Trade Performance 2020

Lebihan Dagangan Ogos Catat Pertumbuhan Dua Digit Tahun ke Tahun

 

Pada Ogos 2020, lebihan dagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 19.7% kepada RM13.23 bilion berbanding Ogos 2019. Ini merupakan kali ketujuh nilai lebihan dagangan melebihi RM10 bilion direkodkan pada tahun 2020.

Jumlah perdagangan bernilai RM145.06 bilion, menyusut 4.6% berbanding Ogos 2019. Perdagangan yang rendah direkodkan terutamanya dengan Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Jepun. Walau bagaimanapun, perdagangan yang lebih tinggi telah dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), China dan Arab Saudi. Eksport berjumlah RM79.14 bilion, menurun 2.9% manakala import menguncup 6.5% kepada RM65.92 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan 9.3%, 14.5% dan 2.2%. Lebihan dagangan turun 47.5%.

Bagi 8 bulan pertama 2020, lebihan dagangan meningkat 2.9% kepada RM102.98 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Jumlah perdagangan bernilai RM1.138 trilion, menyusut sebanyak 6.5% disebabkan terutamanya oleh perdagangan yang lebih rendah dengan Thailand, Singapura, India dan Jepun. Namun begitu, kenaikan perdagangan telah direkodkan dengan Republik Korea (ROK), AS, Bahrain dan China. Eksport pada tempoh ini bernilai RM620.64 bilion, berkurang 5.8% dan import berjumlah RM517.66 bilion, turun 7.3%.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Ogos 2020 dan Januari - Ogos 2020

Eksport Tertinggi Dicatatkan Bagi Bulan Julai Setakat Ini

Eksport Malaysia pada bulan Julai 2020 meningkat 3.1% kepada RM92.53 bilion berbanding Julai 2019 dan merupakan eksport bulan Julai yang tertinggi dicatatkan setakat ini. Ini juga merupakan eksport kedua tertinggi yang pernah direkodkan selepas RM97.12 bilion dicatatkan pada Oktober 2018. Import mengurang 8.7% kepada RM67.38 bilion. Lebihan dagangan berkembang sebanyak 57.5% kepada RM25.15 bilion berbanding RM15.97 bilion pada Julai 2019 dan merupakan lebihan dagangan yang tertinggi direkodkan setakat ini.

Jumlah perdagangan pada Julai 2020 menyusut 2.2% tahun ke tahun kepada RM159.92 bilion disebabkan perdagangan yang rendah direkodkan dengan Australia, Thailand, Republik Korea (ROK), Indonesia dan Jepun. Walau bagaimanapun, perdagangan yang lebih tinggi dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), India, Bahrain, China, Taiwan, Singapura dan Hong Kong SAR.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan peningkatan 10.4%, 11.7% dan 8.7%, manakala lebihan dagangan naik 20.6%.

Bagi 7 bulan pertama 2020, jumlah perdagangan bernilai RM993.22 bilion, menguncup 6.8% berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Perdagangan yang lebih rendah telah dicatatkan dengan Thailand, Singapura, India dan Jepun manakala kenaikan perdagangan direkodkan dengan ROK, AS dan Bahrain. Eksport pada tempoh ini bernilai RM541.47 bilion, mengurang 6.2% dan import berjumlah RM451.75 bilion, turun 7.4%. Lebihan dagangan berkembang sebanyak 0.8% kepada RM89.72 bilion.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Julai 2020 dan Januari - Julai 2020

 

Lebihan Dagangan Tertinggi bagi bulan Mei sejak 2008

Pada Mei 2020, Malaysia merekodkan lebihan dagangan melebihi RM10 bilion bagi kali ke empat pada tahun 2020. Lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.7% tahun ke tahun kepada RM10.41 bilion. Ini merupakan lebihan dagangan tertinggi yang dicatatkan bagi bulan Mei sejak Mei 2008.

Jumlah perdagangan pada Mei 2020 bernilai RM114.96 bilion, menurun 27.8% berbanding Mei 2019. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan terutamanya dengan Singapura, Thailand, India, China, Jepun dan Indonesia. Prestasi ini adalah selari dengan negara-negara serantau lain yang merekodkan penurunan pertumbuhan perdagangan pada Mei 2020 berikutan pandemik COVID-19 yang terus memperlahankan aktiviti ekonomi secara global. Eksport berjumlah RM62.69 bilion, menyusut 25.5% manakala import berkurang 30.4% kepada RM52.27 bilion.

