ISNIN, 5 JUN, 2017, KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggalakkan pereka fesyen dan pengusaha fesyen tempatan memulakan langkah dalam pasaran antarabangsa melalui saluran peruncitan (retail) yang boleh membantu mereka mengakses pasaran global, sekaligus mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

Jenama peruncitan seperti Parkson, Metrojaya, Isetan dan Gulatis mampu menyediakan platform buat pereka tempatan muda untuk memperkenalkan jenama mereka di persada global seperti di pasaran China, India, ASEAN dan Eropah. Strategi ini adalah efektif buat pereka muda negara yang masih di dalam proses untuk memperkukuhkan kedudukan di pasaran domestik tetapi pada masa yang sama tidak mahu ketinggalan dalam pemasaran antarabangsa.

Pengarah Unit Gaya Hidup MATRADE En. Abu Bakar Yusof berkata, MATRADE selaku agensi promosi perdagangan Malaysia, sentiasa bersedia untuk membantu pereka-pereka fesyen muda tempatan melalui aktiviti pembangunan kapasiti dan promosi eksport. “Melalui bantuan MATRADE, bakat-bakat muda ini akan mendapat maklumat penting seperti akses ke pasaran antarabangsa, maklumat risikan pasaran, peluang kerjasama global serta peluang mewujudkan jaringan perniagaan yang ideal dalam mengembangkan operasi perniagaan mereka,” En. Abu Bakar berkata.

Seiring dengan aspirasi TN50 yang memperkasakan bakat muda negara, pereka fesyen muda negara yang berjaya di luar negara akan mampu meningkatkan eksport Malaysia dalam industri fesyen. Pada tahun lepas, eksport tekstil, pakaian dan kasut dicatatkan sebanyak RM13.88 billion. Jumlah tersebut menunjukkan kadar pertumbuhan sebanyak 5.15% berbanding pada tahun 2015 dengan jumlah eksport RM 13.21 billion.

“Malaysia mempunyai ramai pengusaha dan pereka fesyen namun kebanyakannya berfokus kepada pasaran domestik. Seperti contoh, terdapat banyak peluang di luar sana, contohnya di pasaran ASEAN yang mempunyai 630 juta orang. Selain dapat menampung perniagaan domestik, aktiviti eksport akan memberi impak dari segi teknologi baharu kepada perniagaan mereka,” menurut En. Abu Bakar Yusof lagi.

Inisiatif untuk menggalakkan penglibatan pereka fesyen muda Malaysia di dalam eksport adalah salah satu komponen kempen kesedaran eksport MATRADE yang dipanggil Beyond Nations. Kempen ini dilancarkan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada September 2016.

MATRADE dalam satu kolaborasi strategik bersama Farel Mikhail dan beberapa pereka fesyen muda yang lain juga telah bersama-sama menjayakan sesi peragaan busana Hari Raya, Syawalista 2017, hari ini. “Pereka-pereka yang hadir pada hari ini diperkenalkan kepada wakilwakil daripada jenama peruncitan terkenal Malaysia. Pendedahan ini dapat memberi sedikit semangat dan motivasi kepada mereka untuk mula melibatkan diri dalam eksport. Penglibatan mereka tentunya akan mendorong syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya kumpulan mikro untuk turut serta dalam bidang eksport. Ini adalah amat penting untuk meningkatkan sumbangan eksport PKS daripada 17% kepada 23% menjelang 2020,” kata En. Abu Bakar.

Majlis peragaan yang berlangsung hari ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Pengerusi MATRADE iaitu YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad serta beberapa selebriti terkenal seperti Dato’ Ziela Jalil, Dato’ Siti Nurhaliza, Dato’ Sri Shah Reza,Rozita Che Wan serta pereka-pereka fesyen terkenal tempatan.