Prestasi Perdagangan Luar Bagi Tahun 2024 dan Bulan Disember 2024
PERDAGANGAN MALAYSIA PADA 2024 NAIK 9.2% TAHUN KE TAHUN, REKOD NILAI TERTINGGI RM2.879 TRILION
Prestasi Perdagangan Memberangsangkan pada 2024, Catat Rekod Tertinggi Baharu
Prestasi perdagangan Malaysia pada tahun 2024 terus menunjukkan peningkatan, mencatatkan satu lagi pencapaian dengan perdagangan mencecah nilai tertinggi baharu. Perdagangan, eksport dan import kembali meningkat pada tahun 2024 dengan nilai perdagangan mencecah RM2.879 trilion, naik 9.2% tahun ke tahun, melepasi aras RM2 trilion selama empat tahun berturut-turut. Begitu juga, eksport melebihi jumlah RM1 trilion selama empat tahun berturut-turut, meningkat 5.7% kepada RM1.508 trilion. Jumlah ini melepasi 87.2% daripada sasaran eksport yang ditetapkan untuk tahun 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Sementara itu, import meningkat 13.2% tahun ke tahun kepada RM1.371 trilion, melepasi aras RM1 trilion untuk tahun ketiga berturut-turut. Prestasi kukuh ini telah menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM136.88 bilion, yang ke-27 tahun berturut-turut sejak 1998.
Eksport ke rakan dagang utama, iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan meningkat, dengan eksport ke AS dan Taiwan mencapai nilai tertinggi setakat ini. Taiwan secara rasminya menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia, mencerminkan pengukuhan dalam hubungan dua hala dan peluang perdagangan yang semakin berkembang.
Sementara itu, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) telah memainkan peranan yang penting dalam memberi akses yang lebih luas kepada perniagaan tempatan ke pasaran antarabangsa. Eksport ke pasaran FTA berkembang tahun ini, pulih daripada penyusutan yang dicatatkan pada tahun 2023. Kanada merupakan salah satu negara yang mencatatkan pertumbuhan eksport, didorong oleh kenaikan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), manakala eksport ke Turkiye dan Mexico melonjak ke aras tertinggi yang baharu, masing-masing dipacu oleh peningkatan eksport barangan besi dan keluli serta kimia dan bahan kimia.
Strategi diversifikasi yang mensasarkan pasaran-pasaran baharu juga memainkan peranan yang sama penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan eksport, terutamanya ke negara-negara seperti Bangladesh, Costa Rica, Mesir, Nigeria, Angola, Ethiopia, Algeria, Togo, Libya dan khususnya Kenya, Oman serta Namibia yang mencatatkan nilai tertinggi baharu.
Dari segi barangan pula, pertumbuhan eksport pada tahun 2024 telah disokong oleh prestasi mampan barangan perkilangan dan keluaran pertanian. Pertumbuhan ini dipacu oleh peningkatan eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan makanan diproses serta barangan optik dan saintifik yang mencatatkan nilai tertinggi baharu. Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, barangan perkilangan logam dan keluaran getah turut menyumbang kepada pertumbuhan ini. Tambahan pula, eksport barangan E&E serta jentera, kelengkapan dan peralatan masing-masing telah mencatatkan peningkatan melebihi RM10 bilion.
Meskipun berhadapan dengan keadaan ekonomi global yang mencabar, MITI bersama agensi promosi perdagangan negara, MATRADE, terus komited untuk memperkukuhkan perdagangan antarabangsa sebagai asas untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Ianya akan disokong melalui inisiatif strategik yang digariskan dalam RMKe-12, Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Dengan memanfaatkan rangka kerja ini, MITI dan agensinya akan menyokong kerajaan untuk membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang berterusan serta berdaya tahan pada tahun tahun akan datang.
PRESTASI PERDAGANGAN TAHUN 2024
Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama
Pada tahun 2024, rakan dagang utama Malaysia adalah ASEAN, China, AS, EU dan Taiwan, mewakili 68.4% daripada jumlah perdagangan Malaysia.