Berbanding April 2020, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 13.7%, 3.2% dan 23.6%.

Perdagangan Malaysia bagi 5 bulan pertama tahun 2020 mencatatkan pengurangan sebanyak 8.7% kepada RM688.57 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, India, China dan Hong Kong SAR. Manakala, kenaikan perdagangan dicatatkan dengan Republik Korea (ROK) dan Indonesia. Eksport bagi tempoh tersebut menurun 9.7% kepada RM366.16 bilion dan import berkurang 7.5% kepada RM322.41 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM43.75 bilion, menurun 23% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Mei 2020 dan Januari - Mei 2020

 

Perdagangan dan Eksport bulan Jun 2020 Pulih                             

Eksport Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan pada Jun 2020, berkembang sebanyak 8.8% kepada RM82.87 bilion berbanding Jun 2019 sementara jumlah perdagangan meningkat 2.2% kepada RM144.84 bilion. Pertumbuhan perdagangan telah dicatatkan terutamanya dengan China, Amerika Syarikat (AS), Hong Kong SAR dan Viet Nam.

Import menyusut 5.6% kepada RM61.98 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM20.89 bilion pada Jun 2020, naik sebanyak 98.7% tahun ke tahun dan  merupakan lebihan dagangan bulanan yang tertinggi direkodkan setakat ini.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan peningkatan 26%, 32.3% dan 18.6%, manakala lebihan dagangan melonjak sebanyak 101.1%. Prestasi yang lebih baik ini adalah selari dengan penarikan secara berperingkat terhadap sekatan yang telah dikenakan di Malaysia dan juga seluruh dunia berikutan pandemik COVID-19.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Jun 2020 dan Januari - Jun 2020

Perdagangan Malaysia Terkesan dengan Pandemik COVID-19

Pada April 2020, perdagangan Malaysia bernilai RM133.34 bilion, menyusut 16.4% berbanding April 2019, disebabkan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan gangguan utama kepada rantaian bekalan global. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan terutamanya dengan Singapura, Thailand, India, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Viet Nam dan Arab Saudi.

Eksport bernilai RM64.92 bilion, berkurang 23.8% manakala import menurun 8% kepada RM68.42 bilion. Imbangan perdagangan merekodkan defisit sebanyak RM3.5 bilion pada April 2020, selepas mencatatkan lebihan dagangan selama 269 bulan berturut-turut berikutan penurunan eksport yang lebih besar berbanding import.

Berbanding Mac 2020, jumlah perdagangan dan eksport masing-masing menurun sebanyak 9.9% dan 19% manakala import naik 0.9%.

Perdagangan Malaysia bagi empat bulan pertama tahun 2020 mencatatkan pengurangan sebanyak 3.5% kepada RM573.75 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, Hong Kong, Jerman, India dan Viet Nam. Manakala, kenaikan perdagangan dicatatkan dengan Republik Korea (ROK), Indonesia dan AS. Eksport bagi tempoh tersebut menurun 5.5% kepada RM303.61 bilion dan import berkurang secara marginal sebanyak 1.2% kepada RM270.14 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM33.47 bilion, menurun 29.9% berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Mengulas mengenai prestasi perdagangan April, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa penurunan eksport dan import telah dijangka memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia telah berada dalam keadaan sekatan pergerakan (lockdown) bagi membendung penularan COVID-19. Ini menyebabkan gangguan utama terhadap aktiviti pembuatan dan pergerakan barangan secara global. Namun begitu, eksport beberapa barangan seperti barangan besi dan keluli, sarung tangan getah dan minyak sawit ditapis mencatatkan peningkatan.

"Eksport Malaysia dijangka akan meningkat dalam beberapa bulan akan datang kerana kerajaan telah membenarkan lebih banyak industri untuk kembali beroperasi dengan kapasiti penuh sejak 4 Mei 2020. Begitu juga, syarikat-syarikat di negara lain turut meningkatkan operasi perniagaan mereka. Ini akan menggalakkan aktiviti-aktiviti perdagangan antara Malaysia dan negara-negara lain", tambahnya.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : April 2020 dan Januari - April 2020