TAIPEI, 15 JANUARI 2025 (RABU): Kempen jualan yang dianjurkan oleh pejabat MATRADE Taipei dengan kerjasama Carrefour (Taiwan) pada 13-26 November 2024 adalah sebahagian daripada program eBizLink global MATRADE. Program promosi tersebut berjaya meraih pulangan pelaburan (ROI) yang ketara sebanyak 1,216%, menghasilkan jualan sebanyak RM1.97 juta bagi seluruh jualan produk buatan Malaysia di Carrefour (Taiwan).

Kempen promosi tersebut mengetengahkan jenama Malaysia dan jenama antarabangsa terkenal buatan Malaysia yang dijual di Carrefour. Tumpuan promosi dilaksanakan dalam bentuk promosi atas talian dan luar talian (O2O) dengan penekanan yang lebih besar melalui pemasaran digital dengan pemilihan KOL (Key-Opinion-Leaders) dan promosi di platform media social.

Kerjasama strategik di antara MATRADE dengan Carrefour Taiwan bertujuan untuk memanfaatkan ekosistem e-dagang yang komprehensif dan kedai fizikal pasar raya besar dan pasar raya Carrefour, serta mensasarkan lebih 100,000 pelanggan kedai dalam talian dan aplikasi mudah alih Carrefour.

Carrefour (Taiwan) telah mengenal pasti kira-kira 100 SKU produk buatan Malaysia, di mana hampir separuh daripadanya adalah jenama milik syarikat Malaysia yang kebanyakannya merupakan produk F&B, seperti Julies, Himalaya Candy, Chocopie, Mak Nyonya, VIDA drinks, Lot 100, Cocon Pudding, Hup Seng, dan Mister Potato. Manakala selebihnya adalah produk jenama antarabangsa seperti Nestle, Hershey’s dan Johnson Baby. 

Menurut Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Taipei, Pn Aninawati Saleh, kerjasama dengan rakan kongsi yang mantap seperti Carrefour di Taiwan bertujuan untuk menerajui aktiviti promosi Malaysia di luar negara, memanfaatkan saluran digital inovatif bagi mendapatkan impak maksimum. Dengan mengutamakan elemen digital, termasuk penekanan terhadap pemasaran dan kecekapan digital, MATRADE berharap promosi ini mampu  meningkatkan jenama dan ketersediaan lebih banyak produk Malaysia di pasaran Taiwan.

Beliau turut menambah bahawa eksport Malaysia ke Taiwan bagi produk berkaitan FMCG termasuk bahan makanan, penyediaan yang boleh dimakan, dan produk siap seperti kopi dan teh 3-dalam-1, makanan ringan, biskut, gula-gula, makanan sedia untuk dimakan, pes masakan, makanan kesihatan, produk vegetarian dan produk isi rumah, yang hanya sekitar 2%. Walau bagaimanapun, import produk Malaysia daripada Taiwan telah mencatatkan pertumbuhan dua angka (double-digit growth) yang stabil sejak tempoh 5 ke 10 tahun lepas.

Pejabat MATRADE Taipei berperanan merapatkan komuniti perniagaan Malaysia dan Taiwan dengan menjalin lebih banyak perkongsian strategik dalam bidang berkaitan FMCG di Taiwan. Kempen promosi jualan ini bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan jenama produk-produk milikan Malaysia di Taiwan tetapi juga secara tidak langsung akan meningkatkan kredibiliti Malaysia sebagai hab pengeluaran produk Halal dan F&B pilihan untuk jenama bertaraf antarabangsa meliputi rantau Asia Pasifik.

Kemuncak kempen jualan tersebut ialah aktiviti cabutan bertuah, yang merangkumi pelbagai tawaran unik daripada penaja, termasuk Park Royal Penang Resort, Resort World Genting, Legoland Malaysia Resort, Amari SPICE Penang, Hotel Wyndham Ion Majestic, Taman Tema Sunway, GHotel, dan St. Giles Wembley Pulau Pinang. Dan hadiah utama yang berjaya dimenangi adalah tiket pergi balik kelas ekonomi yang ditaja oleh Malaysia Airlines.