ASEAN - Perdagangan, Eksport dan Import Kembali Meningkat pada 2024
Pada tahun 2024, sebagai rakan dagang strategik bagi Malaysia, perdagangan dengan ASEAN berjumlah RM765.09 bilion, merangkumi 26.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia. Perdagangan meningkat 6.1% setelah mencatatkan penurunan pada 2023.
Sebagai destinasi eksport utama di rantau ini, eksport ke ASEAN meningkat 4.2% kepada RM437.92 bilion, didorong oleh pertumbuhan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam serta keluaran petroleum.
Pecahan eksport ke negara ASEAN:
- Singapura RM230.86 bilion, meningkat 5.3%, berbanding 2023; • Thailand RM58.98 bilion, ↑0.1%;
- Indonesia RM54.40 bilion, ↑6.9%;
- Viet Nam RM53.86 bilion, ↑3.6%;
- Filipina RM27.82 bilion, ↑5.2%;
- Brunei RM5.69 bilion, ↓11.1%;
- Myanmar RM3.17 bilion, ↓20.9%;
- Kemboja RM3.05 bilion, ↑30.1%; dan
- Lao PDR RM67.9 juta, ↓49.7%.
Tiga destinasi eksport utama di ASEAN adalah Singapura, Thailand dan Indonesia, yang merangkumi 78.6% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini. Eksport ke Singapura, dengan syer 52.7% daripada jumlah eksport ke rantau ini, meningkat sebanyak RM11.57 bilion berbanding 2023 berikutan eksport yang kukuh bagi barangan E&E. Eksport ke Thailand (13.5% syer) berkembang sebanyak RM71.9 juta susulan kenaikan eksport barangan perkilangan logam, manakala eksport ke Indonesia (12.4% syer) naik sebanyak RM3.49 bilion disumbangkan oleh pertambahan eksport keluaran petroleum. Eksport ke Viet Nam dan Kemboja mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.
Import dari ASEAN meningkat 8.9% kepada RM327.17 bilion dengan import utama terdiri daripada barangan E&E, keluaran petroleum serta kimia dan bahan kimia.
China – Rakan Dagang Terbesar bagi 16 Tahun Berturut-turut
Pada tahun 2024, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009. Perdagangan meningkat 7.6% kepada RM484.12 bilion berbanding tahun sebelumnya, mewakili 16.8% daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Eksport ke China menyusut 2.2% kepada RM187.67 bilion disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah bagi barangan E&E serta bijih logam dan serpihan logam. Walau bagaimanapun, kesan penurunan ini telah diimbangi oleh eksport yang kukuh bagi barangan kertas dan palpa, keluaran getah serta barangan optik dan saintifik.
Import dari China meningkat 14.8% kepada RM296.45 bilion, dengan import utamanya terdiri daripada barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia.
AS – Jumlah Perdagangan, Eksport dan Import Tertinggi Setakat Ini
Pada tahun 2024, perdagangan dengan AS, rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015, meningkat 29.9% kepada RM324.91 bilion berbanding 2023. Perdagangan dengan negara ini merangkumi 11.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia, menggambarkan kepentingan sumbangannya kepada prestasi perdagangan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Eksport ke AS pada 2024 melonjak kepada rekod tertinggi baharu, mencatatkan pertumbuhan dua digit 23.2% kepada RM198.65 bilion hasil eksport yang kukuh bagi barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta keluaran getah.
Import dari AS melonjak 42.1% kepada RM126.26 bilion dengan import utamanya terdiri daripada barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia.
EU – Perdagangan dan Eksport Kembali Pulih pada 2024
Perdagangan dengan EU pada 2024 yang merangkumi 7.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 5.8% kepada RM218.85 bilion berbanding 2023.
Eksport meningkat 2.6% kepada RM115.78 bilion disokong oleh pertambahan eksport minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit, keluaran getah dan barangan makanan diproses.
Pecahan eksport ke 10 pasaran utama di EU yang mewakili 92.3% daripada jumlah eksport Malaysia ke rantau ini adalah:
- Belanda RM35.67 bilion, menurun 0.5%, berbanding 2023; • Jerman RM32.32 bilion, ↑5.7%;
- Belgium RM7.98 bilion, ↓14.6%;
- Itali RM6.71 bilion, ↑7.0%;
- Sepanyol RM6.33 bilion, ↑12.0%;
- Perancis RM6.14 bilion, ↑0.4%;
- Poland RM3.82 bilion, ↑19.1%;
- Hungary RM3.64 bilion, ↑52.9%;
- Republik Czech RM2.50 bilion, ↓5.0%; dan
- Sweden RM1.74 bilion, ↑20.6%.
Antara pasaran eksport utama di EU yang mencatatkan pertumbuhan ialah Jerman yang meningkat sebanyak RM1.76 bilion berbanding tahun sebelumnya berikutan peningkatan eksport barangan E&E. Sementara itu, eksport ke Itali naik RM436.7 juta disebabkan eksport yang kukuh bagi barangan perkilangan logam dan eksport ke Sepanyol mengembang sebanyak RM676.8 juta didorong oleh pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Eksport ke Jerman, Sepanyol, Poland dan Hungary mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.
Import dari EU naik 9.8% kepada RM103.07 bilion dengan barangan import utamanya ialah barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia.
Taiwan – Menggantikan Jepun sebagai Rakan Dagang Keempat Terbesar
Pada tahun 2024, Taiwan menggantikan Jepun sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia, mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit 38.5% kepada RM176.1 bilion berbanding 2023 dan menyumbang 6.1% kepada jumlah perdagangan Malaysia. Ini merupakan nilai perdagangan tertinggi dicatatkan setakat ini.
Eksport mencecah nilai tertinggi baharu, melonjak 54.4% kepada RM66.99 bilion berikutan permintaan yang kukuh bagi barangan E&E, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Import dari Taiwan meningkat 30.2% kepada RM109.12 bilion dengan barangan utama import terdiri daripada barangan E&E, keluaran petroleum serta kimia dan bahan kimia.
Perdagangan dengan Rakan dagang FTA – Perdagangan, Eksport dan Import Pulih
Menyertai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) menunjukkan komitmen Malaysia dalam menjadi persekitaran perdagangan yang terbuka dan liberal. Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani 16 FTA dua hala dan serantau, mewujudkan peluang bagi perniagaan Malaysia untuk meningkatkan eksport melalui kuota yang lebih baik dan tarif yang lebih rendah. Pada tahun 2024, perdagangan dengan rakan dagang FTA meningkat 5.2% kepada RM1.870 trilion berbanding 2023, membentuk 65% daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Eksport ke rakan dagang FTA yang merangkumi 67.1% daripada jumlah eksport Malaysia meningkat 1.9% kepada RM1.012 trilion. Barangan eksport utama ke rakan dagang FTA ialah barangan E&E, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, gas asli cecair (LNG) serta barangan perkilangan logam, yang menyumbang 63.8% kepada jumlah eksport Malaysia ke pasaran FTA.
Peningkatan eksport dicatatkan ke India yang naik 14.5% berbanding tahun lalu kepada RM52.13 bilion dan eksport ke Pakistan bertambah 29% kepada RM5.66 bilion, disokong oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Eksport ke Mexico mengembang 0.8% kepada RM18.86 bilion, eksport ke Chile meningkat 18.2% kepada RM720.8 juta dan eksport ke Peru naik 3% kepada RM670.3 juta, didorong oleh eksport yang kukuh bagi kimia dan bahan kimia.
Sementara itu, eksport ke Turkiye meningkat 17.1% kepada RM20.54 bilion berikutan pertambahan eksport barangan besi dan keluli dan eksport ke Kanada melonjak 55.9% kepada RM6.51 bilion disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E.
