Trade Performance 2019
Prestasi Perdagangan : Disember 2019 dan Januari - Disember 2019
PRESTASI PERDAGANGAN 2019
Lebihan Dagangan ke-22 Tahun Berturut-turut
Pada tahun 2019, lebihan perdagangan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan dua digit selama 3 tahun berturut-turut, meningkat sebanyak 11% kepada RM137.39 bilion berbanding RM123.78 bilion pada 2018. Ini adalah lebihan dagangan Malaysia terbesar sejak 2009 dan merupakan yang ke-22 tahun berturut-turut.
Sejajar dengan permintaan global yang lemah di tengah-tengah ketegangan perdagangan dan keadaan ekonomi luaran yang tidak memberansangkan, jumlah perdagangan menyusut 2.5% kepada RM1.835 trilion. Eksport mencatatkan penurunan secara marginal sebanyak 1.7% kepada RM986.4 bilion, berbanding tahun sebelumnya manakala import berkurang 3.5% kepada RM849.01 bilion.
Perdagangan yang lebih rendah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Perancis, Thailand dan Jepun. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina, Kemboja, Mexico dan United Kingdom (UK).
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Disember 2019 dan Januari - Disember 2019
Prestasi Perdagangan : November 2019 dan Januari - November 2019
Lebihan Dagangan Januari-November Tertinggi Sejak 2009
Lebihan dagangan Malaysia pada bulan Januari hingga November 2019 bernilai RM124.74 bilion, meningkat sebanyak 10.6% berbanding RM112.82 bilion yang dicatatkan untuk tempoh yang sama tahun 2018. Ini merupakan lebihan dagangan terbesar yang direkodkan untuk tempoh Januari hingga November sejak 2009.
Berlatarbelakangkan keadaan ekonomi global yang mencabar dan ketegangan perdagangan yang berterusan, jumlah perdagangan Malaysia sejak 11 bulan yang lalu menyusut 3% kepada RM1.675 trilion. Perdagangan yang lebih rendah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Perancis, Jepun dan Thailand. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina dan United Kingdom (UK). Eksport pada tempoh ini mencatatkan penurunan 2.1% kepada RM899.93 bilion dan import berkurang 3.9% kepada RM775.19 bilion.
Jumlah perdagangan pada November 2019 menurun 4.6% tahun ke tahun kepada RM155.06 bilion. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Thailand, Taiwan dan Perancis manakala peningkatan perdagangan dicatatkan dengan China, AS, UAE dan UK. Eksport berjumlah RM80.8 bilion, menyusut 5.5% dan import bernilai RM74.26 bilion, menurun 3.6%.
Lebihan dagangan Malaysia pada November 2019 bernilai RM6.54 bilion, turun 23.1% tahun ke tahun berbanding RM8.5 bilion yang dicatatkan pada November 2018. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-265 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Berbanding Oktober 2019, import Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.4% manakala eksport, jumlah perdagangan dan lebihan dagangan masing-masing menyusut 10.8%, 5.4% dan 62.3%.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : November 2019 dan Januari - November 2019
Prestasi Perdagangan : Oktober 2019 dan Januari - Oktober 2019
Nilai Eksport Bulanan Tertinggi Bagi Tahun 2019
Eksport Malaysia pada Oktober 2019 bernilai RM90.59 bilion, nilai eksport bulanan tertinggi direkodkan bagi tahun 2019. Eksport menyusut 6.7% tahun ke tahun disebabkan oleh kesan nilai asas yang tinggi sebanyak RM97.12 bilion pada Oktober 2018. Peningkatan eksport direkodkan ke Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia manakala eksport yang lebih rendah dicatatkan ke Australia, China, Jepun, Thailand dan India.
Jumlah perdagangan bernilai RM163.86 bilion, berkurang 7.6% dan import berjumlah RM73.27 bilion, menurun 8.7% berbanding Oktober 2018. Lebihan dagangan pada Oktober 2019 bernilai RM17.33 bilion, meningkat 2.8% berbanding RM16.85 bilion yang dicatatkan pada Oktober 2018. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-264 bulan berturut-turut sejak November 1997 dan lebihan dagangan bulanan tertinggi direkodkan setakat ini.
Berbanding September 2019, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 11.4%, 16.6%, 5.6% dan 107.4%.
Jumlah perdagangan bagi 10 bulan pertama tahun 2019 bernilai RM1.52 trilion, menyusut 2.8%. Eksport pada tempoh ini mencatatkan penurunan 1.8% kepada RM819.13 bilion. Eksport yang lebih rendah dicatatkan ke Hong Kong SAR, Australia, Jepun, Indonesia dan China. Eksport yang lebih tinggi pula dicatatkan ke Taiwan, AS, India dan Filipina. Import berkurang 3.9% kepada RM700.93 bilion. Selain itu, lebihan dagangan berkembang 13.3% kepada RM118.2 bilion dan mencatatkan lebihan dagangan Januari-Oktober yang tertinggi sejak tahun 2009.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Oktober 2019 dan Januari - Oktober 2019
Prestasi Perdagangan : September 2019 dan Januari - September 2019
Lebihan Dagangan Januari-September 2019 Tertinggi dalam Masa Sedekad
Lebihan dagangan Malaysia pada Januari hingga September 2019 bernilai RM100.86 bilion, meningkat 15.3% berbanding RM87.47 bilion pada tempoh yang sama tahun 2018. Ini merupakan lebihan dagangan Januari-September yang tertinggi dicatatkan sejak 10 tahun yang lalu.
Sejajar dengan permintaan luar yang lemah dan persekitaran global yang mencabar, jumlah perdagangan pada 9 bulan pertama tahun 2019 menyusut 2.2% kepada RM1.356 trilion. Perdagangan yang lebih rendah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Perancis dan Jepun. Peningkatan perdagangan walau bagaimanapun direkodkan dengan Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi dan Filipina. Eksport menurun 1.1% kepada RM728.52 bilion manakala import berkurang 3.3% kepada RM627.66 bilion.
Jumlah perdagangan bernilai RM147.07 bilion pada September 2019, berkurang 2.7% tahun ke tahun. Pengurangan perdagangan telah dicatatkan dengan Singapura, Hong Kong SAR, Taiwan, Australia, Thailand dan Belanda. Namun begitu, peningkatan perdagangan direkodkan dengan China, India, Republik Korea (ROK), AS dan Arab Saudi. Eksport menurun 6.8% kepada RM77.7 bilion. Import berjumlah RM69.37 bilion, 2.4% lebih tinggi berbanding September 2018.
Lebihan dagangan Malaysia pada September 2019 bernilai RM8.34 bilion, menyusut 46.5% berbanding September 2018 dan mencatatkan lebihan dagangan yang ke-263 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pengurangan 3.1%, 4.5%, 1.6% dan 23.5%.
Jumlah perdagangan pada suku ketiga (S3) tahun 2019 menyusut 3.7% kepada RM460.53 bilion berbanding S3 2018. Eksport pada suku ini bernilai RM247.02 bilion, 1.9% lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan import menurun 5.8% kepada RM213.51 bilion. Lebihan dagangan bagi S3 2019 merekodkan peningkatan dua digit 33.3% kepada RM33.51 bilion berbanding RM25.14 bilion yang dicatatkan pada S3 2018.
Berbanding suku kedua (S2) 2019, jumlah perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing naik sebanyak 0.01%, 0.6% dan 10.2%, manakala import turun 0.7%.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : September 2019 dan Januari - September 2019
Prestasi Perdagangan : Ogos 2019 dan Januari - Ogos 2019
Lebihan Dagangan Kekal Melepasi Nilai RM10 Bilion
Lebihan dagangan Malaysia pada Ogos 2019 bernilai RM10.92 bilion, melonjak 655.2% berbanding Ogos 2018 dan mencatatkan lebihan dagangan yang ke-262 bulan berturut-turut sejak November 1997.
Eksport menyusut 0.8% tahun ke tahun kepada RM81.36 bilion. Pengurangan eksport telah direkodkan ke Hong Kong SAR, Australia, Taiwan, China, New Zealand, Republik Korea (ROK) dan ASEAN. Sementara itu, peningkatan eksport dicatatkan ke Bangladesh, India, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Import berjumlah RM70.43 bilion, penyusutan sebanyak 12.5% berbanding Ogos 2018. Jumlah perdagangan bernilai RM151.79 bilion, menurun 6.6% tahun ke tahun.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan pengurangan 6.1%, 7.5%, 4.4% dan 23.5%.
Pada 8 bulan pertama 2019, jumlah perdagangan bernilai RM1.209 trilion, mengurang 2.1% berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Eksport berjumlah RM650.81 bilion, penurunan marginal 0.4% manakala import menyusut 4% kepada RM558.26 bilion. Lebihan dagangan meningkat 28.7% kepada RM92.55 bilion.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Ogos 2019 dan Januari - Ogos 2019
Prestasi Perdagangan : Julai 2019 dan Januari - Julai 2019
Nilai Eksport Tertinggi Direkodkan bagi Bulan Julai
Eksport Malaysia pada Julai 2019 meningkat 1.7% kepada RM87.96 bilion berbanding Julai 2018 dan merupakan nilai eksport tertinggi bagi bulan Julai dicatatkan setakat ini. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport ke Taiwan, Amerika Syarikat (AS), China dan Singapura.
