MATRADE Gesa Usahawan Tempatan Agar Terus Aktif Dalam Eksport

JUMAAT, 16 OGOS 2019, KUALA LUMPUR: Agensi promosi perdagangan negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggesa komuniti perniagaan Malaysia untuk terus melibatkan diri dalam aktiviti eksport meskipun keadaan perdagangan dunia yang agak mencabar ketika ini berikutan Perang Dagang antara Amerika Syarikat dan China.

Ini adalah mesej yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Dato’ Wan Latiff Wan Musa semasa pelancaran Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 Malaysia anjuran MATRADE di Menara MATRADE hari ini. Menurut beliau, eksport merupakan aset pembangunan negara yang amat penting. Prestasi eksport melestarikan ekonomi Malaysia dan secara langsung memberi impak yang positif kepada pembangunan sosial Rakyat Malaysia.

“Situasi geopolitikal dunia adalah sesuatu yang di luar kawalan kita, tetapi pengeksport-pengeksport Malaysia boleh mengawal tindakan mereka dalam menangani situasi ini. Antara strategi yang boleh diambil adalah untuk mempelbagaikan produk atau perkhidmatan mereka dan mempelbagaikan pasaran eksport mereka,” ujar Dato’ Wan Latiff.

Dalam mempelbagaikan produk dan perkhidmatan untuk eksport, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan boleh membuat lebih pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan teknologi terkini dalam bidang pemasaran dan perkilangan seperti Industri 4.0, block chain, robotik dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).

“MATRADE boleh membantu syarikat-syarikat tempatan mencari pasaran baharu untuk mereka dengan memberi maklumat risikan pasaran serta memadankan syarikat-syarikat Malaysia dengan pembeli-pembeli yang berkualiti tinggi di seluruh dunia. MATRADE mempunyai lebih 46 pejabat di seluruh dunia yang berfungsi untuk memberi akses pasaran kepada perusahaan kita,” kata Dato’ Wan Latiff.

Dengan pelbagai ketidatentuan dalam ekonomi antarabangsa termasuk konflik perdagangan adalah penting bagi usahawan Malaysia untuk terus mencari peluang eksport, seiring dengan polisi Malaysia yang mengamalkan perdagangan bebas dan terbuka tambah beliau.

Usaha syarikat-syarikat tempatan dalam memastikan mereka terus berada di dalam rantai bekalan dunia akan turut memastikan unjuran penglibatan PKS dalam eksport yang disasarkan di dalam Dasar Keusahawanan Negara mencecah 23 peratus menjelang tahun 2030.

Jumlah perdagangan negara telah meningkat dengan pesat sejak tahun 1990-an didorong oleh aktiviti perkilangan dan pelaburan di dalam negara. Pada tahun 1990, jumlah perdagangan Malaysia adalah sebanyak RM158.76 billion manakala pada tahun 2018, jumlah perdagangan mencatatkan RM1.876 trillion, naik lebih daripada 10 kali ganda. Peningkatan jumlah perdagangan ini merupakan usaha keras daripada semua pihak termasuk Kerajaan, pihak swasta, syarikat-syarikat tempatan, pertubuhan perniagaan dan rakyat Malaysia secara amnya.

MATRADE ditubuhkan pada 1993 dengan misi untuk mempromosikan perusahaan Malaysia ke pasaran dunia. Selain mempunyai 46 pejabat di seluruh dunia, di Malaysia, MATRADE mempunyai lima cawangan iaitu di Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

Updated by Corporate Communication Unit

matrade podcast

Infographics

Press Releases

More...

News Clippings

More...

Quick Links

  • Warna Merah / Red Color
  • Warna Biru / Blue Color
  • Warna Hijau / Green Color
  • Warna Asal / Original Color