Eksport ke Mexico, Turkiye dan Kanada mencatatkan nilai eksport tertinggi setakat ini.
Import dari rakan dagang FTA naik 9.6% kepada RM857.93 bilion dengan barangan utama import terdiri daripada barangan E&E, keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan logam. Kesemua barangan ini menyerap 64.9% daripada jumlah import Malaysia dari pasaran FTA.
Strategi Diversifikasi Menyumbang kepada Pertumbuhan Eksport ke Pasaran Baharu
Pada tahun 2024, beberapa pasaran baharu telah mencatatkan pertumbuhan eksport, khasnya ke Bangladesh, Kenya, Costa Rica, Mesir, Nigeria, Oman, Togo, Angola, Ethiopia, Algeria, Libya dan Namibia. Eksport ke Kenya, Oman dan Namibia mencapai rekod baharu.
Eksport ke Bangladesh meningkat 5.7% berbanding 2023 kepada RM11.84 bilion, Kenya bertambah 2.1% kepada RM5.52 bilion, Mesir melonjak 53.6% kepada RM3.55 bilion, Togo mengembang 6.2% kepada RM1.43 bilion dan Algeria naik 27.9% kepada RM552.1 juta ekoran peningkatan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Eksport ke Oman meningkat 10.1% kepada RM1.6 bilion, Costa Rica mengembang 17.6% kepada RM3.43 bilion, Ethiopia melonjak 56.4% kepada RM580 juta dan Libya naik 19.7% kepada RM116.7 juta, didorong oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E.
Sementara itu, eksport ke Namibia lebih tinggi sebanyak 2.9% kepada RM221.6 juta, Angola melonjak 59.3% kepada RM894.1 juta, disumbangkan oleh kenaikan permintaan bagi keluaran petroleum manakala eksport ke Nigeria meningkat 5.7% kepada RM2.51 bilion, disokong oleh pertumbuhan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Barangan Perkilangan - Barangan E&E Mencatatkan Nilai Eksport Tertinggi Setakat Ini
Pada tahun 2024, eksport barangan perkilangan melepasi aras RM1 trilion bagi tahun keempat berturut-turut, merangkumi 85.5% daripada jumlah eksport Malaysia atau sebanyak RM1.289 trilion, naik 6% berbanding 2023. Barangan E&E terus mendominasi eksport Malaysia, meraih bahagian terbesar sebanyak 39.9%, naik 4.5% kepada RM601.18 bilion, nilai tertinggi yang pernah direkodkan setakat ini. Peningkatan ini disumbangkan oleh permintaan kukuh bagi litar bersepadu elektronik yang naik 4.8% kepada RM313.1 bilion, disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam teknologi global.
Barangan E&E lain yang turut mencatatkan pertumbuhan eksport ketara pada tahun 2024 adalah:
- Komputer, meningkat 77.7% berbanding 2023 kepada RM32.31 bilion;
- Komputer dan peralatan pemprosesan data lain, ↑53% ke RM15.43 bilion;
- Alat ganti dan aksesori mesin pejabat, ↑24.5% ke RM13.72 bilion;
- Peranti elektro-diagnostik, kelengkapan perubatan dan radiologi, ↑75.8% ke RM5.54 bilion; dan
- Alat ganti dan aksesori komputer, ↑16.3% ke RM10.68 bilion.
Peningkatan eksport barangan E&E dicatatkan ke AS, Taiwan, Singapura, Republik Korea (ROK) dan Kanada.
Barangan perkilangan lain yang mencatatkan peningkatan eksport ketara pada tahun 2024 adalah:
- Jentera, kelengkapan dan peralatan, meningkat 20.6% berbanding tahun 2023 kepada RM69.04 bilion;
- Barangan perkilangan logam, ↑9.3% ke RM61.55 bilion;
- Barangan makanan diproses, ↑16.7% ke RM35.37 bilion;
- Keluaran getah, ↑22.6% ke RM26.16 bilion; dan
- Barangan optik dan saintifik, ↑8.4% ke RM59.17 bilion.
Eksport barangan E&E, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan makanan diproses serta barangan optik dan saintifik mencapai nilai eksport tertinggi yang pernah direkodkan.
Keluaran Pertanian – Pertumbuhan Eksport Dipacu oleh Minyak Sawit
Pada tahun 2024, eksport keluaran pertanian pulih dengan kukuh, mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 11.4% kepada RM105.67 bilion berbanding 2023, menyumbang 7% kepada jumlah eksport Malaysia. Pertumbuhan ini dipacu oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang meningkat 11.7% kepada RM79.22 bilion berikutan harga dan kuantiti eksport yang lebih tinggi.
Eksport LNG Meningkat Meskipun Eksport Keseluruhan Hasil Galian Menyusut
Pada tahun 2024, eksport hasil galian yang merangkumi 6.8% daripada jumlah eksport Malaysia menurun sebanyak 3.1% kepada RM102.84 bilion berbanding 2023. Ini disebabkan oleh penyusutan eksport petroleum mentah sebanyak 9.1% kepada RM26.11 bilion ekoran harga dan kuantiti eksport yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, eksport LNG naik 1% kepada RM60.84 bilion disumbangkan oleh kuantiti eksport yang lebih tinggi.
Prestasi Import
Nilai Import Tertinggi Setakat Ini
Pada tahun 2024, jumlah import Malaysia meningkat 13.2% kepada RM1.371 trilion berbanding 2023, mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan setakat ini. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 75.4% daripada jumlah import pada 2024 adalah:
- Barangan perantaraan, bernilai RM748.84 bilion atau 54.6% daripada jumlah import, mengembang 20.7%, disumbangkan oleh kenaikan import alat ganti dan aksesori bagi barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan;
- Barangan modal, bernilai RM166.86 bilion atau 12.2% daripada jumlah import, meningkat 29.6%, hasil pertambahan import barangan modal bukan kelengkapan pengangkutan; dan
- Barangan penggunaan, bernilai RM117.44 bilion atau 8.6% daripada jumlah import, naik 12.8%, dipacu oleh peningkatan import makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isirumah.
China kekal sebagai sumber import terbesar negara sejak 2011, diikuti oleh Singapura, AS, Taiwan dan Jepun. Kesemua pasaran ini menyumbang 56% kepada jumlah import Malaysia. Sementara itu, import dari ASEAN berjumlah RM327.17 bilion atau 23.9% daripada jumlah import Malaysia dan import dari EU berjumlah RM103.07 bilion dengan sumbangan sebanyak 7.5%.
PRESTASI PERDAGANGAN BAGI BULAN DISEMBER 2024
Lebihan Dagangan Tertinggi sejak Oktober 2023
Perdagangan pada bulan Disember 2024 mencatatkan kenaikan tahun ke tahun yang ke-12 bulan berturut-turut, dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.6% kepada RM257.86 bilion. Eksport mencatatkan perkembangan kukuh 16.9% kepada RM138.52 bilion manakala import meningkat 11.9% kepada RM119.34 bilion. Susulan dari itu, lebihan dagangan sebanyak RM19.18 bilion direkodkan, yang ke-56 bulan berturut turut sejak Mei 2020 dan nilai tertinggi direkodkan sejak Oktober 2023. Perdagangan, eksport dan import merupakan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Disember.
Berbanding November 2024, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing naik sebanyak 8.5%, 9.7%, 7.3% dan 27.4%.
Prestasi Eksport Sektor Utama
Eksport Barangan Perkilangan dan Keluaran Pertanian Mencatatkan Pertumbuhan Dua Digit
Pada bulan Disember 2024, eksport barangan perkilangan yang menyerap 84.6% daripada jumlah eksport mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 18.5% tahun ke tahun kepada RM117.21 bilion dengan peningkatan eksport direkodkan bagi barangan E&E, barangan perkilangan logam serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Eksport keluaran pertanian (7.7% syer) mencatatkan pengembangan dua digit 28.9% tahun ke tahun kepada RM10.6 bilion berbanding Disember 2023, disumbangkan terutamanya oleh pengembangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan harga dan kuantiti eksport yang lebih tinggi.
Eksport hasil galian menurun 5.1% tahun ke tahun kepada RM9.9 bilion (7.1% syer) disebabkan oleh pengurangan eksport LNG dan petroleum mentah susulan harga eksport yang lebih rendah.
Berbanding dengan November 2024, eksport barangan perkilangan, keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing meningkat 9.1%, 11.5% dan 19.2%.
Prestasi Import
Import Mencatatkan Pertumbuhan Dua Digit
Pada Disember 2024, import meningkat 11.9% tahun ke tahun kepada RM119.34 bilion, pertumbuhan positif yang ke-14 bulan berturut-turut. Import barangan perantaraan meningkat 1.4% kepada RM60.89 bilion, barangan modal (↑41.5% kepada RM17.39 bilion) dan barangan penggunaan (↑11.9% kepada RM10.3 bilion).
Berbanding bulan November 2024, import meningkat 7.3%. Sementara itu, import barangan modal dan barangan penggunaan masing-masing naik sebanyak 31.1% dan 2.3%, manakala import barangan perantaraan menyusut 3.7%.
PRESTASI PERDAGANGAN BAGI SUKU KEEMPAT TAHUN 2024
Nilai Perdagangan dan Import Tertinggi bagi Suku Keempat
Jumlah perdagangan bagi suku keempat (S4) 2024 meningkat 6.4% kepada RM739.84 bilion berbanding suku keempat 2023. Eksport naik 7.3% kepada RM392.97 bilion dan import bertambah 5.3% kepada RM346.87 bilion. Perdagangan dan import mencatatkan nilai tertinggi bagi S4 setakat ini. Sementara itu, lebihan dagangan mengembang 25% kepada RM46.1 bilion.
Berbanding suku ketiga (S3) 2024, eksport dan lebihan dagangan masing-masing naik 2.4% dan 86.8%, manakala perdagangan dan import menurun 0.4% dan 3.4%.
PROSPEK PERDAGANGAN TAHUN 2025
Pada tahun 2025, perdagangan Malaysia dijangka berkembang selaras dengan unjuran yang diterbitkan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menganggarkan jumlah perdagangan barangan global akan meningkat sebanyak 3%.
Seiring dengan itu, Tinjauan Ekonomi 2025 oleh Kementerian Kewangan (MOF) menyasarkan perdagangan Malaysia akan tumbuh 4% pada 2025 dengan eksport dan import masing-masing naik sebanyak 3.9% dan 4.1%, manakala Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka meningkat antara 4.5% hingga 5.5%.
Permintaan yang berterusan bagi barangan E&E pada tahun ini akan disokong oleh trend peningkatan dalam sektor tersebut, sejajar dengan unjuran oleh World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) bahawa jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 11.2% pada 2025.
Dari segi pasaran pula, pemanfaatan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) adalah penting dalam membantu akses barangan Malaysia ke pasaran yang lebih luas, sekaligus meningkatkan pertumbuhan eksport.
Sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia turut terdedah kepada kerentanan global yang boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonominya, termasuk ketidakpastian global yang timbul daripada ketegangan geopolitik yang berpanjangan, gangguan dalam rantaian bekalan global serta turun naik harga komoditi. Selain daripada itu, kebimbangan yang meningkat menjelang pelantikan presiden AS yang baru berhubung dengan dasar-dasar yang akan dilaksanakan dilihat boleh memberi kesan kepada perdagangan serantau.
Sehubungan itu, MITI dan MATRADE akan terus berwaspada dalam memantau dan mengurangkan risiko terhadap pertumbuhan perdagangan, terutamanya dengan mempergiatkan aktiviti promosi pasaran dan penerokaan pasaran eksport baharu untuk barangan Malaysia.