Import berjumlah RM73.69 bilion, mengurang 5.9%. Lebihan dagangan melonjak 75.6% kepada RM14.27 bilion. Ini adalah lebihan dagangan yang ke-261 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997. Jumlah perdagangan bernilai RM161.65 bilion, mengurang 1.9%.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit 14%, 15.5% dan 12.3%. Lebihan dagangan meningkat 35.8%.
Pada 7 bulan pertama 2019, jumlah perdagangan bernilai RM1.057 trilion, mengurang 1.4% berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Eksport berjumlah RM569.46 bilion, penyusutan marginal 0.4% manakala import bernilai RM487.84 bilion, mengurang 2.6%. Lebihan dagangan meningkat 15.9% kepada RM81.62 bilion.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Jun 2019 dan Januari - Jun 2019
Lebihan Dagangan Melonjak 71% pada Jun 2019
Malaysia mencatatkan lebihan dagangan bernilai RM10.26 bilion pada Jun 2019, merupakan lebihan dagangan yang ke-260 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997. Eksport pada bulan ini berjumlah RM76.17 bilion, mengurang 3.1% berbanding Jun 2018. Import menurun 9.2% kepada RM65.91 bilion.
Jumlah perdagangan menyusut 6% kepada RM142.08 bilion berbanding Jun 2018. Pengurangan perdagangan telah direkodkan dengan China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura dan Jepun. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan dicatatkan dengan India, Filipina dan Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit 13.1% manakala jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing mengurang sebanyak 10.8%, 9.5% dan 12.2%.
Jumlah perdagangan pada suku kedua (S2) tahun 2019 berjumlah RM460.78 bilion, mengurang 0.4% berbanding RM462.8 bilion pada S2 2018. Eksport bernilai RM245.46 bilion, naik 0.2% manakala import berjumlah RM215.32 bilion, turun 1.2%. Lebihan dagangan sebanyak RM30.15 bilion direkodkan pada tempoh ini, meningkat 11.1%.
Berbanding suku pertama (S1) tahun 2019, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 5.9%, 4% dan 8.1%. Lebihan dagangan mengurang sebanyak 18.4%.
Pada tempoh separuh tahun pertama (H1) 2019, eksport mengurang 0.2% kepada RM481.53 bilion dan import menyusut 1.8% kepada RM414.42 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Jumlah perdagangan mengurang 1% kepada RM895.95 bilion manakala lebihan dagangan berkembang 10.9% kepada RM67.1 bilion.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Mei 2019 dan Januari - Mei 2019
Nilai Eksport Tertinggi Direkodkan Bagi Bulan Mei
Perdagangan Malaysia pada Mei 2019 berkembang 2% kepada RM159.21 bilion berbanding Mei 2018. Pertumbuhan ini disokong oleh kenaikan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), India, Filipina dan Thailand.
Eksport naik 2.5% kepada RM84.15 bilion, merupakan nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Mei. Import tumbuh 1.4% kepada RM75.06 bilion. Pertumbuhan eksport yang lebih pantas berbanding import telah menghasilkan lebihan dagangan yang tinggi sebanyak RM9.08 bilion, melonjak 11.9% berbanding Mei tahun lepas. Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-259 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, import meningkat 1% manakala jumlah perdagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing menurun sebanyak 0.2%, 1.2% dan 16%.
Pada tempoh 5 bulan pertama tahun 2019, jumlah perdagangan tumbuh sebanyak 0.1% kepada RM753.88 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Eksport meningkat 0.3% kepada RM405.36 bilion manakala import menguncup 0.3% kepada RM348.52 bilion. Lebihan dagangan pada tempoh ini berkembang 4.3% kepada RM56.85 bilion.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : April 2019 dan Januari - April 2019
Perdagangan Pulih pada April 2019
Perdagangan Malaysia pada April 2019 berkembang 2.6% kepada RM159.55 bilion berbanding April 2018. Peningkatan perdagangan direkodkan dengan ASEAN, Australia, Arab Saudi, Taiwan, Amerika Syarikat (AS), Jepun, India dan China.
Eksport meningkat 1.1% kepada RM85.2 bilion setelah mencatatkan penurunan tahun ke tahun sebanyak 2 bulan berturut-turut sejak Februari 2019. Ini juga merupakan nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi bulan April. Import berkembang 4.4% kepada RM74.35 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM10.86 bilion, mengurang 16.6% dan merupakan lebihan dagangan yang ke-258 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat 3.8%, 1.4% dan 6.7%. Lebihan dagangan mengurang sebanyak 24.5%.
