2016.

 

Muan Turun PDF:

Prestasi Perdagangan : September 2017 dan Januari - September 2017

 

Oktober 2017 – Lebihan Dagangan Tertinggi Sejak April 2016

Jumlah perdagangan Malaysia pada Oktober 2017 melonjak 19.8% kepada RM154.26 bilion berbanding Oktober 2016. Perdagangan dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Hong Kong SAR, Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ini.

Eksport pada Oktober 2017 tumbuh 18.9% kepada RM82.41 bilion, melebihi RM80 bilion buat kali ketiga pada tahun 2017. Import naik 20.9% kepada RM71.85 bilion. Lebihan dagangan meningkat kepada RM10.56 bilion, nilai tertinggi dicatatkan sejak April 2016, merupakan yang ke-240 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 4.3%, 5.3% dan 3.2%.

Jumlah perdagangan pada sepuluh bulan pertama tahun 2017 bernilai RM1.465 trilion, berkembang 21.5% berbanding tempoh yang sama tahun 2016. Eksport berjumlah RM772.66 bilion, naik 21.1% manakala import berada pada nilai RM692.51 bilion, meningkat 21.9%. Lebihan dagangan bernilai RM80.15 bilion direkodkan, naik 14.4% berbanding tempoh yang sama tahun 2016.

 

Muat Turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Oktober 2017 dan Januari - Oktober 2017

jatanegaramalaysia2

MENTERI

 PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

MALAYSIA

PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

 

Perdagangan Kekal Kukuh Pada 2017

Pada tempoh lapan bulan pertama tahun 2017, perdagangan Malaysia buat pertama kali mencatat pertumbuhan di luar jangkaan. Pertumbuhan perdagangan telah melebihi 20% bagi setiap bulan pada tahun ini, kecuali bulan Januari dan Jun. Tahun lalu, jumlah perdagangan telah melepasi paras RM1 trilion pada bulan September, tetapi pada tahun ini jumlah perdagangan mencapai RM1 trilion lebih awal iaitu pada Julai. Pada tahun 2016, jumlah perdagangan meningkat 1.5%. MITI sebelum ini menganggarkan jumlah perdagangan tahun 2017 akan meningkat kira-kira 3%. Walaupun MITI menjangkakan sedikit penurunan perdagangan pada akhir tahun ini berikutan kesan asas (base effect), Malaysia masih dijangka mencatat pertumbuhan perdagangan melebihi 10%, memandangkan prestasi yang kukuh pada lapan bulan pertama tahun ini.

Lebihan dagangan juga berkembang kepada RM60.8 bilion pada lapan bulan pertama tahun 2017. Pada tempoh yang sama tahun lalu, lebihan dagangan bernilai RM52.5 bilion. Malaysia dijangka merekodkan peningkatan kecil dalam lebihan dagangan pada tahun ini, berbanding RM88.15 bilion pada keseluruhan tahun 2016.

Ciri-ciri penting perdagangan pada tahun ini adalah pertumbuhan kukuh yang telah direkodkan pada semua sektor dan pasaran utama. Peningkatan eksport telah dicatatkan pada hampir kesemua barangan dan pasaran.

Eksport barangan perkilangan telah merekodkan prestasi yang baik, khasnya, barangan elektrik dan elektronik (E&E). Eksport barangan E&E bernilai RM220.56 bilion pada lapan bulan pertama tahun 2017, meningkat 21.4% berbanding tempoh yang sama tahun 2016. MITI menjangkakan sektor E&E terus berkembang berikutan peningkatan jualan global bagi semikonduktor serta unjuran kukuh dari pasaran peranti pintar, automotif, penstoran dan penjagaan kesihatan. Pada tempoh yang sama, sektor lain yang turut menunjukkan prestasi kukuh adalah hasil galian, yang didorong oleh eksport petroleum mentah dan LNG, di mana secara kolektif melonjak 34% kepada RM45.16 bilion. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan harga tenaga global yang lebih stabil.

Perdagangan dengan China bertambah kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan 26% pada lapan bulan pertama 2017 kepada RM188.26 bilion, berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan eksport sebanyak 36.5% kepada RM80.47 bilion. Pada tempoh yang sama, perdagangan dengan pasaran utama, iaitu ASEAN, EU, Amerika Syarikat dan Jepun kekal kukuh, masing-masing dengan pertumbuhan sebanyak 23.9%, 18.3%, 19.7% dan 17.7%.

Perdagangan Malaysia yang mampan ini telah dipacu oleh kepelbagaian dalam eksport. Barangan E&E merangkumi 36% daripada jumlah eksport pada Januari-Ogos 2017, manakala petroleum, LNG serta kimia dan bahan kimia menyumbang 22.7% kepada eksport. Keluaran pertanian termasuk minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit juga merupakan komponen penting dalam eksport Malaysia, menyumbang 8.5% kepada jumlah eksport.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) baru-baru ini telah menaikkan unjuran pertumbuhan volum perdagangan barangan kepada 3.6% daripada 2.4%. Ini berikutan peningkatan dalam aliran perdagangan Asia yang telah disumbangkan oleh kenaikan eksport antara-rantau (intra-regional) dan juga pemulihan permintaan dari Amerika Utara yang berada dalam keadaan perlahan pada tahun 2016. MITI menjangkakan Malaysia akan mendapat manfaat daripada peningkatan perdagangan global dan perdagangan Malaysia akan kekal kukuh di sepanjang tahun 2017.

Dato’ Sri Mustapa Mohamed
Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri Malaysia

 

Muan Turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Ogos 2017 dan Januari - Ogos 2017