JUMAAT, 6 APRIL 2018, KUALA LUMPUR: Pembiayaan industri perdagangan melalui perbankan Islam menyasarkan peningkatan kepada 10% dalam tempoh tiga tahun akan datang, berbanding hanya 3.4% pada tahun lalu. Jangkaan ini dilihat sebagai satu peluang yang baik bagi perkembangan kewangan Islam yang lebih meluas.

Halal Trade Finance Conference: CEO Forum yang berlangsung pada hari ini sempena Pameran Perdagangan Halal Malaysia (MIHAS) 2018 turut mengupas isu-isu yang dihadapi bagi perkembangan pembiayaan perdagangan Islam termasuklah pilihan produk-produk pembiayaan perdagangan Islam yang tidak komprehensif serta kekurangan tenaga kerja mahir.

Forum ini dianjurkan oleh Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dengan tajuk Revitalizing Trade and Unlocking New Potential, telah menyaksikan perkongsian daripada pemain-pemain industri yang optimis terhadap sasaran peningkatan pembiayaan sebanyak 10% dalam tempoh tiga tahun. Menurut Ketua Pengawai Eksekutif Maybank Islamic Bank Berhad, Dato' Mohamed Rafique Merican yang juga ahli exco AIBIM, sasaran ini boleh dicapai melalui pemerkasaan tenaga kerja mahir serta penawaran latihan-latihan komprenhensif yang berkaitan secara lebih meluas.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros turut menghadiri forum ini selaku salah seorang ahli panel diskusi.MIHAS 2018 yang berlangsung dari 4 hingga 7 April 2018 di MITEC, Kuala Lumpur telah disertai lebih daripada seribu peserta tempatan dan antarabangsa.