Pada tempoh 4 bulan pertama tahun 2019, jumlah perdagangan menurun secara marginal sebanyak 0.4% kepada RM594.72 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2018. Eksport bernilai RM321.26 bilion, menyusut 0.2% manakala import menurun 0.7% kepada RM273.45 bilion. Lebihan dagangan pada tempoh ini berkembang 3.1% kepada RM47.81 bilion.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Mac 2019 dan Januari - Mac 2019
Pertumbuhan Eksport Bulan-ke-Bulan Tertinggi Sejak April 2010
Jumlah perdagangan Malaysia pada Mac 2019 mencatatkan penyusutan marginal 0.3% kepada RM153.73 bilion berbanding Mac 2018. Pengurangan perdagangan dicatatkan dengan Jepun, ASEAN, India, Hong Kong SAR, Kesatuan Eropah (EU), Republik Korea (ROK) dan Turki. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan telah dicatatkan dengan China, Arab Saudi, Taiwan, Australia dan Amerika Syarikat (AS).
Eksport pada Mac 2019 bernilai RM84.05 bilion, pengurangan kecil sebanyak 0.5% berbanding RM84.47 bilion yang direkodkan pada Mac 2018. Import turun 0.1% kepada RM69.68 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM14.37 bilion, mengurang 2.2% dan merupakan lebihan dagangan yang ke-257 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan (m-o-m), jumlah perdagangan meningkat 25.9% manakala eksport naik 26.2%, merupakan pertumbuhan eksport tertinggi dicatatkan sejak April 2010. Import dan lebihan dagangan masing-masing berkembang 25.4% dan 30%.
Jumlah perdagangan pada suku pertama (S1) tahun 2019 berjumlah RM435.16 bilion, mengurang 1.5% berbanding RM441.89 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2018. Eksport bernilai RM236.05 bilion, menyusut 0.7% manakala import berjumlah RM199.11 bilion, turun 2.5%. Lebihan dagangan sebanyak RM36.94 bilion direkodkan, meningkat 10.7%.
Berbanding suku keempat (S4) 2018, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 10.8%, 13.4% dan 12%. Lebihan dagangan meningkat 6.1%.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Februari 2019 dan Januari - Februari 2019
Lebihan Dagangan bagi Februari 2019 Berkembang 22.7% kepada RM11.06 bilion
Jumlah perdagangan Malaysia pada Februari 2019 menyusut 7.2% kepada RM122.15 bilion berbanding Februari 2018. Ini adalah berikutan pengurangan perdagangan dengan China, ASEAN, Kesatuan Eropah (EU), Switzerland, Hong Kong SAR, India, Republik Korea (ROK) dan Amerika Syarikat (AS). Namun begitu, peningkatan perdagangan telah dicatatkan dengan Arab Saudi, Australia, Taiwan dan New Zealand.
Eksport pada bulan Februari 2019 merekodkan penyusutan 5.3% tahun ke tahun kepada RM66.6 bilion. Import mencatatkan kadar penurunan yang lebih tinggi berbanding eksport, iaitu penurunan sebanyak 9.4% kepada RM55.54 bilion, menghasilkan lebihan dagangan yang lebih besar bernilai RM11.06 bilion, 22.7% lebih tinggi berbanding Februari 2018. Lebihan dagangan ini adalah yang ke-256 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menyusut sebanyak 23.3%, 22%, 24.8% dan 3.9%. Ini merupakan trend yang biasa dilihat bagi bulan Februari berikutan jumlah hari bekerja yang lebih pendek dan cuti perayaan Tahun Baru Cina yang panjang.
Muat turun PDF:
Prestasi Perdagangan : Februari 2019 dan Januari - Februari 2019
Prestasi Perdagangan : Januari 2019
Eksport Tertinggi bagi Bulan Januari dengan Nilai RM85.41 bilion
Jumlah perdagangan Malaysia pada Januari 2019 berkembang 2.1% kepada RM159.3 bilion berbanding Januari 2018. Pertumbuhan perdagangan telah dicatatkan dengan China, Taiwan, Arab Saudi, Republik Korea (ROK), Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS).
Eksport merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh berbanding import, dengan kenaikan sebanyak 3.1% kepada RM85.41 bilion. Ini merupakan nilai eksport tertinggi dicatatkan setakat ini bagi bulan Januari, mengatasi RM82.82 bilion yang dicatatkan pada Januari 2018. Import naik 1% kepada RM73.89 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM11.52 bilion, 19.2% lebih tinggi berbanding Januari 2018. Lebihan dagangan ini adalah yang ke-255 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 1.9%, 2.2% dan 1.4%.
Muat turun PDF: