Eksport Barangan Perkilangan Sokong Peningkatan Perdagangan Malaysia pada Januari

Eksport barangan perkilangan meningkat sebanyak RM1.95 bilion kepada RM50.59 bilion, merangkumi 81.8% daripada jumlah eksport Malaysia pada Januari 2016. Peningkatan ini disokong terutamanya oleh kenaikan eksport jentera, perkakasan dan peralatan sebanyak RM588.7 juta, barangan elektrik dan elektronik (E&E) (naik RM566 juta), barangan perkilangan logam (naik RM496 juta) serta barangan optik dan saintifik (naik RM407.1 juta).

Prestasi sektor ini telah membantu Malaysia mencatat jumlah perdagangan bernilai RM118.31 bilion pada Januari 2016, peningkatan marginal berbanding RM118.25 bilion yang dicatatkan pada Januari 2015. Jumlah perdagangan yang tinggi ini menunjukkan daya tahan Malaysia di sebalik persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Perdagangan yang lebih tinggi dicatatkan dengan ASEAN, meningkat sebanyak RM1.6 bilion, China (naik RM827.2 juta), Amerika Syarikat (AS) (naik RM727 juta), India (naik RM600 juta), Jerman (naik RM353.1 juta), Switzerland (naik RM350.8 juta) dan Turki (naik RM317.9 juta).

Eksport mengurang 2.8% kepada RM61.85 bilion dan import berkembang 3.3% kepada RM56.46 bilion. Imbangan perdagangan positif berjumlah RM5.39 bilion direkodkan pada Januari 2016 menjadikannya lebihan dagangan yang ke-219 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Muat turun:

Prestasi Perdagangan : Januari 2016