Prestasi Perdagangan : Mac 2020 dan Januari - Mac 2020
Nilai Eksport Tertinggi pada S1 Setakat Ini
Perdagangan Malaysia bagi suku tahun pertama (S1) 2020 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.2% kepada RM440.38 bilion berbanding S1 2019. Perdagangan yang lebih tinggi direkodkan dengan Indonesia, Amerika Syarikat (AS), Republik Korea (ROK), Arab Saudi dan Singapura. Eksport bagi tempoh tersebut meningkat 1.1% kepada RM238.68 bilion, merupakan nilai eksport tertinggi direkodkan bagi S1 setakat ini. Import meningkat 1.3% kepada RM201.69 bilion.
Lebihan dagangan pada S1 2020 bernilai RM36.99 bilion, 0.1% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Ini merupakan lebihan dagangan terbesar yang dicatatkan bagi S1 sejak 2011.
Berbanding suku keempat (S4) 2019, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing menyusut 8.1%, 7.4% dan 8.9%. Lebihan dagangan meningkat 1.5%.
Pada bulan Mac 2020, jumlah perdagangan Malaysia menurun 3.8% kepada RM147.9 bilion. Pengurangan perdagangan direkodkan dengan Thailand, Hong Kong SAR, Viet Nam, Jerman dan Singapura. Walau bagaimanapun, perdagangan yang lebih tinggi telah dicatatkan dengan Indonesia, Arab Saudi, ROK dan Jepun. Eksport berkurang 4.7% kepada RM80.12 bilion dan import merosot 2.7% kepada RM67.78 bilion.
Muat turun PDF: