Eksport Tertinggi Dicatatkan Bagi Bulan Julai Setakat Ini

Eksport Malaysia pada bulan Julai 2020 meningkat 3.1% kepada RM92.53 bilion berbanding Julai 2019 dan merupakan eksport bulan Julai yang tertinggi dicatatkan setakat ini. Ini juga merupakan eksport kedua tertinggi yang pernah direkodkan selepas RM97.12 bilion dicatatkan pada Oktober 2018. Import mengurang 8.7% kepada RM67.38 bilion. Lebihan dagangan berkembang sebanyak 57.5% kepada RM25.15 bilion berbanding RM15.97 bilion pada Julai 2019 dan merupakan lebihan dagangan yang tertinggi direkodkan setakat ini.

Jumlah perdagangan pada Julai 2020 menyusut 2.2% tahun ke tahun kepada RM159.92 bilion disebabkan perdagangan yang rendah direkodkan dengan Australia, Thailand, Republik Korea (ROK), Indonesia dan Jepun. Walau bagaimanapun, perdagangan yang lebih tinggi dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), India, Bahrain, China, Taiwan, Singapura dan Hong Kong SAR.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan peningkatan 10.4%, 11.7% dan 8.7%, manakala lebihan dagangan naik 20.6%.

Bagi 7 bulan pertama 2020, jumlah perdagangan bernilai RM993.22 bilion, menguncup 6.8% berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Perdagangan yang lebih rendah telah dicatatkan dengan Thailand, Singapura, India dan Jepun manakala kenaikan perdagangan direkodkan dengan ROK, AS dan Bahrain. Eksport pada tempoh ini bernilai RM541.47 bilion, mengurang 6.2% dan import berjumlah RM451.75 bilion, turun 7.4%. Lebihan dagangan berkembang sebanyak 0.8% kepada RM89.72 bilion.

 

Muat turun PDF:

Prestasi Perdagangan : Julai 2020 dan Januari - Julai 2020