Prestasi Perdagangan : Jun 2019 dan Januari - Jun 2019
Lebihan Dagangan Melonjak 71% pada Jun 2019
Malaysia mencatatkan lebihan dagangan bernilai RM10.26 bilion pada Jun 2019, merupakan lebihan dagangan yang ke-260 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997. Eksport pada bulan ini berjumlah RM76.17 bilion, mengurang 3.1% berbanding Jun 2018. Import menurun 9.2% kepada RM65.91 bilion.
Jumlah perdagangan menyusut 6% kepada RM142.08 bilion berbanding Jun 2018. Pengurangan perdagangan telah direkodkan dengan China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura dan Jepun. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan dicatatkan dengan India, Filipina dan Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit 13.1% manakala jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing mengurang sebanyak 10.8%, 9.5% dan 12.2%.
Jumlah perdagangan pada suku kedua (S2) tahun 2019 berjumlah RM460.78 bilion, mengurang 0.4% berbanding RM462.8 bilion pada S2 2018. Eksport bernilai RM245.46 bilion, naik 0.2% manakala import berjumlah RM215.32 bilion, turun 1.2%. Lebihan dagangan sebanyak RM30.15 bilion direkodkan pada tempoh ini, meningkat 11.1%.
Berbanding suku pertama (S1) tahun 2019, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 5.9%, 4% dan 8.1%. Lebihan dagangan mengurang sebanyak 18.4%.
Pada tempoh separuh tahun pertama (H1) 2019, eksport mengurang 0.2% kepada RM481.53 bilion dan import menyusut 1.8% kepada RM414.42 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Jumlah perdagangan mengurang 1% kepada RM895.95 bilion manakala lebihan dagangan berkembang 10.9% kepada RM67.1 bilion.
Muat turun PDF: